Berita

KPDNHEP keluar arahan larangan jual pukal topeng muka

TOPENG muka menjadi barang yang penting di pasaran sekarang setelah berlaku penularan jangkitan Covid-19. Gambar hiasan
- Diterbit 14 Februari 2020 1:27 PM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) diminta mengeluarkan  arahan melarang jualan topeng muka secara pukal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan mengambil ketetapan itu sebagai usaha untuk mengawal bekalan dan harga jualan topeng muka di pasaran bagi mengelakkan peningkatan harga barang itu.

“KPDNHEP Negeri dan Cawangan telah diarahkan untuk membuat kawal selia terhadap penjual topeng muka dengan membuat kawalan kendiri

“Penjual tidak dibenarkan untuk menjual secara pukal kepada pelanggan,” kata Wan Azizah dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azizah berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas High Level Committee (HLC) berhubung kluster penyakit Covid-19.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd. Zuki Ali. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas