Artikel

Membetulkan maksud Miskin Bandar

AKRIFAN miskin bandar perlu dilakukan mengikut garis panduan IIED.
- Diterbit 6 April 2021 10:25 AM MYT

“Tetapi banyak pihak berpendapat, kemiskinan bandar tidak selalunya boleh diukur dengan pendapatan semata-mata. Banyak faktor lain yang perlu diambil kira dan boleh dikaitkan dengan kemiskinan bandar.

logo budiman

150 tahun dahulu sebahagian besar dunia masih dipenuhi belantara. Bandar-bandar utama dengan penduduk lebih sejuta orang masih boleh dihitung dengan jari.

Pada tahun 1900 purata penduduk di 100 bandar utama dunia hanyalah 0.7 juta,  meningkat 0.5 juta daripada seratus tahun sebelumnya.

Ia bertambah menjadi 6.6 juta pada tahun 2000 dan pada tahun 2020 melonjak menjadi 9.7 juta. 15 tahun dari sekarang angka itu dijangka berlegar di sekitar 12.4 juta. (Satterthwaite: 2020).

Dalam tempoh 150 tahun itu juga jumlah bandar raya dan bandar baharu yang  tumbuh memang tidak terhitung.

Terlalu banyak. Di Malaysia sahaja pun terdapat berpuluh-puluh bandar baharu, kecil dan besar, hampir di setiap daerah kalaupun bukan di setiap mukim.

Disebabkan itulah dunia sekarang ini berada dalam apa yang dinamakan ‘abad perbandaran’. Ini kerana lebih separuh penduduk dan kegiatan ekonomi tertumpu di kawasan bandar.

Dan kadar itu terus berkembang terutama di negara miskin dan sedang membangun.

Berbeza dengan negara-negara kaya, di mana penghijrahan selalunya mempunyai kaitan dengan pelaburan, di negara-negara miskin dan membangun, ia sering dikaitkan dengan kepayahan hidup.

Penghijrah, sama ada dari dalam atau luar negara, adalah golongan yang datang ke bandar dengan harapan dapat membina kehidupan baharu yang lebih baik.

Tetapi apa yang sering berlaku adalah sebahagian daripada mereka turut ‘membantu’ meningkatkan kadar kemiskinan di bandar-bandar berkenaan.

Kemiskinan lazimnya tidak datang bersendirian. Ia turut membawa bersamanya pelbagai gejala sosial lain, yang membesarkan sebab kenapa ia harus diperangi.

Dalam keadaan biasa, kemiskinan selalunya dikaitkan dengan pendapatan.

Di Kuala Lumpur, sebagai contoh, RM2,216 adalah garis kemiskinannya dan mana-mana isi rumah yang memperoleh pendapatan kurang daripada itu ditakrifkan miskin.

Jika pendapatannya separuh daripada itu iaitu RM1,110, keluarga tersebut  dikategorikan sebagai miskin tegar.

Tetapi banyak pihak berpendapat, kemiskinan bandar tidak selalunya boleh diukur dengan pendapatan semata-mata. Banyak faktor lain yang perlu diambil kira dan boleh dikaitkan dengan kemiskinan bandar.

IIED (International Institute for Environment and Development) sebuah badan kajian dasar bebas misalnya menyenaraikan perkara-perkara di bawah sebagai petunjuk kepada kemiskinan bandar, selain daripada pendapatan:

  • Kualiti kediaman yang buruk dan perumahan yang sesak; Risiko pengusiran paksa yang tinggi;
  • Kekurangan bekalan air yang selamat dan mudah didapati;
  • Sistem sanitasi, saliran dan pengumpulan sisa pepejal yang buruk;
  • Kekurangan akses ke perkhidmatan kesihatan, perkhidmatan kecemasan dan
    khidmat kepolisan;
  • Kesukaran mengakses sekolah atau sistem pendidikan kerajaan;
  • Tinggal di kawasan berisiko tinggi terhadap bencana.

Mana-mana keluarga yang berdepan, atau berada dalam keadaan di atas, dikategorikan sebagai miskin bandar oleh IIED walaupun barangkali pendapatan isi rumahnya melepasi garis kemiskinan.

Walaupun jumlah pendapatan boleh dijadikan kayu pengukur dengan mudah, tetapi ia tidak semestinya tepat.

Terdapat risiko bahawa kadar pendapatan garis kemiskinan itu sengaja direndahkan bagi tujuan-tujuan tertentu; misalnya atas sebab-sebab politik.

Kayu pengukur kemiskinan antara sesebuah bandar dengan bandar yang lain juga seharusnya berbeza kerana kos kehidupan antara bandar-bandar berkenaan juga lazimnya tidak sama.

Menurut IIED garis kemiskinan harus mencerminkan kos sebenar keperluan makanan dan bukan makanan di setiap lokasi, dan sama sekali tidak boleh dibuat secara pukul rata.

Pembetulan tafsiran seperti itu sebenarnya sangat penting. Ia bertujuan mengelakkan sasaran yang salah dalam usaha-usaha pembasmian kemiskinan bandar.

Dalam proses ini penyelarasan harus diberi keutamaan. Ia bukan sahaja tentang menyelaraskan fakta dan data, persepsi dan realiti tetapi juga peranan setiap kementerian dan agensi.

Amat sering terjadi percanggahan dan pertindihan tugas antara pihak berkuasa dalam melaksanakan peranan masing-masing.

Menambahkan lagi kekeliruan apabila pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut sama turun padang untuk berbakti; usaha murni yang kadang-kadang tidak membuahkan hasil seperti yang diharap.

Bukan tidak pernah terjadi mereka yang tidak layak mendapat bantuan menjadi penerima barisan pertama, manakala yang layak pula tidak mendapat apa-apa.

Kerap juga berlaku bantuan dan sumbangan dilonggokkan kepada kumpulan tertentu di tempat tertentu, manakala kumpulan lain di tempat yang lain berputih mata.

Bagi golongan miskin yang datangnya dari kawasan penempatan tersusun, masalah seperti itu mungkin boleh diatasi dengan menggalakkan peranan pemimpin-pemimpin masyarakat.

Tetapi bagaimana dengan mereka yang mendiami kawasan-kawasan terbiar yang tidak teratur, yang berumah tangga di kaki lima, yang tidak pernah mengenal erti pemimpin dan dipimpin? Kepada siapa mereka hendak mengadu.

Mewujudkan pasukan khas yang diwakili oleh setiap jabatan dan agensi mungkin merupakan  jalan keluar terbaik bagi mengatasi kecelaruan sedemikian.

Orang-orang perseorangan terpilih dan pertubuhan-pertubuhan sukarela juga perlu diundang untuk bersama-sama menyertainya.

Pasukan ini harus diberi bidang kuasa, dan dipertanggungjawabkan dalam apa juga usaha menangani masalah kemiskinan bandar.

Ia harus menjadi ‘one stop centre’ kepada pelbagai perkara, daripada menerima aduan sehinggalah pelaksanaan program-program basmi kemiskinan dan menyelaraskan projek-projek yang dikenal pasti.

Dengan adanya pasukan sedemikian – tidak kira apa juga namanya dan di bawah kementerian mana ia diletakkan – usaha memerangi kemiskinan bandar akan menjadi lebih teratur.

Rakyat miskin pula tidaklah perlu menjadi bola yang ditendang ke jabatan itu dan ke agensi ini; satu keadaan yang menyebabkan sebahagian mereka lebih rela menjadi pengemis di jalanan daripada menjadi pengemis perhatian kerajaan.

Nama kolum 3M adalah singkatan kepada Melawan Maksud Miskin yang akan memfokuskan isu berkaitan kemiskinan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas