Merungkai polemik rukyah, hisab

PERSPEKTIF
Oleh DR. SAADAN MAN

SALAH satu perkara yang menimbulkan polemik sepanjang zaman dalam kalangan umat Islam ialah perbezaan tarikh puasa Ramadan, Aidilfitri dan Aidiladha. Baru-baru ini pun kecoh apabila Arab Saudi dan beberapa negara merayakan Aidilfitri pada Selasa 4 Jun 2019, Malaysia dan majoriti negara lain pada Rabu, 5 Jun 2019 manakala Brunei pada Khamis, 6 Jun 2019. Tiga hari yang berbeza ini mengelirukan ramai orang.
Namun kita kena faham bahawa ia disebabkan beberapa isu yang masih belum disepakati: rukyah atau hisab?; penentuan sempadan matla’ dan perbezaan kriteria hisab.
Isu ini memerlukan kupasan terperinci tetapi saya ringkaskan dalam beberapa perkara berikut dalam konteks rukyah dan hisab sahaja.
Arab Saudi sejak dahulu mengamalkan rukyah dan tidak pernah mengikut hisab. Mereka bergantung ketat kepada rukyah untuk bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah. Fatwa-fatwa ulama mereka tidak membenarkan penggunaan hisab bagi penentuan puasa dan hari raya.
Namun sistem rukyah mereka sangat longgar dan sering didakwa tersilap kerana mereka mengambil kira akuan atau syahadah rukyatul hilal oleh orang awam walaupun rukyah melalui alat moden seperti teodolit dan binokular pada tarikh dan masa yang sama tidak kelihatan.
Mereka meraikan kenampakan awam dan mengambil kira ia sebagai rukyah yang diterima walaupun mungkin bertentangan dengan hisab. Bagi mereka, ini Sunnah yang perlu diikuti kerana hadis-hadis rukyah adalah khusus untuk bulan-bulan berkenaan.
Kelemahan kaedah penerimaan kenampakan awam ialah orang awam banyak tersalah rukyah kerana tiada kemahiran.
Nampak cahaya berkelip bersinar sahaja dianggap hilal. Tetapi ia tetap diperakukan oleh mahkamah Saudi berdasarkan syahadah dan sumpah mereka. Sudah banyak kes tersalah rukyah berlaku di Saudi sejak sekian lama termasuk kenampakan cahaya planet Zuhal seperti banyak dilaporkan media pada tahun 2011. Sebab itulah banyak kritikan terhadap Saudi kerana kaedah rukyah yang longgar ini.
Pada bulan-bulan lain, Arab Saudi mengikut hisab menggunakan kriteria Ummul Qura/Wujudul Hilal iaitu adanya bulan selepas ijtimak dan terbenam hilal (anak bulan) selepas terbenamnya matahari.
Bagaimanapun, kriteria ini banyak kelemahan kerana walaupun hilal baru telah ada, jika umurnya masih terlalu muda, kemungkinan untuk kelihatan adalah sangat mustahil. Kenampakan melalui rukyah pada ketika itu adalah mustahil. Ringkasnya iaitu tidak selaras dengan rukyah.
Bagaimanapun, kaedah ini telah didakwa digunakan pada Syawal lalu oleh Arab Saudi di mana data mengikut Accurate Times 5.6 yang dibangunkan oleh Odeh dari ICOP di Mekah ijtimak berlaku pada pukul 13.02 LT, Sunset 7.03, Moonset 7.04. Kedua-dua syarat kelihatan dipenuhi.
Namun saya tidak yakin mereka bergantung kepada hisab ini pada Syawal lalu kerana ia bertentangan dengan kaedah tradisi lama mereka merukyah dan menerima cerapan awam.
Walaupun Arab Saudi sudah banyak berubah dan terbuka akibat post modernisme pasca Wahhabism, saya tidak rasa mereka terkesan dalam konteks rukyah dan hisab kerana mereka syadid dalam bab ini. Ia hanya satu kebetulan. Laporan media menyatakan ada kenampakan hilal di sana dan ini menunjukkan ada orang awam yang ‘nampak’ hilal walaupun data menyatakan mustahil.
Jadi dalam konteks penentuan Syawal baru-baru ini, Arab Saudi menggunakan kenampakan rukyah pada 29 Ramadan, 3 Jun dan mengisytiharkan Aidilfitri pada 4 Jun, Selasa. Cuma ia kebetulan bertepatan dengan takwim Ummul Qura mereka. Itu keputusan rasmi mereka dan kita hormati.
Brunei pula merukyah hilal Syawal pada 4 Jun kerana mereka berpuasa lewat sehari dari kita. 29 Ramadan mereka ialah 30 Ramadan di Malaysia. Oleh kerana hilal tidak kelihatan walaupun sudah berumur lebih 25 jam, mereka menggenapkan 30 hari Ramadan dan mengisytihar Aidilfitri pada Khamis, 6 Jun 2019. Berbeza dua hari dari Arab Saudi. Adapun cerapan di Malaysia dan Indonesia pada 30 Ramadan, hilal jelas kelihatan (lihat data ICOP). Ini juga menimbulkan isu matla’ yang seolah tidak diambil kira oleh Brunei.
Sebenarnya Brunei, sama dengan Arab Saudi dari segi menggunakan kaedah rukyah secara ketat pada tiga bulan sahaja, Ramadan, Syawal dan Zulhijjah. Cuma pada bulan-bulan lain, mereka menggunakan hisab berdasarkan kriteria Imkanur Rukyah (IR) sama dengan Malaysia.
Malaysia pula menggabungkan antara rukyah dan hisab untuk sepanjang tahun. Ini amalan yang konsisten sejak 1992. Ketetapan ini adalah satu dasar yang dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja Melayu dan ia sentiasa dipatuhi oleh setiap negeri dan Pusat. Kaedah ini bertepatan dengan tuntutan Sunnah dan kaedah kiraan moden. Ia diakui sebagai kaedah terbaik buat masa ini.
Tidak benar jika ada yang mendakwa Malaysia mengikut hisab semata-mata dan hanya ‘berlakon’ rukyah. Ini dakwaan yang sangat nakal. Kedua-dua kaedah ini sebenarnya saling lengkap melengkapi kerana jika ada ralat oleh salah satu dari keduanya, ia boleh diperbetulkan oleh yang satu lagi.
Hisab juga sangat perlu untuk membantu pencerap memilih ketetapan waktu, masa dan tempat merukyah. Rukyah sukar dilakukan tanpa hisab. Data-data hisab sangat diperlukan bagi ketepatan rukyah. Pada kebiasaannya data cerapan rukyah di Malaysia bertepatan dengan hisab.

Kaedah hisab

Kaedah hisab yang Malaysia pakai ialah berdasarkan kriteria imkanur rukyah (kemungkinan boleh rukyah) iaitu hilal berada sekurang-kurangnya 2 darjah atas ufuk, 3 darjah elongasi dari matahari sebelum terbenam atau telah berusia minimum 8 jam ketika terbenam. Kita tidak ikut kriteria imkanur rukyah (IR) Turki, 5 darjah atas ufuk sebelum terbenam dan 8 jam kerana laporan data dari Indonesia mendakwa pernah nampak pada 2,3,8. Oleh kerana kriteria ini dikritik kerana tiada data kenampakan di Malaysia, ia sedang dalam proses diubah atau dipertingkatkan dan menunggu masa kelulusan daripada MABIMS Sekarang kita masih menerima pakai (kaedah) 2,3,8 ini.
Semasa rukyah Syawal pada 3 Jun lalu iaitu pada 29 Ramadan (rukyah mesti dilakukan pada 29 haribulan (hb), bukan 30hb data hisab menunjukkan pada titik paling barat Malaysia (Tanjung Chincin, Langkawi), bulan berada pada -0.24 (di bawah ufuk), jarak bulan ke matahari 2 darjah 57 minit dan umur hilal 1 jam 26 minit. Jadi, ia tidak memenuhi kriteria. Rukyah tidak akan nampak tetapi kita perlu merukyah kerana ia tuntutan nas.
Oleh kerana hilal tidak kelihatan, maka kita genapkan bulan Ramadan 30 hari. Ini kaedah yang disepakati tentang rukyah. Lalu Aidilfitri diisytihar pada 5 Jun, Rabu. Ia menepati kaedah rukyah dan bertepatan dengan hisab. Jelas kita menggunakan kedua-dua kaedah, rukyah dan hisab.
Di Malaysia ada 29 lokasi cerapan hilal yang diwartakan bagi tiga bulan berkenaan dan ini menafikan dakwaan kita tidak merukyah. Malaysia juga telah belanjakan jutaan ringgit untuk membina balai cerap di hampir setiap negeri untuk cerapan dan rukyah hilal. Kita melakukan cerapan hilal tiap-tiap bulan.
Data cerapan rukyah hilal di Teluk Kemang dilakukan oleh Jakim dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) setiap bulan sejak puluhan tahun lalu untuk penambahbaikan kriteria kenampakan hilal.
Gabungan rukyah dan hisab adalah pilihan majoriti ulama falak Malaysia sejak turun temurun. Ia dimajukan dari zaman Syeikh Tahir Jalaluddin, membawa ke era Haji Mohd. Khair Taib, Datuk Dr. Haron Din dan diwarisi dari mereka hingga sekarang dan kaedah ini masih dipegang oleh Jakim dan semua negeri di Malaysia.
Kaedah IR 2,3,8 sering dilihat ada kelemahan dan ia sedang diberi penambahbaikan. Ada beberapa kajian dilakukan di UM dan mencadangkan perubahan kriteria. Kaedah yang digunakan tidak dipertikaikan kerana telah disahkan oleh Majlis Raja-Raja Melayu. Jika ada pertikaian oleh orang awam, mereka boleh ajukan kepada pihak berautoriti, Jakim dan Jabatan Mufti Negeri.

CATEGORIES