Berita

Lily optimis bantu Malaysia Tigress

AKSI Lily (kanan) ketika mengawal bola pada perlawanan baru-baru ini.
AKSI Lily (kanan) ketika mengawal bola pada perlawanan baru-baru ini.
- Diterbit 26 Julai 2019 12:35 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

LIMA belas tahun bersama pasukan hoki kebangsaan, Juliani Mohamad Din atau lebih mesra dengan panggilan Lily tidak pernah berputus asa untuk terus menabur bakti buat skuad hoki wanita negara. Pemain pertahanan berusia 33 tahun itu sentiasa bersemangat untuk terus bertahan biarpun lebih sedekad bersama Malaysia Tigress. Impiannya adalah untuk membantu hoki wanita beraksi dalam Sukan Olimpik.

Untuk itu, dia terus menanam impian dan optimis melakar sejarah beraksi di kejohanan berprestij tersebut walaupun ternyata agak sukar. Terbaharu dia masih menanti sama ada Malaysia layak ke pusingan kelayakan akhir untuk mencari slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Kedudukan Malaysia masih belum pasti. Pusingan kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020 yang dijangka berlangsung pada Oktober atau November depan. Apapun kami perlu mengetahui ranking terbaharu dunia pada September ini terlebih dahulu,” ujarnya. Katanya lagi, untuk tersenarai dalam kejohanan tersebut, Malaysia perlu berada di kedudukan kelompok 20 pasukan terbaik dunia bagi membolehkan skuad hoki beraksi di pusingan kelayakan akhir sukan ternama berkenaan.

“Biarpun masih dalam teka teki namun kami tetap akan menjalankan latihan dengan komited seolah-olah sudah la­yak berada dalam senarai Sukan Olimpik. Latihan tersebut pen­ting untuk memantapkan skuad.

“Setiap Isnin hingga Jumaat pada sebelah pagi dan petang, latihan sentiasa berjalan seperti biasa. Seandainya terpilih, sudah tentu skuad hoki sudah pun bersedia dari segi mental mahupun fizikal,” jelas Lily. Tambahnya lagi, Malaysia mengakhiri saingan di tempat ketiga di belakang Korea Selatan dan Ireland pada pusingan pertama Siri Akhir Wanita di Banbridge, Ireland Utara sekali gus perlu menanti kedudukan ranking dunia.

Sempat berkongsi kejayaan­nya sebelum ini, dia bangga apabila pasukan hoki wanita layak ke Liga Dunia pusingan ketiga untuk pertama kalinya pada tahun 2017. Dua tahun selepas itu pula, skuad hoki dapat memperbaiki kedudukan dalam du­nia dari ranking 22 ke 20.

“Itu merupakan memori manis yang tidak dapat dilupakan. Kejayaan tersebut juga adalah sejarah yang terlakar dalam dunia sukan hoki yang amat saya cintai. Semoga ia semakin bersinar pada masa akan datang,” ujar pemain kelahiran Kota Belud, Sabah ini.

Tidak terfikir menggantung kayu

Mula terlibat dalam sukan hoki sejak tahun 1998, anak kelima daripada lapan orang adik beradik ini berkata cabaran utama yang dihadapi olehnya selama ini adalah untuk mengekalkan prestasi terbaik dalam latihan dan juga pertandingan.

“Perkara itu sering merunsingkan fikiran. Pun begitu pertama sekali kita perlu tahu tujuan berada dalam bidang ini. Apabila sedar tentang perkara tersebut secara tidak langsung akan berusaha untuk mendisiplinkan diri,” ujarnya.

Menjadikan ketua jurulatih negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah sebagai idolanya selama ini, dia menyukai cara jurulatih tersebut kerana seorang yang berpendirian tetap dan sanggup mengambil risiko.

“Cara dia mengendalikan pasukan memang hebat. Seorang yang tidak pernah putus asa. Kredibilitinya tidak dapat dipertikaikan lagi sekaligus dia mampu menyuntik semangat dalam diri ini untuk menjadi yang terbaik,” ujarnya.

Bercerita lanjut tentang rancangan masa hadapannya, Lily tidak pernah terfikir untuk menggantung kayu biarpun sudah agak lama beraksi bersama skuad negara. Bagi wanita cekal ini, dia akan setia berkhidmat secara konsisten selagi termampu.

“Sama seperti kebanyakan pemain lain, seandainya tidak lagi bermain untuk pasukan negara, saya masih akan terus menyumbang untuk dunia sukan hoki. Mungkin berkongsi ilmu de­ngan pelapis-pelapis hoki muda,” ujarnya kepada Wilayahku.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas