Berita

PPTG WPKL terima lebih RM2 juta hasil cukai petak dalam tempoh 1 bulan

KHALID (kiri) menunjukkan poster pelaksanaan cukai petak yang akan dilaksanakan Januari 2020.
- Diterbit 7 Februari 2020 8:41 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPTG WPKL) mencatatkan kutipan bayaran cukai petak sebanyak RM2,481,163 sejak pelaksanaannya awal Januari lalu.

Menurut sumber rekod di Bahagian Hasil PPTG WPKL, jumlah kutipan yang direkodkan sehingga semalam itu melibatkan kira-kira 56,000 akaun bil cukai petak.

“Ia dilakukan melalui pelbagai platform bayaran iaitu bayaran secara FPX di Portal PPTG WPKL, perbankan internet dan juga bayaran di kaunter PPTG WPKL serta kaunter cawangan-cawangan Pejabat Pos dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Berdasarkan rekod-rekod pembayaran bil cukai petak yang diterima, didapati kaedah pembayaran melalui kaunter PPTG WPKL, DBKL dan Pejabat Pos adalah kaedah yang paling popular digunakan pembayar-pembayar bil cukai petak,” katanya ketika dihubungi Wilayahku hari ini.

Bahagian Hasil PPTG WPKL turut mendapati sejak pelaksanaan cukai tersebut pada 1 Januari lalu, jumlah kutipan hasil di PPTG WPKL meningkat hampir RM7 juta berbanding tempoh yang sama pada 2019.

Jelas beliau, jika dilihat jumlah kutipan cukai tanah sahaja, peningkatan yang direkodkan juga melebihi RM4 juta.

“Apa yang kita peroleh adalah kutipan bayaran cukai tanah dan petak melebihi RM20,311,285 iaitu RM17,830,122 (cukai tanah) dan RM2,481, 163 (cukai petak). Jumlah itu adalah dari 1 Januari lalu hingga semalam (6 Februari).

“Kutipan bayaran cukai tanah bagi tempoh yang sama pada tahun lalu adalah kira-kira RM13,391,117. Justeru, kutipan cukai tanah juga merekodkan peningkatan hasil,” ujarnya sambil menyatakan setakat ini, pemegang-pemegang akaun bil berpuas hati dengan pelaksanaan cukai petak.

Dalam pada itu, tinjauan Wilayahku di kaunter PPTG WPKL baru-baru ini mendapati, rata-rata pemilik berpuas hati dengan pelaksanaan tersebut dan menyifatkannya sebagai cukai yang lebih telus serta tidak membebankan.

Menurut usahawan, Khaw Chay Tee, 67, orang ramai tidak perlu bimbang dan keliru terhadap pengenalan cukai petak kerana ia memberi kebaikan kepada penduduk.

Berpendapat sama, Kakitangan swasta, Sie Siak Kin, 60, berkata, dia terkejut apabila melihat potongan (remitan) cukai petak diberikan semasa membayarnya di kaunter PPTG WPKL baru-baru ini.

Bagi kakitangan swasta, Noor Hasmizawati Ali, 38, pula, pemilik petak yang tiada tunggakan boleh meneruskan urusniaga seperti jual beli tanpa sekatan.

“Ini memudahkan pemilik yang mahu menjual aset mereka. Hanya pemilik petak yang mempunyai tunggakan akan disekat daripada melaksanakan urusniaga,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas