Artikel

Sokong tindakan tegas DBKL

- Diterbit 20 Disember 2020 6:00 AM MYT

“Adi mengambil contoh dua tahun lalu seorang remaja lelaki maut akibat dihempap kerusi yang dicampak dari tingkat atas sebuah blok PPR di Pantai Dalam. Namun ia bagai tidak memberi pengajaran, malah mungkin sudah dilupakan.

KENAPAKAH apabila berlaku kes vandalisme atau perbuatan tidak bertanggungjawab yang membahayakan orang lain di kawasan kediaman di
Kuala Lumpur dan hampir kesemuanya berlaku di kawasan projek perumahan rakyat (PPR) atau perumahan awam (PA)
milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)?

Bercerita mengenai lif rosak, diconteng atau dikotori yang berlaku di PPR atau PA. Bercakap mengenai sampah sarap bertaburan, ia juga berlaku di kawasan
perumahan berkenaan.

Malah lebih dahsyat lagi membuang objek dan sampah sarap dari tingkat atas unit kediaman sehingga memudaratkan penduduk lain juga berlaku di kawasan PPR dan PA.

Bagi Adi, pastinya ini menimbulkan tanggapan bahawa mereka yang tinggal di PPR atau PA tidak berdisiplin, tidak mempedulikan kesejahteraan serta keselamatan penduduk lain. Benar, bukan semua bersikap begitu tetapi yang
sedikit melakukan itulah yang merosakkan nama seluruh penghuni.

Adi mengambil contoh dua tahun lalu seorang remaja lelaki maut akibat dihempap kerusi yang dicampak dari tingkat atas sebuah blok PPR di Pantai Dalam. Namun ia bagai tidak memberi pengajaran, malah mungkin sudah dilupakan.

Ini kerana perbuatan tidak bertamadun itu terus berlaku sehinggakan ia seolah-olah telah menjadi norma hidup dan sebati dengan jiwa penghuni PPR atau PA.

Baru-baru ini, perbuatan membuang objek dari tingkat atas berlaku pula di PPR
Intan Baiduri. Pada kejadian 7 Disember, objek seberat enam hingga tujuh kilogram dibuang dari tingkat atas mengakibatkan bumbung tempat parkir motosikal berlubang.

Mujur juga objek berat itu tidak mengenai sesiapa. Jika tidak sudah pasti mendatangkan kecederaan teruk, malah boleh meragut nyawa.

Pembuang sampah dapat dikesan kerana dalam bungkusan sampah itu ditemui plastik pembungkusan barangan pos. Namun ‘si pembuang’ tidak mengaku.

Adi merasakan amat wajar DBKL bertindak tegas tanpa kompromi terhadap mereka yang berkelakuan keji ini. Tamatkan penyewaan dan usir penghuni PPR atau PA yang terlibat, sesuai dengan peruntukan Undang-Undang Kecil Perumahan Awam (Wilayah Persekutuan) tahun 2000.

Selain itu jangan biarkan mereka terlepas. Dakwa mereka di mahkamah agar menjadi pengajaran kepada yang lain.

Mereka yang diberi peluang oleh DBKL menduduki perumahan PPR dan PA sepatutnya bersyukur kerana terpilih sedangkan ribuan lagi di luar sana yang memohon tetapi tidak mendapat peluang.

Justeru Adi harap hargailah peluang yang diberi. Duduk dan tinggallah di rumah PPR dan PA sebagai insan bertamadun. Jaga dan sayangi tempat kediaman.
Jangan melakukan vandalisme terhadap kemudahan yang disediakan seperti lif atau padang permainan.

Lebih penting, jangan berlagak samseng, jangan melontarkan sampah dan objek sesuka hati dari tingkat atas seolah-olah benda yang dibuang itu tidak akan mendarat di atas tanah merosakkan harta benda, malah meragut nyawa.

TERLAJAK PERAHU BOLEH DIUNDUR

CAKAP siang pandangpandang, cakap malam dengar-dengar. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Oleh itu, berhati-hatilah dan
berfikir sebelum berkata-kata kerana fikir itu pelita hati.

Ingatan ini wajar disemat di dalam hati sanubari mereka yang sewenangwenang bercakap tidak benar sehingga menjejaskan reputasi orang lain sedangkan apa yang diperkatakan tidak berasas.

Dalam isu ini, Adi percaya Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai, telah mengambil iktibar dan belajar daripada kesilapannya akibat melemparkan tuduhan melulu
berbaur fitnah kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa.

Akibat keterlanjurannya, dia memohon maaf kepada Annuar. Sebelumnya Annuar
telah pun menegaskan akan mengambil tindakan undangundang terhadap Kok Wai untuk membersihkan namanya.

Pengerusi DAP itu pada 18 November mendakwa terdapat 42 aset milik Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah dijual sepanjang tempoh Annuar menjadi
Menteri Wilayah Persekutuan sejak Mac 2020.

Annuar menganggap tohmahan itu turut disiarkan oleh portal berita Malaysiakini,
berbaur fitnah serta menjejaskan reputasi dirinya, juga reputasi DBKL. Beliau
menyifatkan tuduhan tersebut sebagai berat.

Berikutan itu pada sidang media di Parlimen pada 19 November, Annuar menyatakan akan mengarahkan peguamnya mengambil tindakan undangudang terhadap Kok Wai dan Malaysiakini. Masing-masing disaman RM10 juta.

Malah Annuar pernah menyatakan seandainya beliau menang saman tersebut, wang kemenangan akan diagihagihkan kepada para peniaga dan penjaja kecil di Wilayah Persekutuan.

Selama memegang jawatan, Annuar memang mengambil berat kebajikan peniaga dan penjaja kecil. Kerana itulah beliau memberikan permit sementara kepada para peniaga dan penjaja di tepi jalan agar mereka boleh berniaga tanpa bimbang diburu pihak penguatkuasa.

Bagi Adi, ahli politik berpengalaman seperti Kok Wai tidak seharusnya melemparkan tuduhan sembarangan tanpa usul periksa. Malah isu yang dibangkitkan boleh ditanya di Parlimen untuk mendapatkan penjelasan.

Tetapi kenapa dibangkitkan di luar Parlimen? Adakah untuk mencari publisiti?
Tentunya Annuar perlu membersihkan nama dan membetulkan fakta yang salah
agar tidak terus mengelirukan orang ramai. Seperti tegas beliau, sepanjang menjadi menteri beliau belum pernah menerima apa-apa permohonan untuk menjual aset.

Kok Wai yang menyedari keterlanjurannya serta tidak mahu berhadapan tindakan
undang-undang, akhirnya datang berjumpa Annuar pada Isnin 7 Disember di pejabatnya di Parlimen untuk meminta maaf.

Dia juga menyerahkan surat permintaan maaf dan menarik balik kenyataan fitnah terhadap Annuar. Berikutan perkembangan ini, Annuar akan merujuk perkara itu
kepada peguamnya.

Pada Adi, pengajaran besar daripada episod ini ialah tiada siapa pun harus membuat kenyataan liar kepada siapa pun kerana apabila itu dilakukan, dan ternyata ia fitnah, kerosakan telah berlaku.

Oleh itu, Adi berharap kepada ahi politik khususnya, selidik dahulu fakta sebelum
berkata-kata. Walaupun orang yang ditohmah itu tidak sealiran politik bukan
bermakna boleh sesuka hati menjatuhkan kredibilitinya.

Negara mempunyai undangundang dan ada saluran tertentu untuk diadu jika
berlaku penyelewengan.

Gunakanlah saluran ini jika benar-benar ada bukti, bukan membuat tuduhan melulu yang merosakkan orang lain.

Jangan kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Ketika itu mungkin nasi sudah menjadi bubur.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas