Berita

Jadilah ‘tangan yang memberi’

- Diterbit 14 Jun 2019 6:32 AM MYT

MUKADDIMAH

ANTARA sikap segelintir usahawan di negara ini adalah kecenderungan mereka mengharapkan kontrak kerajaan semata-mata. Sedangkan terdapat begitu luas pasaran termasuk di luar negara yang masih gagal ditembusi.
Bagi Pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) Cawangan Putrajaya, DATUK SERI MUHAMAD KHANAFI HUSIN, usahawan Muslim tidak boleh sekadar meminta-minta sebaliknya perlu menerapkan konsep ‘yadu ulya’ iaitu menjadi tangan yang sentiasa memberi.

Ikuti tembual Pengarang Wilayahku, HELMI MOHD. FOAD bersama Muhamad Khanafi yang juga Timbalan Presiden DPIM mengenai perubahan sikap yang perlu dilakukan usahawan Muslim.

WILAYAHKU: Boleh ceritakan perkembangan dan aktiviti yang dilakukan DPIM Putrajaya?

MUHAMAD KHANAFI: Setakat ini kita mempunyai 100 orang ahli di Putrajaya. Kalau di peringkat Pusat, DPIM mempunyai 1,800 ahli di seluruh negara. Namun keahliannya tidak semesti mereka yang tinggal di Putrajaya, ada juga yang datang dari Selangor dan berminat menyertai DPIM Putrajaya. Apa yang penting mereka mempunyai syarikat dan perniagaan. Aktivitinya lebih kepada memberikan peluang perniagaan kepada ahli-ahli. DPIM secara keseluruhan sama ada di Cawangan atau Pusat adalah badan yang memayungi usahawan-usahawan Muslim ahli DPIM sama ada ahli biasa atau bersekutu.
Kita menyediakan peluang bukan berbentuk wang tetapi dari sudut networking, contohnya dapatkan peluang pinjaman oleh agensi-agensi seperti Tekun Nasional, Mara, Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) dan bank-bank. Kita aturkan program dan taklimat dana. DPIM adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kita tidak membuat keuntungan sebaliknya mencipta peluang.
Keduanya, kita adakan kluster khas yang dipecahkan kepada lima sektor iaitu RJB (Rakan Jihad Bisnes). Melalui RJB kita adakan pertemuan dua minggu sekali. Lokasinya di Kelab Tasik Putrajaya. Ia lebih kepada program silaturahim dan suai kenal serta beri peluang memperkenalkan bisnes masing-masing supaya perniagaan itu berlegar dalam kalangan ahli-ahli. Ketiga, kita ada konsep ‘yadu ulya’ tangan yang memberi lebih baik daripada tangan menerima. Contohnya, pemaju perumahan, mereka perlukan perjanjian jual beli (S&P), lebih baik kita ambil peguam-peguam dalam kalangan ahli kita.

WILAYAHKU: Adakah dalam program pertemuan tersebut menjanji projek tertentu kepada ahli?

MUHAMAD KHANAFI: Dari sudut DPIM, kita berjaya memberikan peluang perniagaan kepada ahli tetapi mereka datang ke RJB bukan mengharapkan semata-mata dapat projek. Janganlah tidak ada projek mereka tidak datang.
Keempat ialah kluster halal. Kita ada seminar-seminar berkaitan halal. Kita telah memohon kepada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menjadi penyedia latihan-latihan halal kepada usahawan dan orang ramai serta peluang import dan eksport produk halal.
Kemudian kita fokus kepada misi dagangan di luar negara untuk melebarkan jaringan. Kita sudah bawa ke Turki tiga kali. Kita bawa usahawan-usahawan yang mahu mencari peluang niaga di negara tersebut dan kita menjalinkan hubungan dengan dewan perniagaan di sana melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MTRADE). Melalui misi dagang, usahawan boleh membuat tuntutan geran daripada MATRADE.

WILAYAHHKU: Sejauh mana kejayaan misi dagang tersebut, adakah sekadar menandatangani memorandum persefahaman?

MUHAMAD KHANAFI: Ada usahawan yang sudah dapat kontrak di sana (Turki) antaranya projek solar, trading dan pembekalan peralatan kesihatan. Bulan lepas kita buat kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UITM) dengan mengadakan lawatan ke Osaka, Jepun. Walaupun belum dimuktamadkan, kita sudah mendapat permintaan daripada Jepun termasuk produk halal. Sekarang sudah ada permintaan untuk melakukan misi dagangan kedua ke Jepun.
Kelimanya, kita fokus kepada pengurusan acara untuk memberikan peluang pendapatan kepada ahli-ahli dan sertai konvensyen serta seminar. Kita cari rakan kerjasama seperti OIC Today untuk menganjurkan Halal Submit.

WILAYAHKU: Dengan keadaan kenaikan harga barang, apa jaringan yang DPIM boleh bantu?

MUHAMAD KHANAFI: Kita ada aduan di peringkat bawahan, mereka memang terkesan dengan kenaikan harga barang seperti bahan binaan. Apabila harga barang naik bisnes terkesan dan kos menjadi lebih tinggi contohnya kontraktor, dulu bina rumah margin keuntungan boleh dapat hingga 25 peratus. Namun apabila ada kenaikan harga barang, mereka perlu menyerapkan kos kenaikan tersebut.
Jadi kita dapatkan maklum balas daripada usahawan dan kemudian bawakan aduan kepada agensi terbabit.
Sejak tahun lepas macam-macam kunjungan hormat kita lakukan termasuk di peringkat menteri. Insya-Allah, DPIM akan bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 8 Julai ini.
Kalau usahawan membuat aduan secara perseorangan nanti hanya ibarat menyalak bukit tetapi apabila kita datang sebagai satu persatuan, suara itu menjadi lebih kuat.
Kita tidak minta projek kerana sedia maklum kerajaan sekarang menghadapi masalah kewangan. Tetapi kerajaan boleh bantu dari segi memberikan kelulusan projek membawa teknologi ke negara ini sekali gus boleh menjana pendapatan untuk negara.
Contohnya, teknologi percepatkan kemasukan pelancong dan proses urusan visa haji. Jadi kerajaan boleh menjana pendapatan.

WILAYAHKU: Seperti kita maklum, usahawan tempatan terutama orang Melayu Islam sering menghadapi masalah pemasaran hingga menyukarkan mereka berjaya.

MUHAMAD KHANAFI: Kita tahu kelemahan usahawan Muslim memang pemasaran. Pembungkusan memang cantik-cantik, ada kilang, ada mart tetapi isunya pemasaran. Kita sudah berjumpa dengan pemilik pasar raya besar. Mereka memberikan kita kemudahan meletakkan produk-produk seperti di Mydin, AEON dan rangkaian Speed Mart. Memang tidak ada masalah tetapi kadang-kadang usahawan kita gagal memenuhi syarat yang dikenakan.

Kita boleh carikan pasaran di China seperti eksport sarang burung walid atau durian. Isunya kemampuan usahawan untuk sediakan stok. Contohnya kita dapat tawaran daripada Qatar yang mempunyai keperluan besar makanan, sampai sekarang tidak ada industri seperti pembekalan ayam. Mereka minta kita sediakan kilang ayam ternak. Mereka mahu sediakan tanah pajakan 30 tahun percuma dan beri pinjaman bank. Usahawan kita mesti benar-benar bersedia.
Solusinya usahawan perlu bergabung tubuh konsortium dalam kalangan industri sama untuk tembusi pasaran lebih besar.
Usahawan kita janganlah jadi seperti kera sumbang, hendak buat projek seorang-seorang.

WILAYAHKU: DPIM sebelum ini terkenalkan dengan konsep wakaf korporat, adakah ia masih diteruskan?

MUHAMAD KHANAFI: Kita masih teruskan konsep wakaf korporat yang sebelum ini diperjuangkan oleh bekas Presiden DPIM, Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim. Sistem ekonomi Islam dahulu begitu berjaya seperti ketika kerajaan Khilafah Uthmaniah di Turki. Sampai sekarang konsep wakaf diajarkan di sekolah umpamanya murid membeli pensel dan kemudian diwakafkan untuk murid lain.
Ini kerana mereka tahu kekuatan wakaf. Wakaf maksudnya milik Allah, bukan individu yang boleh dijual. Wakaf tidak ada dividen, jadi ia boleh berkembang. Ia sangat membantu jihad ekonomi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas