Berita

Tekad untuk berubah – Muhammad Abdullah

- Diterbit 13 Jun 2020 2:56 AM MYT

SEUMUR hidupnya ­hanya mampu melihat wajah ­pe­mimpin tertinggi negara melalui akhbar dan televisyen.

Namun, apabila pihak ­Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menyelaras gelandangan ini memberikan peluang kepada Muhammad Abdullah, 49, untuk menerima sumbangan daripada Seri Paduka Baginda Yang Di­pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, peluang yang diberikan itu merupakan satu sejarah kepada­nya.

Muhammad atau ­nama sebenarnya Visvanathan menceritakan, beliau ­sama sekali tidak terfikir akan dilayan dengan baik di dalam Pusat ­Gelandangan Sementara (PGS) ini.

“Ketika mula-mula di­selamatkan DBKL, saya baru dibebaskan dari ­penjara­ setelah menjalani hukuman penjara selama 16 tahun.

“Oleh kerana pada ketika itu tiada tempat untuk dituju dan ketika dibebaskan negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya terus ditempatkan di dalam PGS dari awal PKP sehingga hari ini,” ceritanya kepada Wilayahku.

Sepanjang menjalani kehidupan di dalam PGS, beliau banyak bermuhasabah dan bertekad untuk mengubah kehidupannya untuk menjadi manusia yang berguna kepada negara.

“Hati saya telah terbuka untuk memeluk agama Islam bagi membersihkan diri daripada kesalahan lampau.

“Melalui bantuan rakan-­rakan dan pegawai di sini, saya memeluk agama Islam ­pada Mei lalu dan apabila diberi kesempatan bertemu ­dengan Agong, saya menganggapnya ­sebagai hadiah memeluk ­agama Islam,” katanya.

Muhammad ­memberitahu,­ antara pengalaman yang ­tidak akan dilupakan dalam ­kehidupannya adalah ­apabila baginda sempat berjenaka dengannya mengenai ­namanya yang ada kaitan ­dengan ­baginda dan puteranya.

“Tindakan baginda ter­sebut amat menyenangkan dan saya akan ingat sehingga akhir ­hayat­,” katanya.

Bagi Muhammad Fahmi, 49 atau Pang Kong Fui yang ber­asal dari Segamat, Johor pula, dia menyifatkan bahawa Al-­Sultan Abdullah sebagai seorang pemimpin yang amat dekat dengan rakyat meskipun ­baginda merupakan ketua ­negara.­

“Sejujurnya, apabila diberi­tahu oleh rakan-rakan dan pegawai mengenai Baginda akan bercemar duli bertemu dengan gelandangan di pusat ini, saya rasa ia satu per­kara yang tidak betul sebelum ini dan pernah memarahi se­orang rakan kerana menipu ­mengenainya.

“Namun apabila saya ­terpilih menerima sumbangan ini, saya amat terkejut dan ­bersyukur kerana dapat menerima ­sendiri daripada Tuanku.

“Peluang ini akan ­menjadi­ ­ingatan yang amat ­bermakna dan saya nekad ­untuk ­mendalami agama Islam ­apabila keluar dari PGS ini nanti,”­ kata­nya.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah bercemar duli dan menyampaikan sumbangan kepada 44 gelandangan yang berada di PGS Kompleks Sukan Desa Tasik, Bandar Tun Razak sempena dengan Hari­ ­keputeraan Baginda pada ­tahun­ ini.

Baginda diiringi anakanda­nya, Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah.

Ketibaan baginda ­disambut oleh Menteri Wilayah Per­sekutuan, Tan Sri TPr ­Annuar Musa; Timbalan Men­teri Wilayah Persekutuan, ­Datuk Seri Dr. Santhara dan ­Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan ­(MAIWP),­ Datuk Seri Syed Hussein AlHabshi.

Turut hadir, Timbalan ­Ketua Setiausaha Sulit Kanan ­Jabatan Perdana Menteri, ­Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan; ­Ketua ­Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, ­Datuk Rosida Jaafar; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Norhisham Ahmad Dahlan dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Per­sekutuan, Mohd Ajib Ismail.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas