Berita

Kekang Covid-19: Kapal asing tidak dibenar berlabuh jika enggan kongsi maklumat

- Diterbit 14 Februari 2020 2:25 PM MYT

PUTRAJAYA – Kerajaan telah memutuskan untuk tidak membenarkan mana-mana kapal asing untuk berlabuh di mana-mana perairan Malaysia jika enggan berkongsi maklumat-maklumat penting yang diperlukan pihak berkuasa negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan mengambil ketetapan itu sebagai usaha untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

“Jabatan Imigresen telah melaporkan bahawa terdapat percubaan dan permohonan untuk berlabuh daripada dua buah kapal persiaran dari Hong Kong iaitu kapal persiaran Westerdam dan Sapphire Princess.

“Kapal Westerdam dengan muatan sekitar 1,000 penumpang yang pernah memasuki Hong Kong sebelum ke Taiwan pada 1 Februari lalu pada mulanya berhasrat untuk berlabuh di Malaysia telah mendapat kebenaran untuk berlabuh di Kemboja semalam (13 Februari 2020) manakala Sapphire Princess telah selamat berlabuh di Singapura,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas High Level Committee (HLC) berhubung kluster penyakit Covid-19 di sini hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd. Zuki Ali. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas