Utama

Memancing, Futsal bakal warnai Karnival SHWP 2020

POSTER pertandingan memancing yang bakal diadakan pada 16 Februari ini.
- Diterbit 7 Februari 2020 8:25 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pertandingan memancing dan futsal antara acara yang paling dinanti-nantikan warga kota dalam karnival Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 (SHWP 2020) pada 15 dan 16 Februari ini.

Jurucakap Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (JKPS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, kedua-dua pertandingan itu sentiasa mendapat pernyertaan yang banyak daripada warga kota.

Justeru, ia dijadikan acara ‘wajib’ dalam Karnival Hari Wilayah Persekutuan 2020 @Kuala Lumpur sekali gus memeriahkan SHWP 2020 menerusi konsep perpaduan dan persefahaman antara warga kota.

“Pelbagai acara dan aktiviti dijadualkan dalam karnival ini antaranya larian, zumba, permainan tradisional dan sukan OKU, permainan interaktif, pancaragam, silap mata dan maskot, pertandingan karaoke lagu Kuala Lumpur, pertandingan memasak dan Teh Tarik.

“Selain itu, beberapa aktiviti juga disediakan khusus untuk penyertaan kanak-kanak dan remaja seperti pertandingan melukis dan mewarna, persembahan Omar dan Hana serta pertandingan Bayblade, tarik tali dan remote control buggy race,” katanya kepada Wilayahku.

Menurut jurucakap JKPS, melalui pelbagai aktiviti tersebut, diharapkan ia dapat menerap budaya hidup sihat, keakraban dan kekeluargaan dalam kalangan warga bandar raya Kuala Lumpur.

Katanya, karnival itu juga terbuka kepada pelancong dari dalam dan luar negara malah, pelbagai kemudahan disediakan termasuk Food Truck. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas