Berita

Covid-19 ragut nyawa pesakit ke-23

DR. NOOR HISHAM (tengah) dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini. Foto Facebook KKM
- Diterbit 26 Mac 2020 11:48 AM MYT

PUTRAJAYA – Terdapat pertambahan dua kes kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 23 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke-22 merupakan kes ke-1797, lelaki tempatan berumur 48 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.

“Dia telah menghadiri perhimpunan di Seri Petaling dan mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19 yang menghadiri perhimpunan yang sama. Mangsa telah dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom, Johor dan disahkan meninggal pada 23 Mac 2020 pukul 8.15 malam.

“Kes kematian ke-23 merupakan kes ke-1840, lelaki tempatan berumur 62 tahun dari Kajang, Selangor yang mempunyai latar belakang penyakit kronik. Pesakit telah dirawat di Hospital Raja Perempuan Bainun, Ipoh mulai 23 Mac 2020 dan meninggal pada 25 Mac 2020 pukul 12.37 tengah hari. Kesnya masih dalam siasatan,” ujar beliau dalam satu sidang akhbar di sini.

Terdahulu, kes kematian ke-20 merupakan kes ke-780, lelaki tempatan berumur 76 tahun yang merupakan peserta perhimpunan di Seri Petaling dan dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra, Kelantan mulai 18 Mac 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 25 Mac pukul 4.35 petang.

Sementara itu, kes kematian ke-21 pula merupakan kes ke-1588, lelaki tempatan berumur 63 tahun yang juga merupakan peserta perhimpunan di Seri Petaling dan dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah pada 23 Mac 2020 dan disahkan meninggal pada pukul 4 pagi tadi.

Kata Noor Hisham, terdapat 16 kes Covid-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini yang mana menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 215 kes.

“Terdapat 235 kes baharu yang telah dilaporkan sehingga pukul 12 tengah hari tadi yang menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 2,031 kes.

“Berdasarkan siasatan awal, daripada bilangan kes baharu tersebut, sebanyak 60 kes berkaitan dengan kluster perhimpunan di Seri Petaling manakala baki 175 kes masih dalam siasatan,” ujar beliau.

Tambah beliau, hingga kini, seramai 45 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana daripada jumlah tersebut, 32 kes memerlukan bantuan pernafasan. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas