Utama

Merindui masjid di Wilayah Persekutuan

MASJID PUTRA di Putrajaya menjadi mercu tanda pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan.
- Diterbit 8 April 2020 6:02 AM MYT
MINGGU lalu adalah Jumaat keempat umat Islam negara ini tidak dapat menunaikan sembahyang Jumaat kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi mereka yang taat bersembahyang Jumaat tentu berasa janggal apabila tidak dapat menunaikan kewajipan itu.

Selain itu tentu dirasakan kerinduan terhadap masjid kerana tambahan pula, sembahyang waktu berjemaah juga tidak dapat disertai.

Hanya kedengaran laungan azan oleh bilal di masjid dan surau ketika masuk waktu.

Peristiwa 13 Mei 1969

Sebelum ini tentu tidak terfikir pada orang bahawa akan berlaku keadaan sebegini. Bagi warga emas di Wilayah Persekutuan, mungkin ada yang masih ingat betapa sembahyang Jumaat tidak dapat diadakan selepas berlaku Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969.

Untuk beberapa minggu, perintah berkurung yang ketika itu dipanggil curfew dikenakan ke atas Kuala Lumpur. Pastinya sembahyang Jumaat tidak dapat dilakukan.

Antara kawasan yang teruk dilanda pergaduhan ialah sekitar kawasan Chow Kit dan Kampung Baru. Masjid utama di situ ialah Masjid Jamek Kampung Baru. Satu lagi masjid ialah Masjid Pakistan di Chow Kit.

Pada tahun 1969, penulis berusia 10 tahun dan berada dalam Darjah Empat. Ketika itu penulis, sebagai anak tentera tinggal di kuarters dalam kem tentera yang dipanggil Mindef atau Ministry of Defence iaitu Kementerian Pertahanan, terletak di Jalan Padang Tembak, dahulunya bernama Rifle Range Road.

Di Mindef pada masa itu tiada masjid. Jadi kalau untuk sembahyang Jumaat, para anggota tentera di Mindef di Masjid Depoh Polis yang berhampiran.

Depoh Polis atau dipanggil Police Depot kini menjadi Pusat Latihan Polis (Pulapol) yang terletak di Gurney Road. Jalan ini bertukar nama kepada Jalan Semarak dan kini bernama Jalan Sultan Yahya Petra. Kini nama masjid itu ialah Masjid Solehin.

Pada masa itu Masjid Angkatan Tentera Malaysia (ATM)  yang kini bernama Masjid Khalid Al-Walid dan terletak di hujung Jalan Padang Tembak belum didirikan. Dahulu di tapaknya terletak deretan kuarters tentera.

Selain Masjid Polis Depoh, masjid paling hampir dengan Mindef ialah Masjid Kampong Datuk Keramat. Ia merupakan masjid lama diperbuat daripada kayu. Masjid di Kampung Datok Keramat yang ada sekarang belum ada pada tahun 1969.

Tapaknya masih berupa sebuah lombong. Masjid baharu yang didirikan dinamakan Masjid Al-Akram. Bangunan masjid lama kemudian diruntuhkan.

Masjid ATM yang didirikan lama kemudiannya mengambil reka bentuk yang sama sebiji pada dengan Masjid Al-Akram di Datuk Keramat. Kubah aluminiumnya berwarna kuning bersinar apabila dipancar matahari. Pada awalnya hanya terdapat satu kubah.

Pada awal tahun 1980-an, Masjid Al-Akram itu dibesarkan dan ia dapat tambahan satu lagi kubah.

Ketika projek pembesaran dibuat, Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, perdana menteri sekarang.

Beliau ada membuat kunjungan meninjau kemajuan pembesaran masjid dalam rangka lawatan ke tapak-tapak pembangunan di Kuala Lumpur. Penulis ada dalam lawatan itu sebagai pemberita Utusan Melayu yang membuat liputan.

Masjid ATM juga melalui pembesaran apabila ia juga seperti Masjid Al-Akram mendapat satu lagi kubah.

Apabila selesai ubah suai, bentuk Masjid ATM berbeza daripada Masjid Datuk Keramat itu.

Kini, selain Masjid Khalid Al-Walid dan Masjid Solehin, ada satu lagi masjid tersergam yang terletak berhampiran dengan Mindef. Ia adalah Masjid Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang terletak di Jalan Maktab.

Nama lama jalan itu ialah College Road bersempena adanya Technical College di situ. Asal Technical College adalah Treacher Technical School. Ia kemudian menjadi Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) sebelum menjadi UTM.

Tetapi pada tahun 1969, ia masih dikenali sebagai Technical College atau Maktab Teknik.

Pada masa itu Wilayah Persekutuan belum wujud. Kuala Lumpur adalah sebuah daerah di Selangor, yang juga termasuk Petaling Jaya.

Selain Masjid Depoh Polis dan Masjid Kampung Datok Keramat, masjid Kuala Lumpur yang pernah penulis kunjungi pada tahun 1968 dan 1969  ialah Masjid Jamek Kampong Baru, Masjid Jamek Kuala Lumpur, Masjid India dan Masjid Negara.

Pada tahun 1980-an, Masjid India adalah tempat perhimpunan Jamaah Tabligh pada hari Sabtu malam Ahad sebelum Masjid Seri Petaling didirikan. Kegiatan mereka adalah sebahagian warna-warni kerohanian ibu kota.

Kini nama rasmi Masjid Jamek Kuala Lumpur ialah Masjid Jamek Sultan Abdul Samad. Ia adalah masjid utama Kuala Lumpur sebelum adanya Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan.

Masjid Jamek itu bagaimanapun menggantikan masjid pertama Kuala Lumpur yang juga terletak di Jalan Tun Perak, iaitu di seberang Sungai Klang. Masjid itu dirobohkan apabila Masjid Jamek itu siap dibina. Ketika itu Jalan Tun Perak bernama Java Road.

Tradisi

Di sekitar Kuala Lumpur, masjid-masjid tradisi dibina di mana ada perkampungan Melayu seperti Masjid Kampong Pandan, Masjid Jalan Pasar, Masjid Kampong Abdullah Hukum, Masjid Kamping Kerinchi, Masjid Sungai Penchala, Masjid Segambut, Masjid Jalan Ipoh, dan Masjid Setapak.

Apabila Universiti Malaya ditubuhkan di Kuala Lumpur, sebuah masjid didirikan dengan nama Masjid Ar-Rahman.

Pembinaan masjid di Kuala Lumpur berlaku dengan pesat pada tahun 1980-an. Terdapat siri masjid dibina dengan menamakannya menurut Khalifaur Rasyidin.

Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq adalah nama masjid di Bangsar. Senibinanya menarik hinggakan rekabentuk yang serupa digunakan untuk membina masjid utama negara Maldives, iaitu di ibu negaranya, Male.

Masjid Saidina Omar Al-Khattab ialah nama masjid baharu di Bukit Damansara. Masjid Saidina Uthman bin Affan pula didirikan di Bandar Tun Razak dan Masjid Saidina Ali didirikan di Kampung Padang Balang, Sentul.

Dengan pembinaan Putrajaya, Wilayah Persekutuan menyaksikan bangunan-bangunan masjid yang tersergam iaitu Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan.

Bagi penulis, masjid yang pernah dipanggil Masjid Besi ini adalah masjid di Wilayah Persekutuan yang paling cantik. Reka bentuk yang minimalis menyegarkan landskap seni bina masjid di Malaysia.

Tetapi dari segi reka bentuk tradisi dunia Islam, Masjid Wilayah Persekutuan adalah paling terseragam. Ini kerana ia menggabungkan reka bentuk tiga masjid hebat dunia, iaitu masjid di Istanbul di Turki, Esfahan di Iran dan Agra di india.

Adalah amat diharapkan wabak Covid-19 dapat dibendung dan PKP berakhir minggu depan.

Semoga umat Islam di Wilayah Persekutuan dapat kembali beribadat di masjid-masjid. Tetapi jika perhimpunan besar tidak boleh diadakan selama enam bulan, maka lagilah dapat berjemaah di masjid.

Ini termasuklah sembahyang tarawih dan sembahyang sunat Aidilfitri. Sesungguhnya masjid-masjid adalah butir mutiara di Wilayah Persekutuan.

PKP menjadikan seseorang Muslim akan berasa lebih menghargai masjid dan sembahyang berjemaah di dalamnya.

Alunan azan dan bacaan imam serta kenyamanan berada di bawah hembusan angin kipas dalam masjid merupakan ketenangan bagi mereka yang menghargai nikmatnya.

Zin Mahmud merupakan wartawan veteran yang pernah berkhidmat selama lebih tiga dekad dalam industri persuratkhabaran, buku dan majalah. Pernah menjawat Pengarang Mingguan Malaysia, Pengarang Kumpulan Harakah dan Pengarang Berita Harian Watan
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas