Artikel

Bendera di hati kita

- Diterbit 8 Ogos 2020 2:04 AM MYT

SEPANJANG PKP berkuatkuasa beberapa bulan lalu, ramai daripada kita yang duduk di rumah menonton pelbagai filem dalam media sosial.

Antara filem yang mendapat perhatian penulis ialah Flags of Our Fathers yang diarahkan oleh Clint Eastwood pada tahun 2006.

Filem ini mengisahkan suasana pada tahun 1945 (ketika Perang Dunia Kedua masih berlangsung) bagaimana tentera Amerika Syarikat (A.S) berjaya menguasai Pulau Iwo Jima yang dipertahankan oleh tentera Jepun dalam pertempuran yang sangat hebat antara kedua-dua pihak.

Setelah menguasai seluruh Pulau Iwo Jima, sekumpulan anggota tentera A.S yang terdiri daripada lima anggota Marin AS dan seorang anggota Tentera Laut A.S telah menaikkan bendera A.S di puncak Gunung Suribachi di pulau itu.

Saat tersebut telah digambarkan sebagai pemulihan maruah A.S dalam memenangi Perang Dunia Kedua beberapa bulan selepas itu.

Lihatlah betapa pentingnya maksud sehelai bendera kepada bukan sahaja satu ketumbukan angkatan tentera, tetapi sangat bermakna kepada negara-negara yang bersekutu dengannya ke
arah dunia yang bebas daripada cengkaman penjajah dan peperangan yang menyusahkan.

Penggunaan bendera atau panji-panji telah lama digunakan sejak wujudnya tamadun manusia termasuk oleh pasukan tentera yang dipimpin oleh Rasulullah S.A.W sendiri serta sahabatsahabat baginda ketika mengembangkan syiar Islam bermula di Semenanjung Tanah Arab.

Jika kita meneliti lukisan-lukisan lama yang dipamerkan di beberapa muzium atau galeri di Eropah, kita boleh lihat beberapa peperangan atau pertempuran penting dalam sejarah dunia antaranya seperti Pertempuran Montgisard (dalam Perang Salib) yang melibatkan Salahuddin Al-Ayyubi pada November 1177 Masihi.

Lukisan Pertempuran Montgisard hasil karya Charles Philippe Lariviere menunjukkan bahawa tentera Islam pimpinan Salahuddin dengan jelas mengibarkan bendera berwarna hijau
ketika menentang musuhmusuh.

Jika kita singkap sejarah moden selepas Perang Dunia Kedua pula, Libya adalah antara negara yang pernah menggunakan bendera berwarna hijau semata-mata tanpa ada warna atau jalur lain.

Warna hijau pada bendera Libya digunakan oleh Kolonel Muammar Ghadafi (Presiden Libya) bermula pada tahun 1977 sehinggalah beliau digulingkan pada tahun 2011.

Warna hijau yang sama tanpa corak dan warna lain itu juga digunakan oleh Tentera Udara Libya pada pesawat-pesawat mereka yang digeruni oleh pihak lawan seperti Israel.

Pada akhir tahun 1970an dan 1980an Libya memiliki banyak pesawat canggih buatan Rusia seperti pesawat pemintas MIG-25 Foxbat dan pengebom strategik jarak jauh TU-22.

Sesungguhnya imej hijau pada kapal terbang milik Tentera Udara Libya yang sama dengan bendera mereka adalah lambang kedaulatan angkasa negara Islam tersebut yang disegani pada waktu itu.

Kedudukan Libya berada di sebelah barat daya Turki merentasi Laut Mediterranean.

Dalam buku bertajuk Armies of the Greek-Turkish War 1919-1922 tulisan Philip S. Jowett, kita boleh nampak pasukan infantri tentera Turki membawa bendera kebanggaan mereka
yang berwarna merah dengan bulan sabit dan bintang yang berwarna putih ke barisan hadapan medan perang menentang Tentera Greece.

Keseluruhan warna merah dan bulan sabit/bintang berwarna putih pada panjipanji Turki mempunyai banyak persamaan dengan bendera milik Tunisia.

Warna merah bermaksud keberanian, dan bagi masyarakat Cina ia memberi simbol kekayaan, panjang umur dan nasib yang baik.

Warna jalur merah serta putih pada Jalur Gemilang kebanggaan kita yang melambangkan 14 negeri dalam Malaysia pula mempunyai persamaan bukan sahaja dengan bendera A.S,
malah sebuah lagi negara iaitu Liberia di benua Afrika.

Liberia merdeka pada tahun 1847 memiliki 11 jalur merah dan putih pada bendera mereka melambangkan 11 tokoh yang menandatangani pengisytiharan kemerdekaan negara tersebut.

Sejarah Liberia menarik untuk dikaji kerana penuh dengan penindasan oleh golongan kulit putih.

Manakala di Afrika Selatan, warna merah membawa erti dukacita dan pertumpahan darah pada era Apartheid.

Menurut Aristotle, warna ada persamaan dengan elemen semula jadi iaitu api, tanah, udara serta air.

Beliau berpandangan bahawa kesemua warna yang wujud berasal daripada warna hitam dan putih, iaitu hitam hadir apabila tiada cahaya manakala putih wujud disebabkan adanya cahaya.

Warna putih bagi kebanyakkan bendera selalu dikaitkan dengan kesucian, keikhlasan, keamanan dan kebenaran.

Negara-negara yang berjiran dengan Malaysia seperti Indonesia, Singapura dan Thailand memiliki kombinasi warna merah dan putih pada bendera masingmasing termasuk United Kingdom serta Jepun yang pernah menjajah kita.

Tun Dr. Mahathir dalam salah satu ucapan rasmi semasa beliau menjadi perdana menteri dahulu pernah menceritakan tentang beliau dapat melihat sendiri bagaimana seorang tua yang berbasikal disepak oleh askar Jepun kerana tidak memberhentikan basikalnya ketika bendera Jepun sedang dinaikkan.

Lihatlah betapa tingginya nilai patriotisme dan hormatnya bangsa Jepun kepada bendera mereka.

Kita boleh menilai sendiri kejayaan sesebuah bangsa seperti di Jepun berdasarkan sikap warganegaranya yang sangat menghormati bendera dan lagu kebangsaan.

Apakah sikap kita juga sama seperti bangsa Jepun? Hampir setiap daripada kita maklum dan tahu mengenai prinsip-prinsip Rukun Negara.

Tetapi apakah kita benarbenar menghayati maksud sebenar yang tersirat dalam Rukun Negara? Simbol utama prinsip “Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara” ada pada Jalur Gemilang kebanggaan kita yang dikibarkan di manamana sahaja termasuk di luar sempadan Malaysia.

Maka apabila kita menghormati Jalur Gemilang, kita sebenarnya menghormati ketua negara dan tanah air sendiri.

Mungkin ada antara kita yang pernah mengembara ke negara lain dan melihat kesengsaraan hidup di negara tersebut.

Anggota pasukan keselamatan Malaysia yang bertugas di bawah Panji-Panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga ada pengalaman mendamaikan pihak yang bersengketa atau warganegara Malaysia yang pernah terperangkap di seberang laut akibat bencana alam, pergolakkan politik dan yang terkini akibat wabak besar seperti Covid-19.

Cuba tanya kepada warganegara Malaysia tersebut, apakah perasaan mereka apabila melihat Jalur Gemilang di  kedutaan-kedutaan kita atau melihat bendera Malaysia terpampang pada pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) atau kapal terbang komersial negara yang akan mereka naiki untuk pulang? Pasti jawapannya lega, terharu dan bersyukur!

Sejak beribu tahun dahulu bendera telah menjadi manifestasi kepada kewujudan serta kemerdekaan sesebuah negara.

Ramai daripada generasi muda masa kini yang tidak pernah merasai keperitan hidup semasa perang atau melawat ke negara dunia ketiga yang mundur, tidak akan tahu fungsi  sebenar bendera dalam kehidupan bernegara yang aman.

Bersyukurlah kepada Ilahi kerana kita dilahirkan di sebuah negara yang merdeka, bukannya dilahirkan sebagai seorang pelarian tanpa negara.

Cintakan nusa itu sebahagian daripada iman. Sudahkah anda mengibarkan Jalur Gemilang? Adakah anda menegur jiran atau mana-mana premis yang mengibarkan Jalur Gemilang dalam keadaan yang tidak sempurna atau terlalu buruk?

Hargai dan sayangilah Jalur Gemilang kebanggaan kita dengan mengibarkannya setiap masa. MALAYSIA PRIHATIN!

Penulis adalah bekas pensyarah universiti dan penganalisis hubungan antarabangsa serta sejarah ketenteraan

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas