Berita

MSN cari jalan bantu atlet di rumah

MAJLIS Sukan Negara.
- Diterbit 13 April 2020 1:48 PM MYT

KUALA LUMPUR – Lanjutan 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut memberi kesan kepada atlet yang kebiasaannya menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini.

Justeru, MSN sedang mencari jalan terbaik untuk membantu atlet menjalani latihan di rumah masing-masing dalam tempoh PKP ini berlangsung seperti memberi bantuan alatan latihan.

JEFRI

Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin berkata, pihaknya sudah meneliti perkara tersebut, bagaimanapun terdapat sedikit kesukaran untuk menghantar peralatan antaranya faktor kawasan tempat tinggal serta jumlah alatan yang terhad.

“Kami akan mempertimbangkan untuk menghantar alatan latihan kepada atlet yang membuat persediaan ke Olimpik terlebih dahulu.

“Ini kerana MSN mempunyai lebih 400 orang atlet dengan lokasi yang berbeza. Jadi untuk permulaan, mungkin atlet Olimpik akan diberikan keutamaan dan selepas itu baru kami fikirkan langkah seterusnya,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, atlet juga diminta untuk lebih kreatif menggunakan alatan yang sedia ada di rumah untuk tujuan latihan seperti tong gas, tangga, tilam dan sebagainya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas