Artikel

Anak miskin di bangku sekolah

PENDIDIKAN merupakan medium terbaik dan terpantas yang berupaya membawa seseorang itu keluar dari kancah kemiskinan.
- Diterbit 8 Mei 2021 8:52 AM MYT

logo budimanSEHINGGA Februari tahun ini dianggarkan lebih 30,000 keluarga daripada 1.8 juta penduduk Kuala Lumpur berada di bawah paras kemiskinan.

Jumlah itu dikenal pasti di 178 lokaliti di sekitar Kuala Lumpur terutama membabitkan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR). (Sinar Harian, 1 Februari 2021).

Berapa ramaikah jumlah kanak-kanak yang masih di bangku sekolah datangnya daripada keluarga miskin itu? Tentulah jumlahnya puluhan ribu juga, atau mungkin melebihi seratus ribu. Persoalannya, bagaimanakah dengan persekolahan mereka?

Apakah mereka mendapat apa yang mereka perlukan atau sebaliknya mereka sekadar berada dalam sistem itu bagi memenuhi keperluan bukannya untuk mencapai apa-apa tujuan?

Di mana-mana tempat di dunia ini, apabila kemiskinan menjadi topik perbincangan, tumpuan tidak terlepas daripada golongan kanak-kanak.

Ini kerana merekalah mangsa sebenar daripada penyakit yang satu ini. Kemiskinan keluarga, jika tidak dirawat bukan sahaja merosakkan kehidupan anak-anak itu sekarang, tetapi juga masa depan mereka.

Pendidikan penting untuk semua insan dan ia seharusnya bermula sejak zaman kanak-kanak.
Malah terbukti sejak lama bahawa pendidikan merupakan medium terbaik, dan tidak keterlaluan jika dikatakan terpantas, yang berupaya membawa seseorang itu keluar dari kancah kemiskinan.

Buktinya telah terlalu banyak dan ia terus memberikan bukti-bukti baharu sepanjang masa.

Tetapi turut terbukti bahawa kemiskinan dan pendidikan jarang bergerak seiring. Secara relatifnya kemiskinan sentiasa menjadi faktor penolak dalam usaha-usaha mendapat pendidikan yang baik.
Pihak berwajib boleh menyediakan apa sahaja kemudahan pendidikan, tetapi kemiskinan sering menghalang golongan tertentu menikmati dan memanfaatkan kemudahan tersebut.
Pada masa dahulu, di Malaysia, hubung kait kemiskinan dan pendidikan lebih banyak melibatkan kawasan luar bandar.

Kisah anak-anak miskin tercicir dalam pelajaran, atau tidak berpeluang mendapat pelajaran langsung, menjadi sebahagian daripada pembentuk landskap sosioekonomi negara.

Tetapi kesungguhan kerajaan menangani masalah ini menyebabkan ia kian berkurangan dalam dekad kebelakangan ini.

Kecuali di Sabah, Sarawak dan beberapa bahagian terpencil di Semenanjung, masalah gangguan kemiskinan terhadap pendidikan di kawasan luar bandar tidak lagi ketara.

Taraf hidup yang lebih baik, tahap kesedaran yang semakin tinggi, ditambah dengan kemudahan, bantuan dan sokongan oleh kerajaan menyebabkan anak-anak miskin – walaupun dengan upaya yang terbatas – mempunyai peluang untuk berjaya sama seperti rakan-rakan mereka yang datang daripada keluarga yang berada di atas garis kemiskinan.

Tetapi sebenarnya masalah itu belum selesai. Ia sekadar berpindah tempat.

Pertumbuhan pesat kawasan perbandaran, dengan perluasan kawasan bandar sedia ada dan kemunculan bandar-bandar baharu menyebabkan masalah yang suatu masa melingkari masyarakat luar bandar itu sekarang ini bertukar menjadi beban kepada warga kota. Dan dalam konteks ini Kuala Lumpurlah yang menduduki tempat teratas carta.

Statistik dari data.gov.my menunjukkan bahawa sehingga 30 Jun 2018 terdapat 134 sekolah kebangsaan, 42 sekolah rendah jenis kebangsaan Cina, 15 sekolah rendah jenis kebangsaan Tamil dan tiga sekolah rendah pendidkan khas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Untuk peringkat menengah pula terdapat 104 buah sekolah dan angka ini meliputi sekolah berasrama penuh, sekolah menengah agama, sekolah teknik, kolej vokasional, kolej tingkatan enam, pendidikan khas, sekolah sukan, sekolah seni dan sekolah bimbingan jalinan kasih.

Untuk rekod semua angka yang diberi adalah bagi sekolah-sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan. Jika dicampur dengan sekolah-sekolah persendirian, jumlahnya adalah lebih banyak.

Berdasarkan angka-angka itu Kuala Lumpur telah menyediakan medan pendidikan yang cukup untuk anak-anak warganya.

Sekurang-kurangnya setakat ini ia tidak seperti Selangor yang berdepan dengan masalah kekurangan sekolah berikutan pertambahan bilangan murid yang semakin ketara.

Namun apa yang menjadi isu adalah sejauh mana anak-anak miskin di Kuala Lumpur dapat menggunakan kemudahan itu dalam erti kata sebenar.

Berikut adalah kesan-kesan kemiskinan ke atas pelajar:
-Kelaparan yang mempengaruhi konsentrasi baik dalam kehidupan harian mahupun pelajaran
-Makanan tidak seimbang yang boleh mempengaruhi perkembangan jangka panjang
-Perhatian tidak mencukupi daripada ibu bapa atau penjaga yang sibuk dengan urusan mencari nafkah
-Pengalaman belajar yang terhad berikutan kesempitan hidup
-Kurang keyakinan diri disebabkan kegagalan keluarga, diskriminasi dan kekurangan-kekurangan lain
-Kesihatan yang mudah terjejas
-Kurang rangsangan yang mengakibatkan kurang motivasi dan perkembangan kognitif yang lambat
-Kurang penyertaan dalam aktiviti kokurikulum
-Kehadiran ke sekolah yang sering terganggu

Semua impak ini akan menjadi lebih berganda bebannnya ke atas pelajar miskin di bandar berbanding dengan mereka yang senasib dengannya di luar bandar.

Ini kerana cabaran hidup di kota seperti Kuala Lumpur jauh berbeza dengan di kampung.
Tekanan yang dialami daripada persekitaran di bandar pada bila-bila masa pun jauh lebih menyakitkan. Dugaannya lebih banyak.

Faktor luaran yang berpotensi menarik seseorang pelajar keluar dari alam persekolahan pula ada di mana-mana.

Datang dari rumah yang sempit dengan ibu bapa yang bergelut mencari sesuap nasi, ke sekolah tanpa wang saku atau kalau membawa wang saku sekalipun hanya cukup untuk membeli segelas minuman, memasuki pagar sekolah dengan rasa rendah diri, melihat kawan-kawan dari keluarga berada turun naik kereta dihantar keluarga atau pemandu peribadi, mendengar mereka bercerita tentang pengalaman yang hebat-hebat, bergantung hanya pada bahan rujukan yang didapati di perpustakaan tanpa mampu membelinya sendiri, dan pelbagai lagi cabaran terpaksa mereka lalui termasuklah masalah yuran walaupun sekali sekala, ketidakmampuan mengikuti kelas tuisyen dan sebagainya.

Hanya mereka yang kental mampu melepasi ujian getir itu. Selebihnya tercicir di tengah jalan.
Satu kajian oleh Tabung Populasi PBB (UNFPA) dan Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef) di kalangan penduduk pangsapuri kos rendah sekitar Lembah Klang pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara Mei dan September tahun lalu menunjukkan tujuh peratus daripada anak-anak dari keluarga miskin itu tidak kembali ke sekolah apabila persekolahan dibuka semula.

Sebahagian mereka hilang semangat dan hilang minat untuk belajar, namun sebab lain yang tidak kurang pentingnya adalah kekangan kewangan.

Hasil kajian itu juga mendapati masalah itu lebih ketara di kalangan keluarga yang diketuai wanita, terutama ibu tunggal.

Satu daripada dua responden berkata mereka berdepan kesukaran membayar yuran tuisyen, sementara 50 peratus mendapati sukar menyediakan wang poket dan hampir satu daripada lima responden mengatakan sukar untuk membayar wang pengangkutan.

Jika kajian lebih mendalam dan menyeluruh dibuat, kita pastinya akan berdepan dengan angka-angka yang tidak menarik dan kesimpulan yang tidak menyenangkan.

Tetapi secara peribadi, saya berpendapat ia perlu dilakukan. Sesegera dan serapi mungkin supaya jalan penyelesaiannya boleh dirangka dari awal.

Memang benar kita mempunyai Tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) yang ditubuhkan sejak tahun 2003 dan di Kuala Lumpur kita ada Yayasan Wilayah Persekutuan serta beberapa pihak lain yang sentiasa bersedia menyumbang kepada golongan pelajar yang memerlukan.

Namun bagi penyelesaian yang lebih tuntas, pertimbangan mungkin perlu dibuat bagi mewujudkan tabung khusus untuk anak-anak miskin di Kuala Lumpur yang skop peranannya berpaksikan dasar ‘untuk mereka dan kerana mereka’.

Dengan fokus yang betul diyakini ia dapat meminimakan jumlah pelajar yang menjadi korban kemiskinan kota, dengan fokus yang betul juga ia boleh menjadikan Kuala Lumpur kota yang benar-benar sejahtera untuk warganya.

Nama kolum 3M adalah singkatan kepada Melawan Maksud Miskin yang akan memfokuskan isu berkaitan kemiskinan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas