Berita

MINTS kembali dibuka – YWP

KANAK-KANAK menghabiskan masa dengan mengulangkaji pelajaran di MINTS.- Gambar sebelum pandemik COVID-19.
- Diterbit 12 September 2021 2:00 AM MYT

PENGHUNI projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) di Kuala Lumpur terutamanya pelajar boleh kembali menggunakan ruang pembelajaran di Mini Terminal Sejahtera ( M I N T S ) setelah ia ditutup sementara waktu ekoran Perintah Kawalan Pe r g e r a k a n (PKP).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Datuk Zaizalnizam Zainun, pelajar boleh menggunakan kembali ruang tersebut seperti biasa namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.

“Mereka boleh memasuki ruang tersebut namun perlu mengikut SOP yang ketat antaranya perlu mengimbas terlebih dahulu kod QR MySejahtera dan memeriksa suhu badan sebelum memasuki premis.

“Selain itu kita juga mengehadkan jumlah pelajar supaya dapat memastikan jarak fizikal di dalam ruang tersebut dipatuhi. Tempoh masa yang dibenarkan setiap daripada mereka adalah sekurang-kurangnya satu jam namun terpulang kepada keadaan,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, selain daripada mengulangkaji pelajaran di MINTS, kebanyakan daripada mereka yang datang bertujuan untuk mencetak serta fotokopi salinan bahan pembelajaran yang diberi guru.

“MINTS amat membantu para pelajar di PPR dan PA ini untuk menyelesaikan tugasan mereka. Alhamdulillah apabila kembali dibuka, ia sedikit sebanyak meringankan serta memudahkan urusan mereka,” ujar beliau.

Kata Zaizalnizam lagi, operasi MINTS berjalan seperti biasa setiap hari bermula pukul 8.30 pagi hingga 9 malam.

Sebagai rekod, sejak ditubuhkan lapan tahun lalu, program MINTS dilihat memberi nafas baharu kepada penduduk di kawasan PPR atau PA di Kuala Lumpur.

Selain program pembangunan, idea penubuhan MINTS yang dicetus YWP, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) kini turut diperluaskan dengan melibatkan warga setempat. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas