Utama

Misi mencari dan menyelamat mangsa runtuhan bangunan selesai dalam tempoh 5 jam

ZURAIDA hadir semasa operasi mencari dan menyelamat dua mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan.
- Diterbit 14 Februari 2020 2:10 PM MYT

KUALA LUMPUR – Mangsa kedua warga Bangladesh yang terperangkap dalam bangunan runtuh di tapak pembinaan Kondominium Taman Desa, Jalan Klang Lama di sini petang tadi, berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 9.30 malam ini.

Mangsa berusia 26 tahun itu kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan , Zuraida Kamaruddin berkata, mangsa berjaya diselamatkan tetapi mengalami masalah pernafasan kerana terperangkap selama lima jam di dalam runtuhan bangunan.

“Dia juga mungkin mengalami kesakitan lain dan telah diberikan bantuan sokongan oleh doktor yang merawat. Hanya dua mangsa sahaja yang terlibat dalam kejadian ini yang mana seorang lagi juga merupakan warga Bangladesh berusia 30 tahun,” katanya kepada pemberita selepas melihat keadaan mangsa kedua.

Hadir sama Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi.

Menurut Zuraida, tugas pertama iaitu mencari dan menyelamat selesai dalam tempoh lima jam dan tindakan susulan akan dilakukan termasuk siasatan punca kejadian.

Dalam pada itu, Zuraida turut memuji tindakan pantas JBPM serta pasukan keselamatan lain yang terlibat dalam operasi berkenaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas