Agama

Program Nuzul al-Quran didik jiwa agar ikhlas beribadat – Saipul Islam

|PROGRAM Sambutan Nuzul al-Quran mendidik jiwa pelajar agar sentiasa ikhlas dalam melakukan ibadat.|PANDEMIK COVID-19 bukan penghalang buat Ustaz Saiful untuk meneruskan pendidikan al-Quran dalam kalangan remaja.|YANG Dipertua Yayasan Al-Insan
- Diterbit 4 Mei 2021 3:37 AM MYT

SETIAP tahun pada 17 Ramadan umat Islam akan meraikan hari Nuzul al-Quran dengan mengadakan majlis khatam dan tadarus membaca ayat-ayat suci al-Quran beramai-ramai.

Begitulah aktiviti yang dianjurkan oleh pihak Akademi Tahfiz Al-Islah dan Pertubuhan Sayang Al-Quran pada 17 Ramadan lalu bagi mengenang kembali sejarah turunnya ayat al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW.

Program Sambutan Nuzul al-Quran ini adalah salah satu program Madrasah Ramadan yang melibatkan 20 orang pelajar dari Akademi Tahfiz Al-Islah, Putrajaya.

PROGRAM Sambutan Nuzul al-Quran mendidik jiwa pelajar agar sentiasa ikhlas dalam melakukan ibadat.

Antara pengisian sepanjang program seharian itu adalah Tadabbur Al-Quran, ‘bedah’ buku Makhraj Huruf oleh Ustaz Jamal Al-Qurtubi, tazkirah, rakaman takbir raya dan ceramah motivasi.

Menurut pengasas dan Pengurus Utama Akademi Tahfiz Al Islah, Saipul Islam M Naser, program kali ini bertujuan mahu meningkatkan motivasi dalam diri pelajar.

“Jika sebelum ini mereka lebih didedahkan dengan aktiviti menghafaz al-Quran, tetapi dalam program ini kami tekankan soal motivasi untuk melakukan ibadat.

“Kami nak mereka khusyuk dalam ibadat tanpa disuruh atau dipaksa. Biar rasa mahu beribadat itu lahir dari dalam diri mereka secara rela. Itulah matlamat Madrasah Ramadan sempena program Sambutan Nuzul al-Quran,” jelasnya yang ditemui dalam pada Majlis Sambutan Nuzul al-Quran di Putrajaya, baru-baru ini.

PANDEMIK COVID-19 bukan penghalang buat Ustaz Saipul untuk meneruskan pendidikan al-Quran dalam kalangan remaja.

Menurut Saipul, disebabkan pandemik COVID-19 belum reda, pihaknya tetap menganjurkan program itu dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Kesemua jumlah pelajar adalah 70 orang tapi disebabkan banyak SOP yang perlu dipatuhi, kami pilih 20 orang pelajar lelaki terbaik sahaja. Umur pelajar yang menyertai program ini adalah 7 sehingga 16 tahun.

“SOP bukanlah penghalang untuk pihak kami meneruskan program yang sememangnya bermanfaat sempena Ramadan ini. Kes COVID-19 tetap ada di mana-mana, tinggal lagi kita semua mematuhi SOP yang telah kerajaan tetapkan.

“Alhamdulillah semenjak 2015, mereka diberikan pelajaran, makan minum dan tempat tinggal secara percuma yang dibiayai oleh pihak-pihak badan bukan kerajaan, badan korporat dan Yayasan Al-Insan yang banyak menyalurkan dana. Kebanyakan pelajar tahfiz yang kami jaga adalah golongan asnaf dan anak yatim,” ujarnya lagi.

YANG Dipertua Yayasan Al-Insan, Datuk Haji Muhammad Zakaria bersama Ustaz Abu Hasan turut turun padang meninjau program Sambutan Nuzul al-Quran.

Program ini turut disokong penuh oleh Yayasan Al-Insan yang menjadi antara penyumbang dana sejak Akademi Tahfiz Al-Islah diwujudkan.

Menurut Yang Dipertua Yayasan Al-Insan, Datuk Haji Muhammad Zakaria, beliau sangat berharap pembelajaran al-Quran ini mampu melahirkan pemimpin yang berwibawa kelak.

“Semoga mereka ini bakal menjadi remaja yang boleh mencorakkan Islam di Malaysia pada masa akan datang. Siapa lagi yang kita boleh harapkan Kalau bukan mereka untuk terus memberikan yang terbaik buat agama, bangsa dan negara.

“Jadi program sebeginilah antara yang disokong oleh pihak kami agar pengajian al-Quran terus berkembang.

“Dalam masa yang sama, kami menyokong penuh usaha Akademi Tahfiz Al-Islah untuk terus melahirkan lebih ramai remaja yang boleh menghafaz al-Quran,” katanya.

USTAZ Jamal Mohd Qurthubi Sulaiman berharap masyarakat terus menjadikan al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupan.

Manakala penceramah jemputan yang juga pengasas buku Makhraj Huruf iaitu Ustaz Jamal Mohd Qurthubi Sulaiman juga berharap para pelajar dan masyarakat terus menjadikan al-Quran sebagai penduan utama dalam kehidupan.

“Apa yang kita boleh ambil setiap kali datang hari Nuzul al-Quran ini, turunnya al-Quran itu adalah satu anugerah yang sangat besar dalam hidup kita.

“Pada bulan Ramadan itu Allah turunkan al-Quran, matlamatnya adalah untuk memberi petunjuk kepada manusia. Dalam masa yang sama memberi panduan kepada manusia untuk mengikut apa yang telah Allah susun.

“Melalui al-Quran juga Allah nak terangkan kepada kita apa yang baik dan tidak baik supaya kita dapat membezakan yang hak dan batil,” jelas Ustaz Jamal lagi.

Selain tenaga pengajar, program ini turut diserikan dengan kehadiran ahli jawatankuasa (projek) Yayasan Al-Insan iaitu Ustaz Abu Hasan Yusuf. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas