Berita

MPPWP perlu nafas baharu, lebih teratur

- Diterbit 26 Mac 2020 11:47 AM MYT

PUTRAJAYA – Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) akan diberi nafas baharu bagi memastikan peranan dan fungsinya lebih baik.

Ini kerana, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa, berdasarkan laporan yang diterimanya, terdapat sebahagian besar MPPWP yang tidak aktif dan tidak pernah menghantar sebarang laporan kegiatan atau perbelanjaan seperti yang disyaratkan sejak pelantikan pada 2019.

“Dalam kenyataan media yang dikeluarkan salah seorang Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan, mereka merasa kesal dan mungkin tidak setuju kerana saya menamatkan khidmat MPPWP. Saya ucapkan terima kasih kepada mereka yang memberi pandangan.

“Saya jelaskan, yang pertama, penamatan itu bukan bererti penamatan tidak ada MPPWP. Saya setuju dengan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang menyebut mereka (MPPWP) sedang sibuk membantu dan sebagainya, tetapi bila saya tengok keseluruhannya, sebahagian besar tidak aktif atau tidak bergerak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Mereka tidak hantar laporan walaupun peruntukan perbelanjaan dikatakan diguna sejak pelantikan 2019, sedangkan waktu perlantikan itu mereka telah diberikan kaedah serta elaun,” katanya.

Sehubungan itu, kata Annuar, demi kepentingan awam, penyusunan semula akan dilakukan dan ia akan digerakkan segera.

Hari ini, satu kenyataan dikeluarkan Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang menyatakan tindakan penamatan MPPWP adalah tidak patut dan kejam kerana sejak dilantik pada 2019, mereka berkhidmat kepada semua penduduk Kuala Lumpur dan Labuan tanpa mengira kaum, agama mahupun fahaman politik.

Malah, kenyataan itu turut memaklumkan bahawa MPPWP sedang dikerah untuk membantu rakyat dalam pelbagai program sumbangan kebajikan dan penukaran tersebut hanya akan melambatkan penyampaian sumbangan yang amat diperlukan terutama golongan miskin bandar. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas