Berita

Membantah pembuli utama dunia

RAKYAT Iran keluar membantah pembunuhan Jeneral Qossem
- Diterbit 16 Januari 2020 10:30 AM MYT

PADA Jumaat lalu suatu demonstrasi oleh sekumpulan rakyat Malaysia telah diadakan di depan Kedutaan Besar Amerika Syarikat, Jalan Tun Razak.

Mereka yang datang dari beberapa parti politik dari badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan kalangan pelbagai kaum dan agama telah berhimpun serta menyerahkan memorandum membantah perang ke atas Iran. Antara sepanduk yang dibawa bertulisan “No War to Iran” (Tiada Perang ke Atas Iran) dan juga gambar jeneral negara itu Suleiman Qaseem yang dibunuh Amerika atas arahan Presidennya, Donald Trump.

Mereka mewakili hati nurani sebahagian rakyat Malaysia yang menolak tindakan dan dasar Amerika yang menunjukkan hasrat untuk berperang dengan Iran dan selanjutnya boleh mengheret dunia ke kancah peperangan dunia.

Demonstrasi itu diadakan selepas sembahyang Jumaat dan antara mereka datang ke situ selepas sembahyang di Masjid As-Syakirin, KLCC yang tidak jauh dari kedutaan itu, dan juga Masjid Tabung Haji yang terletak di seberang jalan.

Bangunan Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Kuala Lumpur sentiasa menjadi sasaran bantahan. Perkara ini berlaku sejak dari awal negara ini mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan menjadikan Kuala Lumpur antara bandar raya di dunia yang menyaksikan demonstrasi anti-Amerika.

Bantahan terhadap Amerika sering kali diadakan di seluruh dunia selepas Perang Dunia Kedua apabila negara itu muncul sebagai suatu kuasa besar.

Ini kerana dengan kekuatannya, Amerika muncul sebagai ‘pembuli besar’ terhadap negara kecil dan lemah.

Dasar-dasar luar negara itu, yang bersifat seperti ‘polis dunia’ sering kali tidak mengambil kira kemaslahatan umum semua negara tetapi berat sebelah pada kepentingan politik dan ekonomi dirinya serta sekutu-sekutunya dalam kalangan Barat, khususnya Israel.

Walaupun mendabik dirinya sebagai ‘pemimpin dunia bebas (free world)’ tetapi dalam banyak keadaan, dapat dilihat bahawa negara itu mempunyai dasar serampang dua mata di Asia Barat iaitu merampas sumber minyak dan melindungi Israel walaupun rejim itu menafikan hak rakyat Palestin.

Dari awal kemerdekaan lagi, Tanah Melayu mengambil sikap bersahabat dengan Amerika. Washington pula mengiktiraf kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dengan serta-merta, iaitu pada 31 Ogos 1957 dan membuka pejabat kedutaannya di Kuala Lumpur.

Selepas Perang Dunia Kedua, Washington menggalakkan tanah-tanah jajahan supaya mencapai kemerdekaan.

Dasar luar

Umumnya rakyat Malaysia memandang Amerika sebagai negara sahabat tetapi Washington mempunyai tiga bentuk dasar luar yang bukan sahaja tidak disenangi oleh sebahagian rakyat negara ini tetapi juga seluruh dunia.

Pertama, dasar luarnya yang cenderong untuk menyebelahi diktator-diktator berhaluan kanan walaupun zalim macam manapun dengan menganggap mereka adalah benteng kepada usaha melawan komunisme.

Ini membawa kepada campur tangan dan penglibatan tentera mereka hingga mengheret dunia ke dalam kancah perang.

Kedua, sokongan yang tidak berbelah bahagi Amerika kepada Israel walaupun rejim itu menduduki dan merampas tanah-tanah Palestin.

Ketiga, dasar luarnya yang obsesif terhadap sumber minyak dengan menganggap ia merupakan kepentingan strategik Amerika walaupun bahan itu terletak di negara-negara lain yang berdaulat.

Tiga dasar ini, dicampur dengan suntikan Islamofobia mewarnai sikapnya terhadap negara-negara Islam di Asia Barat yang mengakibatkan rantau itu sentiasa berada dalam keadaan perang.

Ketika mana ada sekumpulan penduduk di situ yang amat berkuasa dan kaya-raya, banyak pula yang menjadi mangsa perang, kematian, penderaan, kemiskinan, kesengsaraan dan menjadi pelarian.

Inilah konteks di mana Amerika di bawah Trump mahu memusnahkan iran seperti mana presiden-presiden sebelumnya memusnahkan Iraq, Syria dan Libya. Turut musnah ialah Somalia dan Yemen.

Sebelum Kedutaan Besar Amerika mempunyai bangunan sendiri di Jalan Tun Razak, pejabat mereka terletak di Bangunan AIA, Jalan Ampang.

Pada tahun-tahun 1960-an ketika mana pelajar-pelajar di seluruh dunia membantah perang Vietnam, maka di Malaysia, mahasiswa Universiti Malaya turut turun ke Jalan Ampang untuk berdemonstrasi di depan Bangunan AIA itu.

Umumnya rakyat Malaysia memandang Amerika sebagai negara sahabat tetapi Washington mempunyai tiga bentuk dasar luar yang bukan sahaja tidak disenangi oleh sebahagian rakyat negara ini tetapi juga seluruh dunia.

Apabila Israel mula mengganas dan merampas tanah rakyat Palestin dengan mendapat sokongan Amerika, sebahagian orang Islam dan golongan kiri pula mengadakan demonstrasi.

Masjid-masjid paling hampir dengan Bangunan AIA adalah Masjid Jamek di Jalan Mountbatten (kini Jalan Tun Perak) dan Masjid India di Jalan Masjid India.

Apabila kedutaan itu berpindah ke Jalan Tun Razak, maka di situlah pembantah-pembantah datang berhimpun.

Selepas Perang Vietnam, tumpuan demonstrasi adalah berkaitan Palestin dan Baitul Maqdis. Selepas Revolusi Iran, banyak pula demonstrasi berkaitan dengan negara itu.

Walaupun kelihatannya Amerika tidak mempedulikan demonstrasi-demonstrasi membantah dasar luar di seluruh dunia tetapi selepas 60 tahun berlalu, imej kuasa besar itu begitu buruk pada mata manusia sejagat.

Di kalangan rakyat Amerika yang memahami keadaan pun menyedari betapa dunia membenci mereka. Maka tidak menghairankan ada juga aktivis-aktivis yang membantah dasar luar negara.
Walaupun ia memakan masa sehingga bertukar generasi tetapi kesan daripada bantahan-bantahan tetap ada.

Banyak orang di dunia berharap ada pihak yang dapat mengimbangi kekuatan Ametika supaya negara itu tidak bermaharajalela menjadi pembuli kepada negara-negara kecil, miskin dan lemah.

Adalah suatu yang malang apabila Amerika yang beruntung mempunyai kekuatan dan kekuasaan tidak memberi sumbangan sewajarnya kepada keamanan dan kemajuan manusia.

Adalah kecenderungan bagi manusia dan negara-negara yang diwujudkan menjadi pembuli apabila ia menjadi kuat.

Tetapi kecenderungan ini wajar dihalang dengan kebaikan. Seperti Amerika, China juga bersikap pembuli di rantau ini. Masa ia lemah, perkara ini tidak timbul.

Apabila ia kuat, ia mahu menguasai keseluruhan Laut China Selatan. Gajah dengan gajah berperang, pelanduk mati di tengah.

Tidak bolehkah gajah menggunakan kekuatannya untuk melindungi pihak-pihak yang lemah?
Sebab itu, warga-warga kota besar seperti juga Kuala Lumpur mempunyai peranan membela rakyat-rakyat dunia yang kena buli dengan kuasa-kuasa besar melalui acara-acara demonstrasi bantahan di kedutaan-kedutaan mereka.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas