Berita

Menteri Kesihatan Malaysia, Singapura buat ‘video conference’ bincang kerjasama tangani coronavirus

DZULKEFLY (empat dari kiri) bersama timbalannya, Dr. Lee Boon Chye (tiga dari kiri) pada sidang video dengan rakan sejawatannya dari Singapura di Putrajaya petang tadi.
- Diterbit 11 Februari 2020 12:20 PM MYT

PUTRAJAYA – Sebuah Jawatankuasa Kerja Bersama yang diterajui Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia dan Singapura telah ditubuhkan bagi memperkukuhkan pelbagai usaha merentasi sempadan kedua-dua negara dan dipersetujui secara bersama.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, perkara tersebut diputuskan hasil perbincangan melalui satu sesi sidang video dua hala beliau dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Gan Kim Yong bersama pegawai-pegawai kanan kementerian masing-masing petang ini.

”Perbincangan berkisarkan situasi semasa kejadian jangkitan 2019 novel coronaviris (2019-nCoV) di Malaysia dan Singapura serta langkah-langkah yang sewajarnya dilaksanakan bagi menangani kejadian jangkitan berkenaan khususnya melalui pengukuhan kerjasama sedia ada.

”Para pegawai kanan dari Malaysia dan Singapura akan bekerjasama dan meneruskan perbincangan dalam masa terdekat bagi mengenal pasti terma rujukan bagi Jawatankuasa Kerja Bersama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkefly memberitahu, fokus kerjasama dua hala itu membabitkan perkongsian maklumat dalam bidang kesihatan awam, perubatan dan penyelidikan bagi memastikan penularan jangkitan 2019-nCoV ditangani secara berkesan.

Katanya, perkara itu juga melibatkan saringan dan pengurusan kes rentas sempadan Malaysia-Singapura; penyeragaman indikasi bagi penggunaan ubat anitiviral dan mengenal pasti pegawai yang bertanggungjawab di kedua-dua kementerian bagi tujuan komunikasi berkenaan pengurusan kes 2019-nCoV serta pengesanan kontak rapat.

Mengenai status terkini jangkitan 2019-nCoV di negara ini, beliau berkata, setakat hari ini tiada kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes 2019-nCoV yang dilaporkan kekal sebanyak 18 kes. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas