Berita

Ibu kota untuk semua, susah dan senang

- Diterbit 14 Jun 2019 6:28 AM MYT

Catatan Zin Mahmud

MALAYSIA adalah sebuah negara kecil tetapi tidaklah kenit. Besar dan kecil sesebuah negara bergantung pada keluasan tanah dengan diambil kira bilangan penduduknya. Rusia, Amerika, China, India dan Indonesia adalah negara besar. Thailand, Filipina, Myanmar, Vietnam adalah negara sederhana manakala Kemboja dan Laos adalah negara kecil. Singapura dan Brunei adalah negara kenit.
Tetapi ada bandar raya yang besar berada di negara kecil atau kenit. Jakarta adalah bandar raya besar berada di sebuah negara besar. Singapura adalah bandar raya besar di negara kenit. Kuala Lumpur adalah bandar raya sederhana di sebuah negara kecil.
Sempadan asal bandar raya tidaklah besar. Tetapi apabila ia menjalar keluar, maka bandar raya menjadi mega. Sempadan London tidak besar. Tetapi Greater London menjadikannya mega. Jakarta Raya menjadi mega daripada sempadan asal Betawi atau Batavia, nama lama Jakarta. Kota Singapura sudah menjadi besar meliputi keseluruhan pulau. Greater Beijing yang mempunyai 10 jalan lingkaran adalah jauh lebih besar daripada sempadan asal Beijing. Kuala Lumpur hanya ada tiga jalan lingkaran, Inner Ring Road (IRR), Middle Ring Road (MRR) dan Outer Ring Road (ORR) yang turut meliputi Greater Kuala Lumpur atau Lembah Klang.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya hanya secebis daripada Lembah Klang yang mana sebahagian besar berada di Selangor dalam bentuk daerah Gombak, Petaling, Klang, Sepang dan Hulu Langat.
Lembah Klang dengan terasnya adalah Kuala Lumpur menjadi besar kerana ia merupakan pusat ekonomi yang menarik orang dari merata tempat untuk mencari rezeki dari pelbagai lapisan pendapatan yang kaya dan miskin, senang dan susah. Tentunya bagi orang miskin dan susah, kehidupan mereka adalah lebih sukar. Fenomena penghijrahan dari kawasan susah ke tempat senang berlaku di seluruh dunia, sepanjang sejarah manusia.
Dalam sejarah manusia, bandar raya pertama ialah Eridu, dekat Uruk di Sumeria, Mesopotamia, terletak di Iraq sekarang. Lain-lain kota yang turut dianggap sebagai bandar raya awal ialah Byblos atau Jbeil di Lebanon, Jericho di Palestin, Damsyik di Syria, Aleppo juga di Syria, Baitulmuqaddis di Palestin, Sidon di Lebanon, Luoyang di China, Athens di Greece, Argos juga di Greece dan Varasani di India.

Moden

Bagi kota moden, ia bermula dengan Revolusi Industri di Britain pada kurun ke-18. Keruntuhan sistem feudalisme pertanian yang digantikan dengan kapitalisme industri membawa kepada banyak para petani dan peladang England berhijrah ke kota industri seperti Manchester, Birmingham dan London.
Keperluan bahan mentah mendorong kepada imperialisme. Maka bandar pelabuhan juga muncul di Liverpool dan Southampton. Perbandaran imperialisme juga merebak dari England ke tanah jajahannya, di timur ke India iaitu Calcutta. Di barat ke Amerika iaitu Boston.
Dari Calcutta ini, ia merebak ke Georgetown, Pulau Pinang. Pelabuhan ini dahagakan timah. Ia mendorong penubuhan bandar Taiping, Ipoh, Kuala Lumpur dan Seremban. Timah menarik orang susah dari tempat-tempat jauh untuk memajukan bandar.
Daripada orang yang susah ini, muncul dalam kalangan mereka, orang senang melalui pelombongan dan perniagaan. Tetapi orang miskin tetap majoriti. Orang kaya hanya minoriti. Sistem hanya mebenarkan sedikit orang kaya. Jika kekayaan dibagi sama rata pada semua, maka tidak akan ada orang kaya, semuanya menjadi miskin. Ketika Kuala Lumpur mula berkembang pada kurun ke-19, kebanyakan orang Inggeris adalah orang senang. Antaranya merupakan birokrat kerajaan British yang mempunyai gaji tetap. Mereka juga disediakan kuarters di sekitar Lake Gardens dan kawasan yang kemudian dinamakan Kenny Hills, sekarang Bukit Tunku. Ada beberapa orang Barat, tidak semestinya Inggeris menjadi usahawan.
Mereka juga kaya dan mempunyai banglo di tengah bandar. Orang Barat yang miskin adalah anggota-anggota tentera tetapi mereka tinggal di berek.
Kebanyakan orang Cina di Kuala Lumpur pada asal adalah orang susah yang berhijrah dari China. Mereka menjadi pelombong dan kediaman mereka yang berupa pondok-pondok dan bangsal berada berhampiran lombong-lombong di Petaling, Cheras, Ampang, Damansara dan Kepong. Ada juga yang menjadi peniaga dan tinggal di rumah-rumah kedai di tengah bandar berhampiran Medan Pasar. Sementara yang kaya, jumlahnya sedikit adalah tauke-tauke lombong di samping mempunyai rumah-rumah yang disewakan untuk perniagaan lain termasuk perjudian dan pelacuran.
Tauke-tauke besar termasuk kapitan, mereka adalah orang kaya yang berpengaruh dan turut merupakan dermawan dan nama mereka diabadikan pada banyak jalan di Kuala Lumpur. Mereka mempunyai rumah-rumah agam di sekitar bandar. Malah Istana Negara lama adalah bekas rumah tauke ini.
Orang Melayu dan India kebanyakannya adalah orang susah yang berniaga dan membuat pelbagai kerja. Mereka datang dari pelbagai tempat di Nusantara dan India. Ada orang Melayu yang hidup lebih senang kerana mempunyai tanah untuk mengusahakan pertanian.
Malah Kampung Baru itu asalnya adalah penempatan pertanian, Malay Agricultural Settlement. Orang Melayu yang berniaga di Malay Street ada yang bertambah senang. Begitu juga orang India di Indian Mosque Road dan Ampang Street. Di situ ada orang India Peranakan, Chettiar yang menjadi peminjam wang atau chetty.

Kaya

Penduduk Kuala Lumpur semakin bertambah. Bagi orang kaya untuk mendapat rumah tentunya tidak sukar. Mereka hanya perlu membeli. Tetapi bagi orang susah yang merupakan majoriti tentulah mencari kediaman adalah susah. Di kalangan orang India yang menjadi pekerja keretapi atau estet, mereka memperoleh kuarters di Brickfields dan Sentul.
Kuala Lumpur menjadi bandar yang mempunyai masa depan ialah apabila ia dijadikan ibu kota negeri Selangor dan kemudian menjadi ibu kota Federated Malay States. Tetapi pada masa itu tanah di Kuala Lumpur masih banyak yang kosong dengan pentadbiran tanah yang belum kemas. Rumah-rumah setinggan muncul di banyak tempat berhampiran lombong dan pekan upamanya di Cheras dan Petaling.
Orang Melayu yang berhijrah ke Kuala Lumpur tertumpu di Kampung Baru, Kampung Datuk Keramat, Kampung Pandan, Kampung Kerinchi, Kampung Abdullah Hukum, Kampung Sungai Penchala, Kampung Chubadak, Kampung Segambut dan seumpamanya.
Kini banyak kampung tradisi sudah kian hilang. Rumah-rumah setinggan juga sudah ditiadakan. Tetapi penduduk dalam kalangan orang miskin dan susah semakin ramai. Tanah semakin mahal. Banyak kawasan hijau semakin berkurangan. Pemaju-pemaju mendapat lebih mudah dan menguntungkan untuk membina rumah mahal. Bagi mereka yang kaya perumahan tidak menjadi masalah. Hanya dengan campur tangan kerajaan orang miskin dapat kediaman.
Bandar-bandar bukan untuk orang kaya-kaya saja. Ia jadi bandar kerana kehadiran orang miskin. Orang kaya membayar cukai secara langsung dan tidak langsung yang lebih daripada orang miskin. Tetapi kekayaannya sama ada atas usahanya, perniagaannya atau diwarisi adalah kerana adanya orang miskin yang sanggup bekerja dengan gaji kecil, asalkan ada pendapatan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas