Agama

Isu tempat solat ditutup sepanjang pelaksanaan PKP

AHLI Jawatankuasa masjid menandakan kawasan jemaah dan mengikut SOP yang ditetapkan.
AHLI Jawatankuasa masjid menandakan kawasan jemaah dan mengikut SOP yang ditetapkan. AHLI Jawatankuasa masjid menandakan kawasan jemaah dan mengikut SOP
- Diterbit 5 April 2021 1:00 PM MYT

logo dari pejabat mufti

Soalan
Assalamualaikum, semoga SS Mufti dapat berikan pencerahan. Amat dukacita sekali kerana ada sebahagian surau di RnR dan lebuhraya yang tidak dibuka dalam tempoh PKP. Ini amat membimbangkan saya sebagai seorang Islam di Malaysia yang menunaikan solat lima kali sehari sedaya upaya. Saya merasakan diri saya berdosa kerana tidak dapat menunaikan solat di masjid ataupun surau. Jadi, bagaimanakah caranya untuk saya menyelesaikan masalah ini. Mohon penjelasannya, terima kasih.

Huraian Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, kami memulakan jawapan dengan memetik firman Allah SWT, Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah. Surah Al-Taubah (18)

Dalam mentafsirkan ayat ini, Imam Al-Qurtubi telah menukilkan pandangan golongan salaf yang menyarankan agar umat Islam sentiasa berbaik sangka terhadap orang yang mengimarahkan masjid. Ia adalah bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri R.A bahawa Rasullullah SAW bersabda: Maksud: Apabila kamu melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka bersaksilah keimanan untuknya. Riwayat Imam At-Tirmizi (1060)

Tambahan pula, mantan Sheikhul Azhar, almarhum Syeikh Sayyid al-Tantawi pula memberikan definisi orang yang mengimarahkan masjid sebagai mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dengan hati yang penuh ikhlas, berdasarkan petunjuk daripada Baginda SAW. (Rujuk Tafsir al-Wasit Li Tantawi: 6/228)

Petunjuk-petunjuk seperti di atas menjelaskan kepada kita bahawa tidak kira apa situasi yang berlaku sekalipun, sama ada diberi keizinan ataupun tidak untuk hadir ke masjid, ia sewajarnya tidaklah sampai ke tahap menjejaskan semangat, kecintaan serta kerinduan untuk hadir ke rumah Allah.

Sebaliknya, segala perasaan tersebut perlu dikekalkan sebagai persediaan menjelang pembukaan semula masjid dan surau nanti.

Justeru, berikut adalah beberapa saranan kami : 1) Melihatnya dari sudut Tawakkal Penyebaran virus COVID-19 telah mencetuskan pelbagai polemik dan persoalan dalam kalangan masyarakat. Pada masa yang sama, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) telah menggesa agar semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai (mass gathering) ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan COVID-19 berlaku.

Hal ini demikian kerana, jika dibiarkan berlakunya perhimpunan beramai-ramai tanpa sebarang kawalan, maka ia sangat berisiko untuk membawa kepada kemudaratan wabak. Walhal, syariat Islam sentiasa menolak sebarang bentuk kemudaratan berpandukan kaedah-kaedah fiqh seperti: Maksudnya: Tidak boleh mudarat dan tidak boleh memudaratkan. Riwayat Ibn Majah (2341)
Maksudnya: Menolak kemudaratan itu lebih utama daripada mendapatkan maslahah.

Oleh itu, menjadi sunnatullah agar kita terus berusaha dan mencari sebab bagi melaksanakan sesuatu atau mengenal sebarang bentuk penyakit. Seterusnya, dapat mencari ikhtiar terbaik untuk merawat penyakit tersebut.

2) Jangan sesekali menakutkan masyarakat dengan berita yang tidak tepat Antara nas yang masyhur boleh dijadikan pedoman hidup berdasarkan firman Allah SWT:
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. Surah al-Hujurat (6)

Hal ini bertepatan dengan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda: Maksudnya: Sesiapa yang membawa senjata untuk menakut-nakutkan kami, maka dia bukan daripada kalangan kami. Riwayat Bukhari (6874)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadis ini memberi maksud perbuatan membawa senjata untuk menakutkan orang ramai bukanlah daripada amalan kami.

Ia termasuklah juga menakutkan orang dengan maklumat palsu yang menjadikan masyarakat panik, takut dan bimbang.

Begitu juga sebarang maklumat yang menggerunkan tanpa usul periksa sedangkan hakikat sebenarnya adalah berlainan.

Lantaran itu, mengatakan keputusan kerajaan untuk menangguhkan pembukaan masjid dan surau adalah bercanggah dengan syarak merupakan dakwaan yang kurang tepat dan tidak berasas.

Sebaiknya, sebagai orang awam, kita perlu mengambil sikap bersederhana di samping tidak sesekali melunturkan semangat untuk berkunjung ke rumah Allah suatu hari kelak.

3) Alternatif tempat solat Antara syarat sah solat seperti bersuci daripada hadas, suci daripada najis pada pakaian, menghadap kiblat, menutup aurat dan masuknya waktu solat. Jika hilang salah satu daripada syarat ini maka terbatal solatnya.

Begitu juga disyaratkan supaya suci badan, tempat solat dan pakaian seseorang itu daripada segala najis. Firman Allah SWT dalam surah al-Muddatthir ayat 4: Maksudnya: Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.

Oleh yang demikian, sebelum diumumkan apa-apa taklimat atau sebarang perubahan terhadap ketetapan sedia ada, maka bagi masyarakat yang pekerjaannya banyak di luar dan tiada tempat khusus untuk solat ataupun mereka yang berada dalam perjalanan jauh dalam masa yang sama RnR tidak dibuka, kami mencadangkan beberapa perkara:
a) Menyediakan air botol khusus untuk ambil wuduk beserta sejadah kecil sebelum memulakan perjalanan.

b) Setelah itu, apabila hendak melakukan kewajipan solat, maka solatlah di mana-mana sahaja tempat yang memenuhi syarat, utamanya bersih daripada najis. Manakala bagi wanita pula, kami mencadangkan agar mereka dapat mengaturkan perjalanan seharian termasuklah tempat untuk solat supaya dapat solat di tempat tertutup dan terlindung daripada pandangan ajnabi lantas mengelakkan sebarang fitnah.

Walau bagaimanapun, sekiranya tiada tempat tertutup dan risau waktu solat akan terlepas, maka diharuskan untuk solat di tempat terbuka di samping memastikan anggota badan tertutup dengan sebaik mungkin.

Pendirian ini bersandarkan pendirian Nabi Muhammad dalam hadis Ummu ‘Athiyyah tatkala baginda menyeru semua wanita perawan dan lain-lain untuk turut serta solat hari raya. Seperti yang sedia maklum, solat ketika itu dilakukan di tempat yang terbuka.

Kesimpulannya, kerajaan berperanan untuk menyemak segala tindakan yang diambil dan sewajarnya perbaharui setiap ketetapan sekiranya keadaan bertambah baik termasuklah pembukaan semula rumah-rumah Allah dengan SOP yang ketat memandangkan kita sudah masuk di fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Akhir kata, marilah kita sama-sama berdoa semoga Allah permudahkan urusan umat Islam sedunia dan hilangkan segala wabak dan virus agar umat Islam khususnya dapat mengimarahkan kembali rumah-rumah Allah lantas memartabatkan syiar agama Islam.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas