Berita

Program Moreh, Konvoi Ayuh Bersahur Usaha KAMUSE dekati anak muda

KAMUSE dan peserta Konvoi Ayuh Bersahur serahkan makanan di Unit Kecemasan Desa Aman Medical Centre. KAMUSE dan peserta Konvoi Ayuh Bersahur serahkan makanan di Unit Kecemasan Desa Aman Medical Centre.
- Diterbit 13 April 2022 8:47 AM MYT

INISIATIF dilaksana oleh Kelab Anak Muda Seputeh (KAMUSE) melalui Program Moreh dan Konvoi Ayuh Bersahur bertujuan untuk mendekati anak muda seterusnya menjalin hubungan dengan golongan sasar itu yang bakal mencorak masa depan negara.

Bagi Pengerusi KAMUSE, Nur Hafies Wahid, penganjuran program sempena Ramadhan bagi tahun kedua itu mencapai objektifnya apabila berjaya menarik minat anak muda menyertainya selain berpeluang berkongsi mengenai kaedah membangunkan jati diri.

KONVOI Ayuh Bersahur turut singgah ke Balai Bomba dan Penyelamat bagi mengagihkan juadah untuk anggota dan pegawai bertugas.

Katanya sebelum berkonvoi, sesi berbicara santai bersama anak muda telah diadakan ketika moreh dengan banyak input dikongsi termasuk cara mantapkan pembangunan belia khususnya di kawasan Seputeh.

“Sesi bicara santai namun penuh informasi apabila KAMUSE berpeluang kenal pasti kaedah dan pendekatan disukai anak muda dalam membangunkan jati diri.

“Idea-idea yang dikongsikan mampu untuk kami terjemah dalam penganjuran program akan datang seterusnya melibat samakan golongan muda dalam aktiviti bermanfaat.

“KAMUSE ingin menzahirkan terima kasih kepada semua anak muda sekitar Seputeh yang terlibat di samping penghargaan buat penganjur bersama program interaktif ini,” katanya kepada Wilayahku, baru-baru ini.

Selain anak muda program itu turut disertai Pengarah Jabatan Belia & Sukan Wilayah Persekutuan, Asmori Shaari serta Timbalan Pengerusi Majlis Belia Kawasan Seputeh, Janagken Yohayindra Kumar.

Program Moreh dan Konvoi Ayuh Bersahur telah dijayakan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur Cawangan Seputeh, Jabatan Belia & Sukan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur selain Pejabat Belia & Sukan bagi Kawasan Seputeh.

Selain mendekati golongan muda, program sama menjadi medan terbaik mengimarah Ramadan selain memupuk persefahaman sesama rakyat berbilang bangsa selaras konsep ‘Keluarga Malaysia’. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas