Kuala Lumpur bukan bandar stress!
KUALA LUMPUR muncul sebagai salah satu bandar paling kurang stress di dunia untuk dikunjungi pelancong.

Kuala Lumpur bukan bandar stress!

TAHNIAH! Tidak diduga, dalam keadaan Kuala Lumpur dianggap sebagai antara bandar paling sibuk dan sesak serta memberi tekanan atau stress, kajian sebuah firma Britain, Love2Laundry, meletakkan ibu negara antara 10 bandar raya paling kurang stres di dunia.

Umum menyedari, dengan kedudukan Kuala Lumpur sebagai ibu negara yang sentiasa hidup dari pagi hingga malam, tinggal di bandar raya pastinya mencabar dan memberi tekanan. Adi percaya situasi ini juga dirasai oleh penduduk-penduduk bandar besar lain di dunia.

Maklum sahaja setiap hari penduduk Kuala Lumpur menghadapi bermacam-macam karenah ketika menjalankan urusan seharian, baik untuk pergi bekerja, berurusan dengan pejabat kerajaan, atau menjalankan pelbagai rutin harian lain.

Saban hari mereka akan berdepan kesesakan lalu lintas, dengan kenderaan yang banyak dan berhimpit-himpit, masing-masing berlumba-lumba untuk segera sampai ke destinasi. Ditambah pula keadaan jalan yang kurang lancar dengan pelbagai pembinaan, pasti akan menyebabkan keluhan pengguna sepanjang hari.

Ini bukan sahaja dialami pada waktu pagi ketika orang ramai berduyun-duyun menuju ke tampat kerja. Waktu petang balik pun akan menghadapi masalah sama. Tiada waktu yang benar-benar sunyi di Kuala Lumpur. Sebab itu ramai penduduk lebih suka tinggal di rumah menenangkan minda pada waktu cuti atau hujung minggu.

Namun dalam keadaan sesak dan sendat yang banyak menguji kesabaran ini, Adi bangga kerana Kuala Lumpur tidaklah terlalu ‘menyeksa’ seperti yang mungkin ramai andaikan atau gambarkan.

Kajian oleh Love2Laundry membuktikan hakikat ini. Kuala Lumpur menduduki tempat ke-10 bandar raya paling kurang stress. Bandar raya lain menurut susunan ialah Adelaide, Vancouver, Honolulu, Chiang Mai, Tokyo, Taipei, Madrid, Singapura dan Sydney.

Yang menarik, salah satu ciri kenapa Kuala Lumpur dianggap paling kurang stress ialah aspek keramahan penduduk. Ertinya secara umum, warga ibu kota adalah peramah. Keramahan mereka menduduki tempat kedua di belakang Vancouver.

Bagi Adi, ini membuktikan walaupun ramai warga Kuala Lumpur sendiri sering kali menghadapi stres, kajian itu menunjukkan sifat ramah di kalangan mereka, khususnya dengan pelancong, tidak pudar. Pastinya pelancong sangat menghargai.

Selain sifat peramah, ciri lain yang meletakkan Kuala Lumpur sebagai antara bandar raya paling kurang stress ialah kos makanan berpatutan, pengangkutan, kualiti spa, alam dan taman, indeks pencemaran udara dan kepadatan penduduk.

Kesemua ciri yang disebutkan di atas sememangnya menjadi perkiraan utama pelancong apabila berhasrat mengunjungi sesebuah negara atau bandar tertentu. Kemampuan Kuala Lumpur menawarkan segala kemudahan tersebut dalam skala baik sudah pasti menjadi tarikan penting pelancong datang ke ibu negara.

Cuma dalam keadaan sempadan negara yang ditutup sekarang dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19, kedatangan pelancong menurun. Namun sekurang-kurangnya kajian ini akan menjadi rujukan berguna pelancong untuk memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan pada masa hadapan.

Warga Kuala Lumpur khususnya wajar bangga dengan kajian yang memartabatkan ibu negara sebagai salah sebuah bandar raya paling kurang stres di dunia. Adi berharap berusahalah bersama-sama membantu kerajaan agar ciri-ciri ini terus dapat dipertahankan.

Mungkin aspek-aspek ini sendiri dipandang ringan oleh warga Kuala Lumpur selama ini sehinggakan pelancong asing yang lebih menyedarinya. Barangkali jika warga ibu kota sendiri menyedari dan menghayati ciri-ciri ini, mereka tidak akan menjadi terlalu stres hidup di ibu negara!

TUNAIKAN ZAKAT, BANTU GOLONGAN MEMERLUKAN

SUDAHKAH anda menunaikan kewajipan zakat, baik zakat fitrah atau zakat harta, sepanjang bulan Ramadan ini? Jangan bertangguh-tangguh dan lakukan segera kerana bukan Ramadan juga sudah menghampiri penghujung.

Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mensasarkan peningkatan jumlah zakat tahun ini. Difahamkan sasaran kutipan ialah RM120 juta, tambahan sebanyak tiga peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu sebanyak RM117 juta.

Selain kesedaran yang semakin meningkat di kalangan orang ramai untuk membayar zakat, pelbagai kempen yang dijalankan serta penambahbaikan yang dilakukan oleh PPZ-MAIWP dijangka membantu mencapai matlamat sasaran kutipan.

Tahun 2020, jumlah RM117 juta zakat yang berjaya dikutip selain melalui amil adalah melalui pelbagai medium bayaran secara online yang disediakan sebagai pilihan dan kemudahan kepada orang ramai membayar zakat menurut kaedah yang mereka sukai.

Pada Adi, ternyata pembayaran online kini semakin mendapat sambutan dan menjadi pilihan ramai berbanding kaedah tradisonal secara bersemuka dengan amil. Pihak PPZ-MAIWP mensasarkan jumlah kutipan zakat fitrah RM8 juta tahun ini dengan RM6 juta secara dalam talian dan selebihnya melalui amil.

Ternyata perkembangan teknologi lebih memudahkan orang ramai. Mereka boleh menunaikan zakat melalui saluran elektronik pada masa dan waktu sesuai dengan mereka, tanpa perlu menemui amil secara fizikal seperti kebiasannya sebelum ini. Namun khidmat amil masih tetap digunakan.

Mereka yang mungkin masih mencari-cari kaedah bayaran secara online ini boleh merujuk kepada fitrah.zakat.com.my. untuk zakat fitrah. Untuk zakat harta pula ialah zakat.com.my.

Adi percaya ramai di kalangan mereka yang bermastautin di Wilayah Persekutuan atau mencari rezeki di ibu kota, tergolong dalam kalangan mereka yang wajib membayar zakat.

Ramai pula pemilik perniagaan beragama Islam yang mempunyai perniagaan besar dan beroleh untung banyak. Maka sewajarnya golongan ini menunaikan tanggungjawab membayar zakat demi mensucikan harta di samping membantu golongan yang lebih memerlukan.

PPZ-MAIWP akan menyalurkan zakat yang diterima kepada golongan asnaf yang berhak mendapat agihan. Semakin banyak kutipan dipungut, semakin banyak boleh diagihkan kepada asnaf di samping menggunakannya untuk memenuhi keperluan masyarakat Islam yang memerlukan bantuan zakat.

Adi menyedari ada juga di kalangan orang ramai yang suka mengagihkan terus zakat secara sendiri terus kepada asnaf tanpa melalui pusat pungutan zakat. Namun pada pandangan Adi seelok-eloknya mereka menunaikan zakat ini melalui PPZ-MAIWP sebagai pusat pengumpulan sehenti.

Ini kerana pusat pungutan zakat mempunyai senarai rujukan lengkap asnaf. Pusat tersebut juga mempunyai kaedah lebih baik dan sistematik mengagih atau membelanjakan zakat menurut keperluan. Dengan cara ini, kaedah pengagihan lebih terkawal dan berkesan.

Pada masa sama, Adi berharap PPZ-MAIWP akan membelanjakan wang kutipan zakat dengan sebaik-baiknya dan memudahkan proses memberi bantuan jika ada permintaan. Kerap kita mendengar masalah dan karenah birokrasi jika ingin memohon bantuan zakat. Adi harap perkara seperti ini hendaklah diatasi segera.

Institusi zakat memainkan peranan penting untk kelangsungan asnaf dan golongan yang memerlukan. Oleh itu, PPZ-MAIWP hendaklah dilihat sentiasa proaktif dalam membantu golongan yang memerlukan bantuan, selagi mereka memenuhi kriteria ditetapkan.

CATEGORIES