Berita

DBKL akan ‘urus’ tapak penjaja bazar haram

KEADAANgerai yang lebih tersusun memberikan keselesaan kepada orang ramai membeli di Bazaria Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
- Diterbit 16 Januari 2020 11:19 AM MYT

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menguruskan mana-mana tapak bazaria dan pasar malam yang membebankan penjaja dengan kadar sewaan tapak yang tinggi.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, amalan membuka tapak bazar ini tidak mendatangkan keuntungan kepada DBKL sebaliknya ia adalah untuk keuntungan individu tertentu.

“Mereka yang terlibat dengan pembukaan tapak seperti ini mempunyai jaringan politik dan juga pasaran gelap, mereka banyak melalui kumpulan-kumpulan tertentu.

“Jadi ini bukanlah satu-satunya yang kita lakukan dan kita tidak akan berhenti di sini, jadi ia akan berterusan dan dilakukan secara beransur-ansur,”

“Kita akan beri tahu kepada penyewa-penyewa tapak atau yang memberi sewa tapak kepada orang lain, kita beri tempoh agar mereka mencari pekerjaan yang lain yang lebih produktif,” katanya dalam sidang akhbar mengenai Bazaria Wangsa Maju di Menara 1, Bangunan DBKL hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, sekiranya ia memberikan keuntungan kepada DBKL, maka pihak DBKL boleh memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada warga kota.

“Namun, mereka menggunakan kesempatan yang ada untuk meraih keuntungan peribadi dan apa yang kita lakukan ini adalah untuk penjaja terus maju dan berkembang,” katanya.

Kata Khalid, sehingga kini terdapat kira-kira 500 tapak dan 440 daripadanya telah dikenalpasti.

“Kira-kira 401 penjaja telah menjelaskan pembayaran sewa dan lesen untuk memulakan perniagaan di tapak baharu dan daripada jumlah ini 385 telah memulakan periagaan mereka, tujuh penjaja masih belum membuat bayaran dan 32 sedang menunggu surat tawaran daripada DBKL untuk dimuktamadkan.

“Baki 60 tapak yang masih kosong untuk diteliti pihak DBKL bagi melakukan tindakan lanjut dan kita hendak selesaikan minggu ini juga,” katanya.

Tambah Khalid, sebelum hari Sabtu ini, pihaknya akan agihkan 60 tapak yang kosong dan masih terdapat rayuan serta permohonan yang sedang dinilai.

“Mereka yang dikenal pasti adalah melalui proses bancian yang dilakukan sebanyak tiga kali semasa ditapak Uptown Danau Kota dan terdapat syarikat swasta juga turut terlibat dalam proses bancian ini,” katanya.

Menurut Khalid, status tapak sementara ini adalah kerana kita sedang membina tapak yang kekal yang akan siap dalam masa tiga tahun.

“Namun tapak sementara telah dilakukan dengan baik untuk mengatasi masalah yang dihadapi oleh penduduk Danau Kota dengan kewujudan uptown seperti masalah kesesakan lalu lintas dan sebagainya

Tapak bazaria Wangsa maju yang terletak di lot 24307, Jalan 1/2E Taman Setapak Indah menempatkan penjaja-penjaja yang menjaja barangan kering, makanan dan minuman.

Bazaria Wangsa Maju ini diuruskan sepenuhnya oleh DBKL dan segala pembayaran yang berkaitan adalah terus kepada pihak DBKL.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas