Selera

Menu RM3 jadi rebutan

- Diterbit 19 Januari 2024 4:30 PM MYT

DALAM kemelut kenaikan harga barangan mentah, peniaga merupakan antara golongan yang merasa terbeban apabila terpaksa menaikkan harga makanan yang dijual.

Namun berbeza dengan pemilik Menu 3 Ringgit KL, Shahirah, 31, yang tampil dengan menjual kira-kira 12 jenis menu makanan ready to eat dengan harga serendah RM3.

Menjalankan perniagaan menu terlajak murah, dia berkata permulaannya dalam dunia perniagaan ini adalah dengan menjual crepe yang pernah menjadi fenomena satu ketika dahulu.

“Saya mula menjual crepe pada 2019 untuk rakan-rakan di pejabat dan mula serius dalam bidang perniagaan makanan ini selepas menjadi suri rumah sepenuh masa pada tahun 2022.

“Timbulnya idea ini selepas munculnya lambakan penjual crepe membuatkan perniagaan saya sedikit perlahan. Tambahan pula sebelum ini pelanggan yang datang bertanyakan tentang menu ready to eat membuatkan saya mahu mencuba sesuatu yang baru pula,” katanya harga makanan dijual murah bagi memberi peluang kepada pelanggan menikmati pelbagai menu masakan.

Menu 3 Ringgit KL menawarkan pelbagai menu seperti masakan barat, pasta serta pencuci mulut antaranya ramen, pasta, tauhu bergedel, wanpaku sandwic, Jelly Ball dan banyak lagi.

“Top seller menu kami adalah Vietnam Roll, spageti carbonara dan Korean Spicy Chicken. Walau bagaimanapun menu kami akan berubah setiap minggu untuk memberi kelainan kepada pelanggan,” ujarnya setiap menu tersebut dimasak sendiri olehnya dengan bantuan suami dan kakak ipar.

Tambahnya, dia berusaha sedaya upaya dalam memenuhi setiap kehendak pelanggan bagi memastikan perniagaan ini sentiasa diterima ramai.

“Saya juga mengharapkan agar orang ramai akan terus menyokong peniaga lokal dan kecil seperti kami ini. Buat masa ini kami hanya buka di tepi jalan sahaja dan keinginan untuk membuka sebuah kedai semestinya ada namun ia masih dalam perancangan,” katanya yang bakal berpindah ke rumah teres bagi memudahkan proses bekalan barangan dan memasak. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas