Berita

Pemandu teksi lega ada jaminan masa depan

MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad (kiri) beramah mesra dengan beberapa pemandu teksi yang menerima bantuan caruman Perkeso daripada YWP. Turut kelihatan Ketua Pegawai Eksekutif, Zaizalnizam Zainun (kanan)
- Diterbit 5 September 2019 8:52 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pemandu-pemandu teksi yang layak menerima Bantuan Caruman Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) melahirkan rasa syukur dan ber­terima kasih atas keprihatinan ke­rajaan terhadap mereka.

Penerima, S. Mogan, 34, berkata, dengan adanya caruman Perkeso di bawah bantuan YWP, dia berasa lebih terjamin ketika menjalankan tugas sebagai pemandu teksi.

“Sebelum ini saya tidak carum Perkeso. Selepas mendaftar di bawah program ini, saya rasa selamat sikit kerana sekiranya terlibat dalam kemalangan saya atau ke­luarga akan mendapat sedikit pampasan.

“Saya sudah memandu teksi selama lima tahun dan dalam tempoh itu pernah terlibat dalam kemalangan tetapi tidak cedera. Masa itu, tiada pampasan apa-apa,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Seorang lagi penerima, Rahman Rahmat, 47, memberitahu, program bantuan tersebut dapat memberi kesedaran kepada pemandu teksi tentang kepentingan mencarum dalam Perkeso.

Katanya, caruman Perkeso bukan bertujuan untuk menyusahkan diri sendiri sebaliknya sebagai jaminan pada masa akan datang.

“Kalau minta mencarum sekarang, memang saya tidak mampu kerana pendapatan harian agak sukar diperoleh. Macam hari ini, baru dapat RM20. Kadang-kadang dapat tiga hari tetapi empat hari lagi kosong.

“Pendapatan yang diperoleh juga hanya cukup untuk makan. Malah pemandu teksi juga susah untuk bercuti selain perlu berhadapan de­ngan bayaran permit dan sewa teksi,” jelasnya yang turut berharap bantuan diteruskan kerana mendapati caruman penting pada masa ini.

Bagi Jasbir Singh Bachan Singh, 54, pula, caruman berkenaan bagus untuk pemandu teksi dan dia telah mencarum sejak tahun lalu.

Dia yang sudah 32 tahun memandu teksi berkata, caruman yang dibuat adalah untuk jaminan keluarganya pada masa hadapan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas