Artikel

Mementas teater Malam Haram

TEATER Malam Haram yang pernah dipentaskan merupakan skrip yang dihasilkan oleh penulis.
- Diterbit 3 Jun 2022 6:50 AM MYT

KU SEMAN KU HUSSAIN

Wartawan Bebas

ANTARA pengalaman menarik semasa menjadi wartawan ialah cara ketuaketua saya menangani isu paling gempar – parti UMNO diharamkan. Kejadian pada petang 4 Februari 1988 itu tetap basah dalam ingatan. Seperti baru semalam peristiwa itu berlaku.

Isu UMNO haram memang boleh melariskan surat khabar. Tetapi tanggungjawab pemimpin editorial, Ketua Pengarang Kumpulan Zainuddin Maidin (Zam) ketika itu adalah meredakan orang-orang Melayu. Nilai berita tidak selalunya menjadi tanda aras. Tanggungjawab menjadi suatu yang lebih penting.

Sebagai wartawan baharu, saya tidak terlibat dengan isu-isu besar seperti itu. Bagaimanapun saya memerhati, mengamati dan menyimpan dalam ingatan. Saya berada dalam sejarah kewartawanan dalam menangani isu-isu sepenting itu.

Zam selalu berkata, wartawan mesti menjawab semua keresahan dan pertanyaan orang ramai daripada kejadian tersebut. Apakah yang berlaku kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dari UMNO? Siapakah yang menjadi Perdana Menteri mengikut Perlembagaan Persekutuan selepas parti Perdana Menteri diharamkan?

Lebih kurang tujuh atau lapan bulan selepas peristiwa itu, suatu petang ketika mesin taip membertih bagai machine gun dan wartawan tidak angkat kepala untuk mengejar masa akhir, pembantu pejabat Zam, Kamal meluru ke meja saya.

“Cik Zam panggil,” kata Kamal ringkas. Saya tertanya-tanya kesalahan apakah yang dilakukan dalam laporan hingga Zam panggil ke bilik. Zam memanggil wartawan, tidak kira tua atau muda adalah perkara biasa. Malah semuanya kena syarah bercupak-cupak kalau kena scoop dengan wartawan surat khabar lain.

Petang itu Zam tekun menghadap menaip di mesin taip buruknya. Waktu-waktu begitu saya tahu beliau sibuk menulis rencana pengarang (sesetengah orang menyebut lidah pengarang) dan pojok hariannya, Awang Selamat untuk keluaran esoknya.

Saya duduk walaupun tidak disuruh. Zam bangkit dari meja kecil yang ada mesin taip ke meja utama. Di tangannya ada buku nota kecil bertulisan jawi. Saya tidak fikir ada yang boleh membaca catatan Zam kerana ‘shorthand’ jawi itu. Hanya beliau sahaja yang faham.

“I nak suruh you tulis skrip,” kata Zam dengan wajah yang agak ceria dan tidak garang seperti selalu. Beliau memang tahu saya ada menulis skrip drama di televisyen dan radio untuk mencari duit tambahan. Tidak pernah menghalang kerana tidak menjejaskan tugas di pejabat.

Malah beliau menonton drama Rantai di TV3 salah sebuah skrip saya yang diarahkan oleh U-Wei Haji Saari. Ketika mengarah drama itu U-Wei baru balik dari New York selepas menetap di sana lebih 12 tahun.

“You buat cerita ini, tajuk Malam Haram,” kata Zam sambil menghulurkan naskhah Utusan Malaysia 5 Februari 1988 yang berita muka depannya parti UMNO diharamkan.

Zam menyelak helai demi helai buku notanya dan memberikan perkara-perkara yang mesti ada dalam skrip itu selain urutan ceritanya.

Saya hanya mendengar tanpa mencatat apa-apa kerana terlupa membawa buku nota. Saya pun ligat membayangkan bentuk skrip itu nanti. Sebenarnya tidak terlalu sukar untuk fiksyenkan beberapa adegan atau watak kerana mereka semua berada di depan saya.

Semua watak yang Zam minta untuk dibangunkan di pentas nanti adalah watak sebenar. Saya berada dalam peristiwa 4 Februari 1988 di pejabat pengarang.

Saya memerhati sebuah peristiwa besar memberikan kesan yang juga besar terhadap sebuah jabatan pengarang akhbar perdana. Rupanya tidak sia-sia pemerhatian saya terhadap peristiwa itu apabila Zam meminta saya menulis skrip teater Malam Haram.

Zam beritahu pementasan dibuat di Ballroom Hotel ShangriLa pada 25 Disember 1988 ketika majlis makan malam sempena 50 tahun Utusan Melayu itu. Cabaran pun muncul satu demi satu dalam kepala.

Tidak pernah orang mementaskan teater di majlis makan malam. Selalunya ada persembahan nyanyian atau tarian. Saya rasa sangat tercabar apabila Zam meminta menulis skrip teater untuk majlis makan malam.

Bagaimana orang hendak menonton teater? Puas saya memikirkan kaedah untuk mementas teater di majlis makan malam. Daripada percakapan dengan Zam petang itu, saya bukan sahaja menulis skrip tetapi menjadi penasihat pementasan itu.

Seminggu selepas hari itu saya masuk berjumpa Zam dan menyerahkan skrip lengkap teater Malam Haram. Zam mengambil dan membaca sepintas lalu. Kemudian mengulang sekali lagi. Beliau terdiam dan memandang saya, mungkin tidak percaya sudah siap sepantas itu.

“Cik Zam bacalah dulu, saya boleh tambah mana yang perlu,” kata saya ketika diam beliau agak panjang.

Zam sebenarnya tidak percaya saya boleh menyiapkan skrip teater durasi 30 minit dalam masa seminggu. Tetapi kekaguman itu tidak dizahirkan di depan saya. Beliau hanya berkata, “I rasa semua ni dah okey. Well done.”

Zam tanya siapakah pengarah yang bermain dalam kepala saya untuk mengarah teater ini? Saya terbayang Normah Nordin yang merupakan aktivis teater sepenuh masa. Saya kenal rapat dengan Normah ketika menjadi peserta kursus teater yang dibimbing oleh Mustapha Noor.

Zam memberikan kepercayaan untuk memilih pengarah dan pelakon-pelakon. Kata Zam, belanja bukan masalah kalau pementasan dapat dibuat dengan sebaiknya.

Beliau cuma minta, kalau sesuai ambillah wartawan Munir Ghazali berlakon sama. Munir berlakon watak Zam dalam teater Malam Haram.

Normah juga menggeleng kepala apabila diberitahu pementasannya di majlis makan malam di Ballroom Hotel. Bagaimanapun Normah sanggup mengambil projek pementasan itu dan kami sama-sama memilih pelakon.

Sejak itu setiap malam saya memantau latihan yang dibuat di sebuah banglo di Jalan Ara Kiri, Bangsar. Normah seorang yang sangat disiplin dan agresif dalam bekerja. Ketika itu saya yakin dengan hasilnya kecuali kaedah untuk mementaskan di Ballroom Hotel Shangri-La.

Bagaimanapun Normah mendapat idea untuk mementaskan teater secara maiming iaitu suara dirakamkan terlebih dulu di studio.

Itu sebenarnya satu eksperimen. Risiko sangat tinggi. Pelakon hanya beraksi mengikut rakaman suara yang dipasang kepada penonton.

“Cakap dekat Cik Zam, semua okey. Tidak ada masalah,” kata Normah. Tetapi ketika membuat latihan ada beberapa kali juga Zam muncul dengan mengejut di banglo itu. Tetapi beliau tidak dapat melihat keseluruhan kerana ruang latihan yang sempit.

Semasa menonton raptai penuh di pentas di Ballroom Hotel itu pada pagi 25 Disember 1988, saya cukup gembira kerana penonton tidak terganggu dengan teknologi maiming.

Malah tidak akan perasan dialog dirakamkan terlebih dulu. Saya gembira kerana dapat menzahirkan teater dalam keadaan yang luar biasa.

Antara pelakon yang menghidupkan teater Malam Haram ialah Fauziah Nawi, Idris Mat Diah, Ibrahim Akir dan Munir Ghazali.

Malam itu selepas pementasan berakhir dan majlis makan malam selesai, saya seorang dengan motor kapcai C70 pergi ke Jalan Doraisamy untuk mengisi perut. Lapar sebab memikirkan pementasan. Rasa lega selepas semuanya selesai dengan jayanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas