Artikel

Menjadi ahli ‘Masyarakat Bertopeng’

JIKA semua kita ‘bertopeng’ orang yang dijangkiti tanpa disedari
- Diterbit 9 Ogos 2020 4:00 AM MYT

ANCAMAN Covid-19 masih belum berlalu. Negara juga masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos.

Tetapi Adi perhatikan di Wilayah Persekutuan dan beberapa bandar di negeri lain yang Adi kunjungi baru-baru ini, ramai yang bersikap seolaholah sudah meraikan kebebasan daripada ancaman Covid-19.

Tiada lagi kebimbangan di kalangan mereka ini. Kerana itu mereka sudah tidak peduli dengan prosedur operasi standard (SOP).

Mereka bebas bergerak tanpa memakai pelitup muka (mask) khususnya di tempattempat awam.

Penjarakan fizikal juga diabaikan. Mereka sudah lupa bahawa negara masih dalam PKPP dan segala SOP yang ditetapkan mesti dipatuhi.

Adi kesal dengan sikap kelompok yang mudah lupa ini. Perbuatan mereka bukan sahaja mendedahkan diri sendiri kepada bahana virus pembunuh Covid-19 tetapi mewujudkan risiko menularkannya kepada orang lain.

Jika selama ini SOP dipatuhi, kenapa harus berubah sikap sedangkan perintah kawalan pergerakan masih berkuatkuasa. Benar situasi Covid-19 telah bertambah baik dan kerana itulah kini negara berada dalam fasa pemulihan.

Tetapi PKPP bukan lesen kebebasan untuk sesuka hati mengabaikan segala SOP. Ingatlah Covid-19 masih belum berlalu. Malah sudah diuar-uarkan sebelum ini virus wabak tersebut akan terus
berlegar-legar di sekeliling kita sekurang-kurangnya untuk tempoh dua tahun.

“Adi berharap dengan mewajibkan pemakaian pelitup muka ini pihak bertanggung jawab seperti polis akan bertindak tegas ke atas mereka yang tidak mematuhinya. 

Tetapi nampaknya ramai daripada kita mengabaikan hakikat ini dan mengambil mudah peraturan yang dikenakan untuk kebaikan bersama.

Ambillah iktibar daripada beberapa negara lain seperti China, Korea dan Jepun yang mengalami gelombang kedua Covid-19.

Ertinya walaupun wabak tersebut sudah menurun, kemungkinan untuk ia datang semula memang ada, terutama apabila kita lalai.

Adakah kita mahu situasi yang sama berlaku di negara ini? Baru-baru ini ada laporan beberapa kluster baharu telah dikesan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri bimbang dan kesal dengan sikap orang ramai yang mengabaikan SOP. Malah beliau memberi ingatan kerajaan sedia menimbang menguatkasakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika orang ramai terus mengabaikan SOP dan menyebabkan graf Covid-19 meningkat dan junmlah yang dijangkiti bertambah.

Oleh itu Adi setuju sangat dengan langkah kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka berkuatkuasa 1 Ogos lalu serta mengetatkan penguatkuasaan SOP yang lain.

Ini adalah langkah yang sangat wajar ‘memaksa’ orang ramai mematuhi SOP kerana mereka sendiri tidak dapat mendisiplinkan diri mematuhi peraturan.

Memang sedih kerana ramai di antara kita hanya berbuat sesuatu kerana dipaksa atau dibuat undang-undang, bukan kerana kesedaran diri sedangkan ia untuk kebaikan sendiri. Adi berharap dengan mewajibkan pemakaian pelitup muka ini pihak bertanggung jawab seperti polis akan bertindak tegas ke atas mereka yang tidak mematuhinya.

Tiada lagi budi bicara kerana perbuatan mereka boleh menyebabkan berlakunya gelombang kedua Covid-19 dan penguatkuasaan semula PKP.

Adalah amat tidak adil kerana sikap mereka maka rakyat keseluruhan dan negara akan menanggung akibatnya. Adi juga pasti rakyat Malaysia seboleh-bolehnya tidak mahu PKP dikuatkuasakan lagi.

Rakyat telah merasai pelbagai kepayahan ketika PKP. Kita telah melalui PKP dan PKP Bersyarat (PKPB) dengan patuh. Kerana itulah ancaman Covid-19 berjaya dikekang secara berperingkat sehingga membolehkan kita kini berada pada fasa PKPP.

Kita sedang menuju ke arah situasi yang lebih baik. Oleh itu jangan sia-siakan apa yang telah dicapai selama ini. Perjuangan melawan Covid-19 belum selesai dan perlu diteruskan. Matlamat ini
akan hanya dapat dicapai jika kita terus bekerjasama mematuhi arahan kerajaan serta SOP ditetapkan.

Justeru rakyat mesti terus berganding bahu dengan kerajaan meneruskan perjuangan ini sehingga mencapai kemenangan. Kita semua perlu membiasakan diri menjadi ahli ‘masyarakat bertopeng’.

Adi Tuah

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas