Berita

Program Sarapan Percuma diteruskan

MAKANAN SIHAT YWP
SARAPAN percuma yang disediakan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) khusus untuk murid yang kurang berkemampuan di Kuala Lumpur. - Gambar hiasan PELAJAR yang menerima bantuan makanan menikmati makanan yang disediakan.
- Diterbit 16 Januari 2020 10:28 AM MYT

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan meneruskan rancangan untuk menyediakan Program Sarapan Percuma (PSP) kepada murid-murid sekolah bermula 20 Januari ini.

Perdana Menteri berkata, skim itu bagaimanapun, hanya akan diberikan kepada murid-murid miskin dan bukan kepada semua pelajar seperti diputuskan Kementerian Pendidikan sebelum ini.

“Sarapan pagi akan diteruskan, program yang ada sekarang tertumpu kepada mereka yang tidak mampu.

“Tetapi untuk memberi sarapan kepada semua bermakna mereka yang ada duit, yang makan banyak di rumah pun dapat, itu tidak adil,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Balai Islam Tenaga Nasional Bhd. di Bangsar hari ini.

Dr. Mahathir yang juga Pemangku Menteri Pendidikan berkata, kerajaan akan menambah bilangan penerima sarapan percuma kepada pelajar yang berhak menikmatinya.

PSP yang dirancang dimulakan pada 20 Januari ini, dijangka dapat memanfaatkan kira-kira 2.7 juta murid sekolah rendah di seluruh negara.

Skim itu diperkenalkan Menteri Pendidikan sebelum ini, Dr. Maszlee Malik.

Bagaimanapun, beliau bertindak meletak jawatan secara mengejut pada 2 Januari lalu atas nasihat Dr. Mahathir.

PSP akan mengguna pakai dua mekanisme bagi pengoperasian skim itu selama 30 minit menggunakan kombinasi menu utama dalam bentuk makanan bermasak dan menu buah-buahan.

Mekanisme kedua pula ialah pengoperasian PSP selama 10 minit menggunakan kombinasi menu minuman produk tenusu seperti minuman berkhasiat dan menu makanan ringkas berkonsepkan sedia dimakan seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih dan telur rebus. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas