Artikel

Merebut pahala ibadah Lailatul Qadar

- Diterbit 8 Mei 2021 9:24 AM MYT

SOALAN ASSALAMUALAIKUM SS Mufti, mohon panduan daripada tuan mufti bagi kami yang ingin memburu Lailatul Qadar. Terima kasih.

HURAIAN JAWAPAN Memasuki fasa terakhir bulan Ramadan, terdapat sebuah malam yang dijanjikan oleh Allah SWT lebih baik daripada 1000 bulan.

Kita digalakkan untuk memperbanyakkan amalan soleh pada malam-malam terakhir bulan Ramadan untuk meraih pahala beribadah pada malam al-Qadr tersebut.

Bilakah berlakunya Lailatul Qadar? Para ulama Islam mengatakan bahawa Lailatul Qadar berlaku pada bulan Ramadan iaitu pada malam diturunkan al-Quran.

Firman Allah SWT: Maksudnya: “Bulan Ramadan yang mana padanya telah diturunkan alQuran.” Surah al-Baqarah (185)

Begitu juga firman Allah SWT yang menyatakan bahawa alQuran telah diturunkan pada malam al-Qadr iaitu: Maksudnya: “Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr.” Surah al-Qadr (1)

Dan, maksudnya: “Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkannya (al-Quran) pada malam yang diberkati.” Surah alDukhan (3)

Para ahli tafsir seperti Imam al-Thabari, Imam al-Baghawi dan juga Imam Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ketiga dari surah al-Dukhan di atas telah menukilkan pandangan tokoh besar seperti Imam Qatadah dan juga Imam Abu Zaid.

Mereka mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan malam yang mubarakah (diberkati) tersebut adalah Lailatul Qadar. Lihat Tafsir al-Thabari, Ibn Jarir al-Thabari (22/7).

Hari apakah berlakunya Lailatul Qadar dalam bulan Ramadan?

Setelah kita mengetahui bahawasanya Lailatul Qadar berlaku di dalam bulan Ramadan, maka pada hari apakah ia berlaku di dalam bulan tersebut ?

Adakah ia berlaku pada 10 malam terawal, 10 yang pertengahan, atau 10 malam yang terakhir?

Terdapat beberapa hadis yang boleh menjawab persoalan ini. Antaranya adalah daripada Abdullah Ibn Umar R.anhuma beliau berkata bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Carilah Lailatul Qadar itu pada 10 malam yang terakhir (bulan Ramadan).” Riwayat Muslim (1165)

Daripada Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Carilah kalian Lailatul Qadar itu pada malam-malam ganjil dari 10 malam yang terakhir bulan Ramadan.” Riwayat al-Bukhari (2017)

Berdasarkan kedua-dua riwayat yang sahih di atas, dapatlah kita faham dan ketahui bahawa Lailatul Qadar berlaku pada 10 malam terakhir dari bulan Ramadan dan ia berlaku pada salah satu malam yang ganjil dalam 10 hari terakhir tersebut iaitu 21, 23, 25, 27, serta 29 Ramadan.

Amalan pada 10 malam terakhir bulan Ramadan

Rasulullah SAW merupakan individu yang bersungguh-sungguh menghidupkan malam bagi memburu ganjaran Lailatul Qadar.

Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina A’isyah R.anha: Maksudnya: “Adalah Nabi SAW apabila masuknya 10 hari terakhir (bulan Ramadan) baginda akan mengetatkan ikatan di pinggangnya, baginda menghidupkan malam harinya, dan baginda membangunkan ahli keluarganya (untuk beribadah).” Riwayat al-Bukhari (2024)

Merujuk kepada hadis tersebut, terdapat tiga amalan khusus yang dilakukan oleh Rasulullah SAW:

1) Mengetatkan ikatan di pinggang baginda

Imam al-Hafiz Ibn Rajab Rahimahullah mengatakan pendapat yang paling sahih akan maknanya adalah Rasulullah SAW mengasingkan dirinya daripada isteri-isteri baginda. Lihat Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab (Hlm. 332).

2) Menghidupkan malam Sebahagian fuqaha dari kalangan Syafi’eyyah berkata: “(Ganjaran) menghidupkan malam itu dapat diperoleh dengan seseorang itu melakukan solat Isyak secara berjamaah dan dia berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjamaah.”

Begitu juga kata Imam alSyafie Rahimahullah: “Sesiapa yang menghadiri solat Isyak dan solat Subuh (secara berjamaah) pada Lailatul Qadar maka dia telah mendapatkan ganjaran darinya (beribadah pada malam Lailatul Qadar).” Rujuk Lathaif al-Ma’arif, Ibn Rajab (Hlm. 329).

3) Menggerakkan ahli keluarga untuk beribadah.

Ketika masuknya 10 malam terakhir bulan Ramadan, Rasulullah SAW mengejutkan isteri-isteri dan ahli keluarga untuk bangun beribadah.

Bahkan, terdapat riwayat yang menunjukkan bahawa baginda pergi mengetuk pintu Saidatina Fathimah R.anha dan Saidina Ali bin Abi Thalib R.anhu lalu berkata: Maksudnya: “Apakah kamu berdua tidak bangun lalu menunaikan solat?” Riwayat al-Bukhari (1127)

Kelebihan beribadah pada Lailatul Qadar

Antara kelebihan menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan ibadah adalah seperti berikut:

1) Dosa-dosa kecil diampunkan Ini adalah berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.anhu beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan qiyam pada Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran berserta keampunan nescaya akan dihapuskan dosadosanya yang terdahulu.” Riwayat al-Bukhari (1901)

Istilah qiyam berdasarkan hadis di atas bermaksud menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan ibadah seperti solat tarawih, bacaan al-Quran, berzikir, berdoa, beriktikaf, membaca al-Quran, bersedekah, dan segala amalan soleh yang lain.

2) Ganjaran amalan melebihi 1000 bulan

Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT: Maksudnya: “Malam alQadr itu lebih baik daripada 1000 bulan.” Surah al-Qadr (3)

Kata al-Imam Ibrahim al-Nakhaie Rahimahullah ketika menafsirkan ayat ini: Beramal pada malam tersebut (Lailatul Qadar) lebih baik daripada beramal pada 1000 tahun. Lihat Lathaif al-Maarif, Ibn Rajab (Hlm. 341).

Semoga pencerahan ini sedikit sebanyak dapat memberi galakan kepada kita untuk memperbanyakkan amalan soleh pada 10 malam terakhir bulan Ramadan khususnya bagi memburu Lailatul Qadar.

Marilah kita berdoa kepada Allah SWT agar Dia merezekikan kepada kita semua untuk bertemu dengan malam tersebut. Wallahua’lam.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas