Berita

Mohon kebenaran, patuhi SOP

PENJARAKAN sosial antara SOP yang perlu dititikberatkan semua pihak termasuk pengunjung.
- Diterbit 13 Jun 2020 3:03 AM MYT

SEMUA pihak disaran supaya memohon kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi penganjuran bazar ataupun jualan penjaja sementara secara terbuka di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Perbadanan Putrajaya (PPj) menyatakan, langkah pengawalan, pemantauan dan penguatkuasaan aktiviti penjaja sementara secara terkawal diambil selaras ketetapan pematuhan Undang-Undang Kecil (UUK) WP Putrajaya 2016. 

“Semua permohonan penganjuran bazar dan jualan penjaja sementara secara terbuka di Wilayah Persekutuan Putrajaya perlu dimohon terlebih dahulu daripada PPj dan pihak penganjur / peniaga hendaklah mematuhi SOP dan Garis Panduan Penjaja Sementara yang ditetapkan PPj dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di laman sosial rasmi PPj. 

Ketetapan itu diambil susulan daripada keputusan kerajaan memberi kebenaran kepada semua penjaja sementara, Bazar Kompleks Kerajaan, pasar tani, kedai gunting rambut, saloon dan pusat kecantikan di Wilayah Persekutuan mulai 15 Jun ini.

Menurut PPj, rondaan akan dilaksanakan pihak berkuasa untuk mempertingkat langkah kawalan di tempat tumpuan awam bagi memastikan SOP  Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dipatuhi. 

Sebarang permohonan hendaklah merujuk kepada SOP dan borang permohonan boleh dimuat turun di laman web tertera:

A: SOP – PPJ GARIS PANDUAN PENGOPERASIAN ZON PENJAJA SEMENTARA

https://drive.google.com/file/d/1s77VaWuqL6nCNUOOlRrsyh_svPmFluuI/view?usp=sharing

B : BORANG PERMOHONAN DAN SENARAI SEMAK PENGANJURAN PENJAJA SEMENTARA 

https://drive.google.com/file/d/11xVnX930BG2BeIrfGvyGQCU2wNIpfx1g/view?usp=sharing

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, semua permohonan untuk pengoperasian pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam dan bazaria di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur boleh dibuat mulai 10 Jun lalu. 

Sehingga kini DBKL telah meluluskan tiga tapak pasar malam baharu selaras dengan SOP disediakan iaitu di kawasan Batu, Seri Petaling dan Kepong. 

“Hanya pasar terbuka, pasar pagi, pasar malam dan bazaria mendapat kelulusan DBKL untuk beroperasi mulai 15 Jun ini. 

“Keputusan ini selaras dengan syarat SOP dikeluarkan DBKL secara berperingkat di lokasi-lokasi terpilih dengan norma baharu dalam tempoh PKPP,” katanya. 

Pihak pemegang lesen dan penganjur juga diingatkan membuat permohonan terlebih dahulu untuk membuka semua jenis pasar  dinyatakan dan setiap permohonan dalam tempoh PKPP perlu penuhi kriteria seperti berikut:

  1. Surat Permohonan
  2. Cadangan lokasi
  3. Layout atau susun atur tapak lokasi
  4. Jumlah petak atau pelesen yang dicadang 
  5. Cadangan hari beroperasi

DBKL akan mempertimbang permohonan dibuat melalui jawatankuasa yang terdiri daripada wakil-wakil Jabatan Dalaman DBKL, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM). 

Pasar-pasar tersebut hanya boleh beroperasi setelah kelulusan diperoleh dengan mematuhi SOP dan norma baharu disediakan dengan pemantauan ketat oleh DBKL dan PDRM. 

Tindakan penutupan akan diambil serta merta sekiranya berlaku pelanggaran SOP oleh pengunjung atau pun penjaja. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas