Selera

Hotteok cita rasa Malaysia

HOTTEOK perlu dileperkan bagi memastikan ia masak sepenuhnya
- Diterbit 19 Januari 2024 4:20 PM MYT

BUDAYA Korea yang popular di Malaysia bukan hanya fenomena sementara kerana pengaruhnya dilihat begitu besar dalam kalangan masyarakat tempatan malah selera pemakanan juga turut menjadi ikutan.

Jadi, tidak hairanlah ramai yang jatuh cinta dengan hidangan dari negara empat musim ini seperti kimchi jigae, dakgalbi dan banyak lagi. Menyedari hal itu, Mu’ammar Mahadzir, 28, tampil dengan perniagaan Roti Prensa Premium yang diilhamkan daripada Korea Street Food.

ROTI Prensa Premium menerima sambutan menggalakkan selepas videonya tular di TikTok baru-baru ini

Menurut Mu’ammar dia mula menceburi bidang perniagaan sejak tahun 2019 dengan menjual bakso sebelum beralih kepada roti prensa yang kelihatan seperti hotteok iaitu penkek di Korea bermula 2 Disember lalu.

“Idea asal adalah daripada isteri saya, kalau sebut penkek pastinya ramai yang tahu ia adalah makanan yang manis tetapi kita olahkan menjadikannya roti savouri versi selera orang Malaysia yang disertakan dengan sos homemade.

“Terdapat dua pilihan sos homemade iaitu spicy atau black pepper dan intinya adalah daging atau ayam,” ujarnya resipi diolah sendiri dengan pengalaman untuk menghasilkan inti dan rasa yang terbaik.

Tambahnya, keunikan roti prensa yang berharga RM7 (daging), RM6 (ayam) dan RM6 (keju) adalah pada cara memasaknya di mana ia perlu ditekan sehingga leper untuk memastikan inti daging dan ayam yang telah diperap itu masak.

Berkongsi tentang cabaran utama sepanjang perniagaan yang dijalankan di Sungai Buloh itu, Mu’ammar berkata dia pernah mengalami situasi orang awam membuat aduan tentang kesesakan jalan raya apabila pelanggan datang menyerbu gerainya.

“Sejak tular di media sosial orang ramai tidak putus datang dan memandangkan saya berniaga tepi jalan berhadapan kawasan kilang menyebabkan kesesakan lalu lintas terutama pada hari bekerja.

“Justeru itu, kita tampil dengan waktu perniagaan yang baharu iaitu 7 petang sehingga habis bagi hari bekerja manakala pada hujung minggu bermula 3 petang,” katanya yang mempunyai enam pekerja termasuk seorang di central kitchen.

Dalam masa yang sama, dia turut mempunyai perancangan untuk mempelbagaikan menu sekali gus membuka francais bagi memudahkan pelanggan jauh untuk menikmati Roti Prensa Premium. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas