Berita

Yayasan Usahawan Negara edar pek makanan kepada anggota PDRM

MEGAT D. SHAHRIMAN (empat dari kanan) serahkan sumbangan pek makanan untuk anggota polis di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 26 Mac 2020 10:14 AM MYT

KUALA LUMPUR – Prihatin  dengan situasi semasa, Yayasan Usahawan Negara (YUN) dengan kerjasama Restoran Berputar Atmosphere 360 Menara Kuala Lumpur melaksanakan misi membekalkan pek makan tengahari kepada anggota keselamatan yang bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. 

Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YUN, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, pihaknya memperuntukkan sebanyak 500 pek makanan setiap hari kepada anggota polis yang bertugas di semua 61 lokasi sekatan jalan raya sekitar Lembah Klang.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara barisan hadapan yang bertungkus lumus tanpa mengira waktu menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada negara.

“Sehubungan itu, kami terpanggil untuk meringankan sedikit tugasan mereka  dengan menyalurkan sumbangan makanan sebagai tanda sokongan dan menyuntik semangat kepada anggota pihak berkuasa.

“Jumlah pek makanan  akan ditambah sekiranya terdapat permintaan yang lebih tinggi dan mengikut keperluan semasa,” katanya yang juga Pengarah Urusan Atmosphere 360 ketika menyerahkan sumbangan di IPD Dang Wangi baru-baru ini. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas