Berita

Mohamad Noor puas bantu warga PPR/PA

MOHAMAD NOOR memeriksa dokumen seorang ibu tunggal yang memohon
- Diterbit 9 September 2020 3:03 AM MYT

“BIAR jasa menjadi kenangan merupakan frasa yang sesuai kepada Pembantu Tadbir di Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Mohamad Noor Abu Hassan, 60, yang puas menabur bakti dan memberikan  perkhidmatan terbaik kepada warga kota terutama penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA).

Mohamad Noor yang bertugas di Unit Naziran Pengurusan Perumahan sejak lima tahun lalu bersemangat menjalankan tugasnya tanpa mengira waktu demi membantu manamana warga kota yang layak mendapatkan rumah kediaman di mana-mana PPR di bawah seliaan DBKL.

MOHAMAD NOOR

Bercerita lanjut, Mohamad Noor berkata, tugas beliau di unit itu adalah menjalankan siasatan
terhadap setiap permohonan dan unit-unit PPR yang ada di seluruh Kuala Lumpur.

“Tugas yang diamanahkan kepada saya adalah untuk menyiasat setiap permohonan rumah PPR agar ia diberikan kepada yang benar-benar layak kerana ada sesetengah pemohon dari kawasan perumahan yang memohon rumah tetapi mereka hanya menggunakan alamat sahaja dan tidak duduk di kawasan itu.

“Selain itu, saya turut menyiasat keseluruhan unit-unit ini agar ia dimanfaatkan kepada golongan yang layak selain perlu membuat penapisan kepada penghuni sedia ada,” katanya ketika ditemui Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Mohamad Noor, tugasnya mencabar kerana hasil siasatan yang dilakukan akan mempengaruhi keputusan pegawai tertinggi jabatan untuk menerima atau menolak sesuatu
permohonan.

“Setiap kali menerima permohonan, siasatan perlu dilakukan bagi mendapatkan pengesahan sama ada ia adalah permohanan palsu atau tidak. “Untuk itu, saya perlu turun padang lebih dari dua atau tiga kali termasuk membuat pemantauan selepas waktu tengah malam bagi mendapatkan maklumat yang sahih agar keputusan yang tepat dan hanya pemohon yang layak sahaja akan dipertimbangkan untuk diberikan rumah,” katanya.

Tambahnya, beliau sering berhadapan kesukaran untuk mengesan pemohon-pemohon ini sekiranya ia beralamat di kawasan setinggan sekitar ibu kota.

“Ada pemohon ini menginap di kawasan setinggan dan selalunya alamat yang diberikan tidak
teratur sehingga saya perlu turun padang dua hingga tiga kali untuk menjejaki pemohon.

“Malah antara kesukaran yang timbul apabila kebanyakan rumah di kawasan ini pula akan dibahagikan dengan bilik-bilik dan penduduk tidak mengenali penyewa-penyewa tersebut,”
katanya.

Kata Mohamad Noor, beliau memulakan tugas di DBKL pada 23 Mei 1978 sebagai pelayan
pejabat di Jabatan Hal Ehwal Undang-undang selama lima tahun.

“Selepas itu, saya kemudian bertukar ke Bahagian Perhubungan Awam yang kini dikenali sebagai Jabatan Perancangan Korporat dan kemudian dipindahkan ke Bahagian Pentadbiran.

“Pada tahun 1990, saya mula berkhidmat di Jabatan Pengurusan Perumahan yang kini dikenali
sebagai Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar sehingga kini dan bakal
bersara pada Disember ini,” katanya.

WALAUPUN kesukaran menjejaki pemohon, Mohamad Noor tetap berusaha memberikan perkhidmatan terbaik.

Mohamad Noor berkata, bertugas di Unit Pengurusan Perumahan ini agak sukar kerana perlu
menjaga penduduk yang mempunyai sikap dan latar belakang yang berbeza.

“Sebelum ini, saya bertugas sebagai Penyelia Kawasan Perumahan di PA Seri Kelantan sebanyak tiga blok dan didiami kirakira 972 keluarga.

“Antara perkhidmatan yang melibatkan penduduk termasuklah urusan persekolahan, sakit malah sehingga urusan yang melibatkan kematian.

“Sekiranya ada penduduk yang tidak mampu membayar sewa rumah, kita perlu memberikan solusi agar mereka dapat mencari jalan bagi melunaskan bayaran tersebut,” katanya.

Kata Mohamad Noor, antara kenangan manis yang tidak dilupakan ketika beliau bertugas
sebagai penyelia di PA Seri Perak dan menyertai pertandingan ‘Bersih Indah’ di peringkat Perumahan, Wilayah Pesekutuan dan Kebangsaan.

“Pada masa itu, PA Seri Perak menjadi johan di peringkat kawasan PA dan johan peringkat
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Ketika itu, kami turut merangkul tempat pertama pada peringkat kebangsaan dan memenangi hadiah wang tunai RM10,000 yang kemudiannya diserahkan kepada Persatuan Penduduk
Seri Perak,” katanya.

Kata Mohamad Noor, sebelum bertukar ke Unit Naziran Pengurusan Perumahan, beliau
berkhidmat di Unit Pembangunan Komuniti dan ditugaskan untuk membantu penduduk di
PPR dan PA melalui program pembangunan sahsiah anak-anak penduduk sekali gus mengelakkan vandalisme.

“Pada tahun 1993, Jabatan Pembangunan Komuniti telah menubuhkan Kadet Bomba Perumahan dan peserta-peserta terdiri daripada anak-anak penduduk yang berumur dari 13 tahun hingga 18 tahun yang disertai seramai 19 orang sahaja pada tahun 2004.

“Pihak jabatan mengeluarkan kos menghantar peserta menjalani latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu sehingga kami dapat mengumpul peserta di setiap PPR dan PA seramai kira-kira 1000 orang,” katanya.

Cerita Mohamad Noor lagi, jabatannya turut menjalankan satu program mencungkil bakat
seni dan pertandingan nyanyian untuk anak-anak PPR dan PA sehingga ada dalam kalangan
mereka bergelar penyanyi terkenal di negara ini.

“Antara penyanyi yang pernah menyertai pertandingan tersebut adalah Pemenang Anugerah
Bintang Asli RTM, Zarina Zainuddin, Juara Program Mentor, Black yang ketika itu mewakili
PPR Kerinchi.

Selain itu, penyanyi Tomok dan kakaknya Isma dari PPR Seri Kota turut pernah menyertai
program tersebut,” katanya sambil menambah pelawak Yaasin Senario turut menjadi salah seorang peserta yang pernah menyertai beberapa program anjuran jabatannya.

Ujar Mohamad Noor, walaupun bakal bersara dari perkhidmatan beberapa bulan mendatang,
beliau mengakui ‘berat’ hati untuk melepaskan tanggungjawab yang dipegangnya kerana ia sudah sebati dengan kehidupannya.

“Sebelum ini, kehidupan saya hanya berkisar kepada tugas dan boleh dipanggil bila-bila masa
sahaja selepas waktu pejabat demi memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk jabatan dan
DBKL.

“Saya berasa sedih kerana bakal mengakhiri tempoh perkhidmatan yang memberikan peluang  kepada saya untuk membantu warga kota yang susah dan saya bertuah kerana keluarga
amat memahami pekerjaan ini.

Walaupun mencari rezeki yang halal untuk keluarga, tetapi perkhidmatan untuk masyarakat
yang memerlukan bantuan dan pertolongan perlu diutamakan.

Nasihat beliau kepada anakanak muda terutama yang baru memulakan pekerjaan di DBKL agar memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada jabatan.

“Imej DBKL terletak kepada pekerja-pekerja di lapangan. Jika pekerjaan dilakukan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, sudah pasti nama DBKL akan terus disanjung tinggi,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas