SEJUMLAH 1,000 bungkus bubur lambuk diagih kepada warga penduduk setiap hari bermula 2 Ramadan hingga 27 Ramadan, hasil inisiatif Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Sub Zon 6, Bandar Tun Razak (BTR).
Bagi Pengerusinya, Norazman Sallehuddin, usaha tersebut dilaksana sebagai takwim tahunan bersempena Ramadan bertujuan menyantuni warga penduduk memerlukan selain mengimarah amalan bersedekah di bulan penuh keberkatan.

Beliau berkata, setiap hari dua periuk bubur lambuk disediakan oleh MPPWP Sub Zon 6 dengan kerjasama penduduk setempat dan Ahli Jawatankuasa Surau, sebelum diagih kepada orang ramai termasuk di kawasan sekitar Desa Petaling.
“Secara purata, RM800 dibelanjakan setiap hari bagi menyediakan bubur lambuk untuk komuniti di sini dan mereka yang mungkin memerlukan, sebagai sedekah bertepatan objektif berpuasa iaitu rasai kesusahan dan saling membantu sesama insan.
“Alhamdulilah, selain dari dana sumbangan awam dibelanja bagi tujuan ini, kami turut menerima RM20,000 disumbang oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sangat bermurah hati menjayakan usaha murni ini,” katanya.
Sementara itu, sambutan dari orang ramai terhadap Program Bubur Lambuk Komuniti yang diadakan begitu memberangsangkan malah ia turut disokong warga masyarakat bukan Islam.
Perkara tersebut kata Norazman, menjadi bukti bahawa inisiatif bagi memakmurkan komuniti berupaya mengukuhkan toleransi sesama rakyat berbilang kaum seterusnya memperkukuhkan perpaduan Nasional.
“Perkara ini sesuatu yang istimewa kerana ada warga masyarakat India turut sama menyumbang dalam tabung kutipan malah ada warga Cina juga terlibat membungkus bubur lambuk sebelum diagihkan.
“Jadi, pendekatan interaktif sebegini perlu digembleng bersama seluruh masyarakat termasuk wakil MPPWP Zon lain untuk kita menyantuni rakyat berbilang kaum tanpa mengira agama seterusnya menyemarak konsep ‘Keluarga Malaysia’ hidup harmoni,” jelasnya. -WILAYAHKU