Artikel

Melawan miskin bandar

MELAWAN miskin bandar bukan tugas kerajaan sahaja tapi kita semua, kita bersama.
- Diterbit 16 Ogos 2020 1:30 PM MYT

DARIPADA sudut sejarahnya, kemiskinan adalah milik luar bandar. Di mana-mana, pada masa dahulu, asal disebut miskin, berlegarlah imej kawasan-kawasan kampung dan pedalaman.

Rumah-rumah berdinding buluh, beratap nipah, tanpa bekalan elektrik. Kanak-kanak tidak berbaju dan berkaki ayam. Kini keadaan berubah.

Kemiskinan bertukar hak milik. Ia lebih sering disinonimkan dengan kawasan-kawasan bandar. Semua ini berlaku kerana perubahan gaya dan nilai hidup.

Dalam tempoh 50 tahun terakhir abad lalu, dunia mengalami pertumbuhan kawasan perbandaran yang pesat.

Ia menjadi magnet yang menarik warga luar bandar untuk berhijrah.

Dalam tempoh itu kadar penduduk dunia yang mendiami kawasan bandar meningkat daripada 30% kepada 50% dan dijangka menjadi 60% dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.
Di Malaysia peningkatannya lebih drastik.

Mengikut carta taburan penduduk Malaysia 1970-2020 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan pada 1970, jumlah penduduk bandar hanyalah 26.9%, tetapi kini angka itu menjadi 77.2%.

Perubahan ini ada harganya. Ia turut membawa bersamanya masalah-masalah yang kompleks lagi rumit. Tetapi yang paling ketara adalah kemiskinan.

Berbanding dengan kemiskinan di luar bandar, kemiskinan di bandar lebih keras sifatnya.

Ia bukan sahaja tentang pendapatan dan hak pemilikan aset tetapi juga melibatkan soal kos kehidupan, tempat kediaman, akses kepada kemudahan kesihatan dan pendidikan, keupayaan bersaing dan banyak lagi.

Turut berada dalam senarai adalah bekalan air dan sanitasi yang selamat, pengurusan sampah yang tidak mencukupi, saliran yang buruk, pencemaran udara dan lain-lain.

Data Bank Dunia menunjukkan kadar kemiskinan di Malaysia menurun dari 16.7 peratus kepada 2.7 dalam tempoh 2008 hingga 2015.

Tetapi baru-baru ini kerajaan menetapkan had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional diletakkan pada angka RM2,208 berbanding RM980 yang diguna pakai sejak 2005.

HAD BARU MISKIN BANDAR

Pengenalan had baharu itu menyebabkan jumlah isi rumah yang tergolong dalam kategori miskin bertambah kepada 405,441 berbanding hanya 16,653 jika menggunakan had sebelum ini.

Demikian juga bilangan isi rumah miskin tegar berdasarkan garis PGK baharu ini, ia berjumlah 27,158 pada 2019, berbanding 1,752 mengikut had lama.

Statistik daripada Pengkalan Data Kemiskinan Negara e-Kasih bertarikh 30 Oktober 2019 menunjukkan terdapat 1,185 keluarga miskin di Kuala Lumpur dan 2,932 miskin tegar.

Kita tunggu angka rasmi yang akan dikeluarkan selepas PGK baharu diperkenalkan.

Biar berapa pun angkanya, miskin tetap miskin. Dan melawannya adalah tuntutan.

Laporan media pada September tahun lalu menyebut bahawa 57% atau 26,000 penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) gagal menjelaskan tunggakan sewa yang membawa kepada jumlah RM58 juta.

Kadar sewa yang dikenakan sebenarnya sangat rendah ialah RM124 sebulan, tetapi ada yang tertunggak antara setahun hingga 10 tahun.

Bagi yang tidak memahami denyut nadi kelompok ini mereka mungkin tampil dengan bermacam-macam tanggapan.

Culas, liat, tidak menjadikan pembayaran itu keutamaan, pandai memberi alasan dan pelbagai lagi.

Tetapi bagi mereka yang gajinya hanya RM1500 atau waimma RM2000 sebulan, dengan lima anak atau emak dan bapa yang perlu dijaga, usahkan RM124, RM50 juga sudah cukup banyak.

Atas sebab itulah kemiskinan bandar adalah lebih daripada soal gelandangan atau kekurangan makan minum. Ketidakupayaan membayar sewa dan bil utiliti juga adalah petunjuknya.

“Orang miskin kita mungkin tidak mengemis, tetapi mereka bergelut untuk hidup,” kata Prof Denison Jayasooria dari UKM yang lebih suku abad membuat penyelidikan mengenai miskin bandar.

Atas faktor itu kata beliau, tanggapan bahawa miskin bandar itu adalah mereka yang mengemis dan bergelandangan harus diubah kerana skop miskin bandar adalah lebih daripada itu.

Saya bersetuju dengan beliau. Kita harus melihat kemiskinan jauh di sebalik bidai dan tabir yang ada.

Dengan itu langkah dan tindakan juga harus menjangkaui bidai dan tabir tersebut. Masalah kemiskinan perlu diselesaikan mengikut ukuran setiap keluarga. Ia tidak boleh secara umum.

PENDEKATAN IKUT KELOMPOK SASARAN

Pendekatan untuk membantu golongan ini juga harus disesuaikan mengikut kelompok sasaran. Peniaga miskin berbeza keperluannya dengan buruh miskin.

Keluarga di PPA dengan lima anak tidak sama dengan setinggan yang mempunyai jumlah anak yang sama. Banyak kerja, tetapi dengan kaedah yang betul, ia mungkin boleh dipermudahkan.

Di mana-mana pun, antara langkah lazim yang diambil bagi membantu golongan yang diklasifikasikan sebagai
miskin adalah membuka peluang kepada mereka untuk memperolehi pendapatan dalam aktiviti ekonomi yang konsisten dan memberi peluang untuk mereka bersaing secara adil.

Dengan perkataan lain, jika pendapatan tidak adil, sekurang-kurangnya peluang mereka sama rata.

Pintu ke arah itu adalah pendidikan, sama ada formal ataupun tidak. Telah diterima umum bahawa pendapatan rendah mempunyai kaitan dengan pendidikan.

Mereka yang rendah tahap pendidikannya secara umum tidak berpeluang mendapat pekerjaan yang menawarkan ganjaran upah atau gaji yang tinggi.

Mereka terpaksa berlegar di pasaran bergaji rendah yang persaingannya lebih sengit termasuk dengan tenaga kerja asing.

Masalah mereka tidak habis di situ. Anak-anak mereka pula, disebabkan oleh kemiskinan keluarga berkemungkinan tidak mendapat pendidikan yang sempurna.

Ia bukanlah kerana tiada kemudahan pendidikan kerana kerajaan pada dasarnya telah memenuhi tuntutan itu dengan menyediakan sekolah yang baik dan pelbagai skim bantuan sebagai sokongan.

Tetapi seorang anak miskin yang datang daripada sebuah flat yang sesak, yang makan minumnya adalah tentang kenyang bukan tentang zat, yang untuk membeli bahan rujukan perlu berperang dengan perasaan kerana kasihankan orang tuanya, sudah tentu daya saingnya tidak sama dengan anak orang yang ‘have-have’.

Dia bernasib baik jika berjaya. Jika tidak, dia akan kembali menjadi seperti orang tuanya, melakukan apa sahaja yang hasilnya tidak seberapa demi kelangsungan hidup. Atas sebab itu usaha Kementerian Wilayah Persekutuan menggalakkan pembinaan rumah di bawah 200 ribu dengan tiga bilik adalah sesuatu yang dipuji.

Inisiatif lain seperti bantuan bas percuma, penjualan bahan makanan 20 peratus di bawah harga semasa, khidmat perubatan percuma adalah antara inisiatif baru yang diperkenalkan oleh Tan Sri TPr Annuar Musa.

TUGAS BERSAMA

Peranan komuniti perlu dilipatgandakan. Ketua dan ahli-ahli komuniti wajar membina jalinan yang lebih berfungsi. Yang bukan sahaja mengenali anggota kelompoknya, tetapi juga mengetahui kehendak dan keperluan mereka.

Langkah lebih besar yang perlu diambil adalah dengan menggalakkan pembangunan bercampur. Jangan dipisahkan penempatan warga miskin daripada mereka yang berpendapatan sederhana atau tinggi.

‘Pemisahan’ seperti itu sedikit sebanyak memberikan kesan psikologi yang tidak manis untuk dibayangkan.

Ia hanya menambahkan lagi rasa rendah diri di kalangan mereka yang tidak berada itu – keadaan yang memungkinkan mereka berasa akan kalah sebelum masuk ke gelanggang.

Banyak lagi boleh dan perlu dibuat. Mungkin sama banyak dengan yang telah dan sedang dibuat. Malah mungkin juga lebih banyak lagi.

Tugas siapakah untuk melakukan semua yang belum dilakukan itu? Sebahagiannya tugas kerajaan, dan sebahagian lagi adalah tugas kita semua. Kita bersama.

Penulis merupakan Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas