Berita

24.62 juta topeng muka percuma mula diedar

SUASANA sesak masih berlaku ketika orang ramai beratur untuk membeli barangan keperluan di Pasar Jalan Raja Bot atau Pasar Chow Kit pagi ini.
- Diterbit 8 April 2020 6:53 AM MYT

PUTRAJAYA – Sebanyak 24.62 juta topeng muka sedang diagihkan kepada isi rumah secara percuma di seluruh negara.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap isi rumah akan menerima empat keping topeng muka bagi kegunaan harian mereka.

Katanya, topeng muka tersebut merupakan pembelian oleh pihak kerajaan dan bukannya sumbangan daripada kerajaan China.

“Topeng muka itu akan diedarkan oleh Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) di setiap negeri seterusnya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

“Sebahagian topeng tersebut telah tiba di daerah dan diagihkan kepada isi rumah oleh petugas barisan hadapan di setiap daerah,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini.

Jelas beliau, pengedaran topeng muka ke Sarawak, Sabah dan Labuan akan dihantar menerusi penerbangan khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jumaat ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pemberian topeng muka secara percuma kepada rakyat sebagai sumbangan kerajaan kepada rakyat dalam menghadapi krisis Covid-19. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas