Berita

Tiada masa dengan keluarga, 24 jam bertugas

CAWANGAN Trafik IPD Kajang komited dalam melaksanakan tugas sepanjang PKP.
- Diterbit 13 April 2020 1:37 PM MYT

MUNGKIN ramai dalam kalangan kita yang merungut kerana tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedangkan kita seharusnya bersyukur kerana dapat menghabiskan masa bersama keluarga.

Jika dibandingkan dengan petugas barisan hadapan (frontliner), mereka bukan sahaja berkorban demi negara bahkan turut mengorbankan masa bersama keluarga demi menunaikan tanggungjawab kepada negara.

Menurut anggota Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Mohd. Shidi Hassan, 32, dia bekerja tiga syif sehari dan tiada cuti sejak 18 Mac lalu.

“Saya menyeru supaya masyarakat patuh dengan arahan ini serta memahami pengorbanan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan petugas barisan hadapan yang lain dalam usaha memutuskan rangkaian Covid-19,” ujarnya kepada Wilayahku.

Bertuah kerana dikurniakan keluarga yang memahami, dia mengakui waktu bersama isteri dan dua anaknya yang masih kecil agak terhad.

“Alhamdulillah keluarga sangat memahami. Saya yakin semua petugas barisan hadapan juga amat merindui keluarga namun amanah perlu ditunaikan,” ujarnya.

Menurutnya, dia hanya berpeluang pulang ke rumah ketika waktu rehat dan akan memastikan mengambil langkah yang disarankan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya akan mandi terlebih dahulu di pejabat dan sebelum masuk ke rumah selain mengasingkan pakaian uniform untuk dicuci secara berasingan.

“Kadang-kadang setiap kali pulang ke rumah, risau kerana memikirkan keselamatan keluarga. Jadi kerana itulah, saya amat mementingkan kebersihan diri,” ujarnya.

Sempat berkongsi kisah keluarga di kampung pula, menurut anak kelahiran Gemas, Negeri Sembilan ini, hanya doa dapat dititipkan buat bapa saudaranya yang sedang bertarung dengan penyakit kanser hati.

“Doktor mengesahkan dia hanya mampu hidup selama enam bulan sahaja lagi. Insya-Allah semuanya akan baik-baik sahaja,” ujarnya yang turut berharap dapat peluang untuk menemani ayah saudaranya. – WILAYAHKU

MOHD. SHIDI (kiri) turut meluangkan masa membantu golongan yang memerlukan.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas