Berita

MSN larang atlet pergi ke lima negara

AHMAD SHAPAWI (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Asiah pada sesi taklimat bersama KKM di Auditorium MSN, Kuala Lumpur hari ini.
- Diterbit 5 Mac 2020 8:35 AM MYT

KUALA LUMPUR – Langkah pencegahan kes Covid-19 perlu diambil bagi memastikan wabak berkenaan tidak terus menular apatah lagi menjangkiti atlet yang mewakili negara dalam sebarang kejohanan dan latihan di dalam atau luar negara.

Susulan penularan wabak berkenaan, Majlis Sukan Negara (MSN) turut melarang atlet negara menyertai kejohanan atau latihan di lima buah negara yang mempunyai kadar kes yang tinggi iaitu China, Korea Selatan, Iran, Jepun dan Itali sepanjang bulan Mac ini.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi berkata, perkara ini diputuskan selepas perbincangan dan taklimat oleh Kementerian Kesihatan yang diwakili Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit (Survelan), Bahagian Kawalan Penyakit, Dr. Asiah Ayob.

“Semua persatuan sukan bersetuju untuk mematuhi arahan tersebut. Untuk itu, sebarang kejohanan sasaran khususnya melibatkan proses kelayakan ( Sukan Olimpik) bagi kejohanan utama, pihak persatuan perlu berbincang dengan pasukan, atlet atau jurulatih masing-masing dari segi kesediaan untuk bertanding.

“Kita tidak mahu atlet pergi untuk bertanding dengan separuh hati akibat ketakutan dan kerisauan disebabkan masalah Covid-19,” ujar beliau.

SEBAHAGIAN wakil persatuan dan jurulatih menghadiri taklimat berhubung Covid-19 yang diadakan MSN bersama KKM di Auditorium MSN, Kuala Lumpur hari ini,

Ahmad Shapawi berkata, MSN tidak akan menyediakan peruntukan jika persatuan sukan tetap mahu menyertai kejohanan atau latihan di lima negara tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, MSN akan terus memantau program melibatkan atlet dari semasa ke semasa mengikut bulan berdasarkan nasihat daripada pihak KKM.

Sebagai langkah berjaga-jaga, jurulatih dan atlet juga dinasihati agar menjadikan ‘self-assessment’ sebagai rutin dan mengelak sebarang aktiviti melibatkan orang ramai serta sentiasa menjaga kebersihan diri.

Terdahulu,  taklimat berhubung Covid-19 diadakan pihak MSN di Auditorium MSN yang dihadiri 23 wakil persatuan sukan termasuk jurulatih, pegawai-pegawai sukan MSN.  – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas