Berita

MSN siasat dakwaan salah laku seksual jurulatih para renang

- Diterbit 27 Februari 2024 9:35 PM MYT

MAJLIS Sukan Negara (MSN) akan mengambil tindakan tegas termasuk penamatan kontrak dengan serta merta  terhadap jurulatih yang didapati bersalah terbabit dengan isu salah laku dalam program latihan MSN.

MSN dalam kenyataan hari ini memaklumkan Jawatankuasa Salah Laku Dalam Sukan sedang menjalankan siasatan mengenai dakwaan salah laku seksual seorang  jurulatih para renang terhadap atlet di bawah jagaannya yang dilaporkan media masa baru-baru ini.

“Dakwaan salah laku itu diterima MSN pada minggu lalu dan jawatankuasa telah memulakan siasatan dengan segera termasuk menemubual pihak-pihak yang berkaitan.

“Kerjasama penuh juga diberikan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah membuka kertas siasatan, termasuk mencari cara tindakan yang mesra dan melindungi privasi atlet terlibat,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, MSN turut memohon kerjasama pihak media dan masyarakat umum supaya tidak mencetuskan sebarang spekulasi mahupun maklumat tidak tepat bagi menjaga kebajikan atlet selian mengelak daripada persepsi negatif yang mampu menjejaskan proses siasatan.

MSN juga menegaskan tidak pernah menerima laporan ataupun aduan daripada mana-mana atlet para mengenai salah laku seksual oleh jurulatih sebelum aduan terbaharu ini.

“MSN menolak dakwaan bahawa MSN cuba menutup atau tidak mengendahkan laporan yang pernah dibuat adalah tidak berasas sama sekali.

“MSN menjulang dan menguatkuasakan semua peraturan dalam Kod Sukan Selamat dan sentiasa berusaha mewujudkan persekitaran selamat kepada semua atlet yang mengikuti program latihan kendalian MSN,” menurut MSN.

Hari ini, sebuah media tempatan melaporkan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengesahkan seorang jurulatih para telah disiasat kerana melakukan gangguan seksual keatas seorang atlet para bawah umur.

Menurut laporan itu, Presiden MPM, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin memaklumkan badan induk itu telah membuat laporan polis selepas menerima e-mel  berhubung perkara itu daripadaPersatuan Renang Para Malaysia (MPSA) minggu lepas. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas