Berita

Lawatan Hun Manet perkukuh hubungan dua hala Malaysia-Kemboja

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 27 Februari 2024 9:00 PM MYT

PERDANA Menteri Kemboja Hun Manet hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Mutang Tagal dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul di Parlimen di sini.

Hun Manet dan delegasi beliau turut meluangkan masa kira-kira 10 minit untuk mengikuti persidangan Dewan Rakyat sebelum bertemu Mutang.

Mutang berkata kunjungan itu mengukuhkan lagi hubungan dua hala Malaysia dan Kemboja.

“Kami meneliti langkah melakukan pertukaran lawatan membabitkan kedua-dua dewan antara Malaysia dan Kemboja supaya kita boleh melihat amalan terbaik yang boleh kita pelajari untuk mempertingkat profil dewan senat di sini,” katanya.

Johari pula berkata pertemuan beliau dengan Hun Manet antara lain membincangkan kemajuan hubungan dua hala, pertukaran anak muda khususnya golongan mahasiswa dan pimpinan muda serta pendidikan.

“Saya juga mengutarakan bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi persidangan ASEAN 2025, jadi saya rasa harus ada penyatuan dan kejituan antara kedua-dua negara supaya kita dapat menggunakan ASEAN sebagai platform untuk kita bergerak lebih mantap bersama,” katanya.

Hun Manet tiba pagi ini untuk lawatan sulung beliau ke Malaysia atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Kemboja pada Ogos 2023. – BERNAMA 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas