Berita

Latheefa Koya letak jawatan, yakin SPRM dapat terus banteras rasuah

LATHEEFA telah menjelaskan kepada Muhyiddin tentang keputusannya meletakkan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM.
- Diterbit 6 Mac 2020 3:48 AM MYT

PUTRAJAYA – Hanya selepas kira-kira 10 bulan menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya suruhanjaya tersebut.

Latheefa dalam kenyataannya hari ini menjelaskan, beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan tersebut kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2 Mac lalu bergantung kepada kelulusan Yang di-Pertuan Agong.

“Ia merupakan keputusan saya sendiri untuk berbuat demikian. Spekulasi yang menyatakan terdapat tekanan terhadap saya adalah tidak berasas.

“Saya berhasrat untuk kembali kepada tugas saya sebagai peguam hak asasi manusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Latheefa yang sebelum ini merupakan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun tahun lalu.

Latheefa berkata, beliau berjumpa Perdana Menteri semalam dan menjelaskan tentang keputusannya untuk meletakkan jawatan.

“Kami mengadakan perbincangan yang mesra dan beliau (Perdana Menteri) memahami pendirian saya,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Perdana Menteri turut diberikan taklimat tentang tindakan yang sedang dijalankan SPRM selain usaha untuk mendapatkan kembali wang 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) yang telah dicuri.

“Beliau memberikan sokongan penuh terhadap tindakan-tindakan tersebut,” katanya.

Latheefa berkata, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat kepada Perdana Menteri dan kerajaan baharu bagi setiap kejayaan dalam meningkatkan kebajikan serta kepentingan terbaik untuk rakyat.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, sepanjang minggu ini, pihaknya telah memberikan taklimat kepada timbalannya, Datuk Seri Azam Baki dan ketua-ketua jabatan di SPRM bagi memastikan penyerahan tugas dapat dilakukan dengan baik.

“Kerja-kerja di SPRM berjalan seperti biasa di tangan pegawai-pegawai yang berkemampuan,” katanya.

Tambah Latheefa, beliau meninggalkan jawatannya itu dengan keyakinan penuh bahawa SPRM akan terus tidak berkompromi dan tidak letih dalam membanteras rasuah tanpa mengira kedudukan atau pegangan politik pihak yang terlibat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, rakan-rakan di SPRM dan rakyat di atas semua sokongan yang diterima sepanjang memegang jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Semoga Tuhan memberkati negara kita,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas