Berita

Anugerah Tokoh Siswa : Pemacu Ketokohan kepimpinan siswa

ANUGERAH Tokoh Siswa 2021 berlangsung secara maya bagi menghargai dan mengiktiraf kecemerlangan kepimpinan mahasiswa.
- Diterbit 19 November 2021 3:21 AM MYT

PELAN Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 merupakan pelan utama Kementerian Pengajian Tinggi dalam usaha untuk mentransformasi pendidikan tinggi negara khususnya dalam kerangka akses dan kualiti pendidikan.

Dalam kesungguhan kerajaan memperbaiki mutu dan kualiti pendidikan, aspek kemenjadian mahasiswa terus menjadi agenda utama.

Mengangkat mahasiswa sebagai permata negara, penganjuran Anugerah Tokoh siswa 2020 adalah selari dengan aspirasi tersebut malah ia dapat memacu kemenjadian mahasiswa yang sememangnya signifikan dan menjadi tonggak dalam mencorak masa hadapan negara.

Semenjak pandemik COVID-19 melanda negara dua tahun lalu, kegiatan kokurikulum dan akademik pelajar menjadi terbatas serta menyebabkan sektor pendidikan perlu mengadaptasi proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara norma baharu dengan penggunaan teknologi digital.

Kini, mahasiswa perlu bijak menguruskan masa dengan sistematik dan memanfaatkan teknologi yang ada supaya proses PdP tidak terjejas.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yakin bakat dan tenaga mahasiswa tidak wajar disia-siakan dan perlu diperkembangkan untuk menjamin masa hadapan negara yang lebih berkualiti.

Pada masa yang sama, ianya juga membuka ruang kepada mahasiswa untuk turut sama berkhidmat kepada masyarakat melalui program yang dianjurkan.

Anugerah Tokoh Siswa merupakan platform bagi menghargai dan mengiktiraf kecemerlangan mahasiswa dalam ketokohan berorganisasi melalui penganjuran program-program berimpak tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Noraini pasti Anugerah berprestij ini dapat memberi dorongan dan inspirasi kepada mahasiswa seluruh negara untuk bersama-sama menyumbang bakti, tenaga dan idea ke arah pembangunan
pendidikan tinggi negara serta menjadi pemacu ketokohan kepimpinan siswa dalam mempertabatkan mahasiswa.

Sebanyak 18 kategori anugerah telah dipertandingkan dalam Anugerah Tokoh Siswa 2020 yang berlangsung secara maya pada 9 November lalu.

Anugerah ini turut memperkenalkan anugerah baharu iaitu Anugerah Khas Kepimpinan Ibnu Ummu Maktum yang bertujuan untuk mengiktiraf bakat kepimpinan cemerlang mahasiswa kurang Upaya (OKU) yang pastinya telah banyak menyumbang jasa melalui penganjuran program berimpak tinggi.

Menariknya anugerah ini bukan sahaja menilai pencapaian akademik calon bertanding malah mengambil kira kemampuan mereka dalam penganjuran program berimpak tinggi yang memberi sumbangan dan perubahan positif kepada masyarakat sekitar.

Beliau juga turut dimaklumkan bahawa barisan calon perlu melalui proses temuduga yang bertujuan mengenalpasti identiti serta ciri pemimpin unggul yang wajar dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Kebangsaan.

Bak kata Jack Welch, figura korporat yang terkemuka, “Before you are a leader, success is all about growing yourself. When you  become a leader, success is all about growing others”.

Noraini Ahmad turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan
tahniah dan Syabas kepada pemenang Anugerah dalam setiap kategori serta Jabatan Pendidikan Tinggi dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di atas penganjuran Majlis
Anugerah Tokoh Siswa 2020 yang berlangsung buat julung kalinya
secara maya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas