Berita

Kejohanan FTKLAA/Milo medan pilih atlet ke SUKMA 2020

ATLET yang mencatatkan aksi cemerlang pada Kejohanan Olahraga All Comers FTKLAA/Milo 2020 berpeluang dipilih ke SUKMA 2020. - Gambar hiasan
- Diterbit 20 Februari 2020 3:35 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kejohanan Olahraga All Comers FTKLAA/Milo 2020 yang dijadual berlangsung pada 1 Mac depan di Trek Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil di sini menjadi antara medan pemilihan atlet ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 di Johor.

SUKMA Johor 2020 akan bermula pada 11 hingga 19 Julai depan.

Presiden Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (FTKLAA), Datuk S. Vegiyathuman berkata, atlet yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut diharap dapat menggunakan peluang tersebut dengan sebaik-baiknya.

“Tujuan penganjuran kejohanan ini adalah bagi memilih atlet mewakili kontinjen Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) untuk mengambil bahagian dalam SUKMA nanti.

“Semua acara olahraga akan dipertandingkan. Atlet yang melepasi had kelayakan akan dipilih dan senarai nama mereka akan dihantar kepada Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) untuk pertimbangan,” kata Vegiyathuman kepada Wilayahku di sini.

Sebagai rekod, berdasarkan peraturan FTKLAA, kejohanan berkenaan dibuka kepada atlet berumur 15 hingga 21 tahun.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 25 Februari ini. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas