Artikel

Melahirkan pelajar berjiwa usahawan

MENTERI Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, (tiga dari kiri) bersama bakal peserta TUBE@IPT 2021 dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
- Diterbit 15 Oktober 2021 3:07 AM MYT

TS. DR. ISMAHAFEZI ISMAIL & DR. FAZIDA KARIM

UNIVERSITI Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merupakan sebuah universiti yang komprehensif terdiri daripada pelbagai bidang pengajian seperti teknologi, sains sosial, sains perubatan, kesihatan, farmasi, perniagaan, perundangan, biosumber dan makanan. Terdapat 3 kampus utama iaitu Kampus Gong Badak, Kampus Tembila dan Kampus Perubatan. Fasiliti dan ekosistem keusahawanan menjamin kepada kejayaan usaha untuk membudayakan dan seterusnya membangunkan usahawan dikalangan pelajar. Ianya selaras dengan nilai teras keusahawanan dan nic teknousahawan UniSZA.

Pusat Kerjaya, Teknousahawanan dan Jaringan Pintar (PaKaT) UniSZA merupakan pusat tanggungjawab untuk mempromosi dan mempengaruhi warga serta persekitaran UniSZA bagi mempraktikkan dasar-dasar berkaitan keusahawanan bagi mencapai Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK-IPT 2021-2025) yang telah dilancarkan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad Menteri Pengajian Tinggi. Visi PaKaT adalah untuk menjadi pusat rujukan dalam pembangunan kerjaya, teknousahawan dan jaringan pintar berasaskan visi universiti.

Manakala misi PaKaT adalah untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan ekosistem teknousahawan menerusi kolaborasi jaringan industri dan masyarakat. Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (PTK-IPT 2021-2025) telah menggariskan tiga (3) teras utama sebagai rangka kerja pelaksanaan.

PERTANDINGAN KEUSAHAWANAN

PELAJAR UniSZA yang mengusahakan jualan buku dan kitab.

Pandemik COVID-19 tidak menghalang PaKaT untuk mendedahkan ilmu dan menyebarkan minda keusahawanan kepada warga UniSZA. Pelbagai pertandingan dan program keusahawanan telah disertai oleh warga UniSZA. Antara pertandingan keusahawanan yang dilaksanakan dan disertai adalah Business Model Canvas (BMC) Pitching, Mudapreneur@HE dan pelbagai bengkel pemasaran digital mengunakan platform Youtube, Instagram, Facebook dan Shopee.

Selain itu, aktiviti pendedahan keusahawanan dilakukan secara dalam talian kepada warga UniSZA seperti berniaga gaya Rasulullah, forum survival mahasiswa, Business Talk: Zero to profit, Empowering UniSZA FoodMuda Preneur dan sebagainya.

Untuk tahun 2020, PaKaT telah melaksanakan 25 aktiviti keusahawanan dan 5 dana program keusahawanan diperolehi warga UniSZA dan aktiviti keusahawanan ini semakin bertambah untuk tahun 2021. Program yang dilaksanakan kepada warga UniSZA mendapat kerjasama dari pihak yang berkepentingan dalam bidang keusahawanan seperti Syarikat Suruhanjaya Malaysia (SSM), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tekun dan lain-lain.

POSTER UniSZAPreneur 2021.

PaKaT turut menganjurkan UniSZAPreneur (UP 2021) yang bertujuan meningkatkan keterlibatan pelajar dalam bidang keusahawanan dan inovasi serta mengenalpasti dan memasarkan produk yang berpotensi yang dihasilkan oleh pelajar. Pelajar perlu menghasilkan inovasi berdasarkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang dipilih. Terdapat dua tema inovasi yang dipertandingkan di UP 2021 iaitu inovasi berasaskan teknologi dan inovasi berasaskan perkhidmatan.

Inovasi berasaskan teknologi memfokus kepada syarikat yang ditubuhkan oleh pelajar yang menjalankan perniagaan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi, manakala inovasi berasaskan perkhidmatan dan produk menawarkan perkhidmatan bagi membantu menyelesaikan masalah atau meningkatkan prestasi dan produktiviti usahawan atau syarikat lain. UP 2021 akan dilaksanakan secara dalam talian melibatkan bootcamp selama 2 hari dan pertandingan UP 2021.

KEMAHIRAN INSANIAH

Aktiviti yang dijalankan semasa bootcamp adalah melibatkan kemahiran insaniah pelajar seperti komunikasi dan kerjasama berkumpulan, kaedah penghasilan idea, kaedah pembentangan dan kemahiran pemasaran dan perniagaan. Pertandingan pitching UP 2021 dilaksanakan kepada semua pelajar yang menyertai Bootcamp UP.

NORAINI (dua dari kanan) bergambar bersama pelajar menjalankan perniagaan tulisan khat dalam lawatannya ke UniSZA baru-baru ini.

Kementerian Pengajian Tinggi telah mengatur pelbagai aktiviti keusahawanan bagi membentuk kemapanan fikiran warga IPT untuk berminda keusahawanan bagi merealisasikan ekosistem keusahawanan bersinergi, kolaborasi berimpak tinggi dan inovasi dan teknologi dalam keusahawan. Kesemua program dan aktiviti keusahawanan yang berimpak dijalankan adalah selaras dengan teras utama dalam rangka Pelan Tindakan Keusahawanan IPT.

Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE@IPT) dilaksanakan oleh SME Corporation Malaysia dengan kerjasama lapan (8) IPT termasuk UniSZA merupakan salah satu usaha ke arah memanisfestasikan fikiran keusahawanan kepada graduan IPT.

Program TUBE@IPT merupakan usaha sama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bertujuan memupuk semangat keusahawanan di kalangan siswa dan graduan, menggalakkan bidang keusahawanan kepada bakal graduan serta meningkatkan minat di kalangan siswazah dan graduan untuk menceburi bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

Malahan, latihan keusahawanan (TOT) turut diberikan kepada kakitangan IPT yang terlibat. Warga UniSZA yang didedahkan dan dilatih dengan aktiviti keusahawanan sebelum ini, dapat digilap dengan pengetahuan dan kemahiran keusahawanan terkini melalui program TUBE@IPT supaya menjadi warga IPT yang holistik dan berdaya saing. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas