Berita

Lindungi KL, kita tak mahu jadi macam New York

TAN SRI TPr. ANNUAR MUSA
- Diterbit 13 April 2020 6:05 PM MYT

KUALA LUMPUR – Kedudukan Kuala Lumpur sebagai ibu negara perlu dilindungi dengan sebaik mungkin daripada wabak pandemik Covid-19.

Demikian penegasan yang diberikan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa.

Meskipun keadaan pada masa ini masih dianggap sebagai terkawal, beliau berkata, terdapat beberapa lagi penempatan kondominium dan rumah yang disewa warga asing mempunyai risiko agak tinggi jangkitan wabak itu.

“Sebab itu akan ada langkah lanjutan, sekali lagi, saya tahu kalau tambah lagi kawasan diperketatkan banyak lagi kerja bagi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan (JKKNWP).

“Wilayah Persekutuan mesti dilindungi, bandar KL mesti dilindungi, kita tidak mahu jadi macam New York, macam London dan beberapa kota besar yang akhirnya menyebabkan kematian beribu-ribu orang.

“Sekarang kita setakat puluhan (kematian), saya sangat bersyukur kepada Allah kerana Wilayah Persekutuan dan KL dalam keadaan cukup terkawal,” katanya dalam sesi Live di laman Facebooknya.

Setakat ini, sebanyak tiga bangunan di ibu negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Terhad (PKPD) iaitu di Menara One City, Selangor Mansion dan Malayan Mansion yang kebanyakan penghuninya adalah warga asing.

Dalam pada itu, Annuar turut memberitahu, salah seorang pegawai di kementeriannya di Putrajaya telah dikesan positif Covid-19 dan seorang pegawai kanan terpaksa dikuarantinkan.

“Itu cabaran terpaksa kita uruskan, kita harap warga Wilayah Persekutuan terus amalkan penjarakan sosial, tingkat kebersihan diri terutama cuci tangan, pakai penutup mulut dan hidung dan terus kekal di rumah,” katanya.

Malah Annuar turut mengakui beliau telah ditegur apabila dilihat kerap keluar termasuk melawat golongan gelandangan dan meninjau kawasan Jalan Masjid India.

“Saya faham, ucap terima kasih ada NGO hantar mesej jangan pergi, patut duduk di rumah tapi apa boleh buat sebagai menteri, kita kena kerja.

“Jadi saya harap sama-sama doakan, walaupun begitu keadaan caranya terpaksa kita kerja mudah-mudahan dengan berkat Allah kita tidak dijangkiti.

“Walaupun kita ambil segala langkah beringat-ingat berjaga jaga, berikhtiar supaya tidak ada jangkitan tapi kerja terpaksa diteruskan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas