Aiman Tino luah rasa benci dalam lagu

Aiman Tino luah rasa benci dalam lagu

PERNAH melalui dua kali episod gagal dalam percintaan, penyanyi popular Aiman Tino, 21, mengakui meluahkan segala rasa yang terpendam di dada selama ini menerusi single terbaharunya yang berjudul Benci.

Katanya, dia berpeluang berkongsi detik suka dan duka yang dilalui bersama peminat setianya. Malah segala teka-teki tentang perjalanan cintanya suatu ketika dahulu bakal terjawab dalam lirik lagu gabungan bapanya dan Apit Projector Band.

“Kali pertama membaca baitbait lirik tersebut, saya berasakan ia dekat dengan jiwa. Lantas segala memori lama kembali bermain di fikiran. Untuk itu, saya yakin mampu lebih menghayatinya ketika merakamkannya nanti,” ujarnya yang bakal melancarkan single keenam itu pada hujung bulan depan.

Bercerita di sebalik lirik tersebut, kata Aiman, pengalaman kecewa yang pernah dilalui menjadikannya lebih berhati-hati untuk kembali menyulam cinta. Enggan perkara sama berulang, buat masa ini dia masih menutup pintu hatinya.

“Apabila kita menyayangi seseorang dengan sepenuh perasaan kemudian dikhianati, pasti sakitnya berganda. Tidak mustahil perasaan sayang kepadanya suatu ketika dahulu serta-merta bertukar menjadi benci.

“Sejujurnya pengalaman cinta lalu yang tidak kesampaian banyak diabadikan dalam lagu ini. Jadi secara tidak langsung, hati saya menjadi tenang setelah ia berjaya diekspresikan dalam bentuk lagu,” katanya yang cukup popular dengan lagu Ku Rela Dibenci.

Ditanya tentang ciri-ciri gadis pilihannya, Aiman seboleh-bolehnya mengelak untuk jatuh cinta dalam kalangan rakan satu industri.

Menurutnya, ia bagi mengelakkan hal-hal yang tidak diingini seperti cemburu buta dan sebagainya.

“Saya jenis yang tak boleh tengok insan tersayang berpegang tangan dengan lelaki lain biarpun hanya sekadar dalam lakonan. Jadi sebab itu saya rasa tak sesuai buat saya untuk jatuh cinta sesama artis,” ujarnya.

Pun begitu katanya lagi, buat masa ini cinta bukanlah perkara yang paling utama memandangkan dia masih terlalu muda dan banyak lagi hal lain yang perlu diberi perhatian terutamanya kerjaya.

Beli rumah untuk keluarga

Penyanyi dan pelakon yang pernah mencipta fenomena tersendiri menerusi video muzik Ku Rela Dibenci ini tidak pernah sesekali melupakan keluarga sungguhpun sedang berada di puncak kejayaan.

Justeru, bagi menghargai insan-insan tersayang, dia kini dalam proses membeli sebuah kediaman buat keluarganya. Baginya wang ringgit bukanlah persoalan utama asalkan mereka hidup dalam keadaan selesa.

“Mulanya saya ingin membelikan sebuah rumah di tempat lain tetapi ayah tidak mahu berpindah keluar dari kawasan Kuala Kubu Bharu. Dia sukakan suasana di sini yang tenang berbanding lokasi lain.

“Jika difikirkan kembali, kawasan ini memang seronok keranaa jauh dari kesibukan kota. Paling penting ia suasana terbaik bagi perkembangan tumbesaran adik-adik. Jadi saya putuskan untuk membeli rumah bersebelahan kami sekarang dan gabungkan kedua-duanya. Namun ia masih dalam proses lagi,” ujarnya.

Hampir empat bulan tidak tinggal sebumbung dengan keluarga, Aiman mengakui dia tetap akan pulang menziarahi mereka seminggu sekali. Sungguhpun tinggal berjauhan, dia masih menunaikan tanggungjawabnya.

“Kalau ikutkan tinggal dengan keluarga lebih terjamin dan terurus. Namun rasanya sudah tiba masanya untuk saya berdikari. Tambahan pula ia dapat menjimatkan kos ulangalik dari Kuala Kubu Bharu ke Kuala Lumpur,” ujarnya.

CATEGORIES