“Hello, assalamualaikum Datuk Seri…”
SHAHIDAN mendedahkan turut menerima panggilan ketika bersidang di Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Hello, assalamualaikum Datuk Seri…”

“HELLO. Assalamualaikum Datuk Seri. Saya ingin membuat aduan mengenai jalan rosak.” Barangkali inilah senario harian dilalui Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, setelah rela hati mendedahkan nombor telefon peribadinya kepada awam. Tujuannya untuk mereka menghubunginya jika ingin membuat aduan masalah jalan rosak.

Beliau turut mendedahkan nombor telefon peribadi timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.Sepanjang ingatan Adi, inilah kali pertama seorang menteri mendedahkan nombor telefon untuk orang ramai menyalur aduan. Ini satu langkah proaktif dan berani kerana kemungkinannya nombor itu akan menjadi tumpuan ramai.

Memang benar, seperti yang Adi duga, Shahidan menerima panggilan mencapai angka ribuan, sehingga telefonnya ‘jammed’ atau sangkut. Beliau tidak menang tangan melayani panggilan dan mendengar masalah. Malah masalah yang dikemukakan bukan sahaja berkisar mengenai jalan, tetapi pelbagai isu lain yang menyentuh rakyat.

Kerana itu dinasihatkan agar orang ramai tidak membuat panggilan, cukup sekadar mesej pesanan ringkas (SMS). Ini kerana sukar bagi Shahidan melayani setiap panggilan, serta boleh mengganggu tugas lain. Namun Adi percaya beliau mampu menangani situasi ini.

Nyata usaha Shahidan untuk memastikan keadaan jalan sentiasa terjaga elok untuk keselesaan warga kota mendapat respon baik daripada orang ramai yang rata-rata prihatin dengan keadaan jalan di Kuala Lumpur.

Maklum di Kuala Lumpur masalah kerosakan jalan seperti jalan berlopak, jalan tidak diturap dengan baik, jalan dikorek dan tidak ditampal dengan baik, semua ada di segenap pelosok bandar raya.

Pada dasarnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bertindak terhadap setiap aduan. Namun kerana jumlahnya banyak, ada kalanya DBKL mengambil sedikit waktu. Akibatnya ada yang tidak puas hati.

Justeru jika aduan sudah dibuat kepada menteri, dan disalurkan kepada jabatan berkenaan di DBKL, tindakan lebih pantas dapati dilakukan menurut keutamaan, berdasarkan lokasi dan jenis kerosakan.

Kerana itu Adi berpendapat, seharusnya bukan Shahidan, timbalannya dan datuk bandar sahaja yang patut memberi nombor telefon untuk orang ramai, tetapi juga ketua[1]ketua jabatan DBKL yang ada hubung kait dengan kerja-kerja membaiki dan menyenggara jalan.

Orang luar juga boleh membuat aduan. Seperti kata Shahidan, mereka yang datang ke Kuala Lumpur untuk melancong atau ada urusan, dan ternampak jalan berlopak atau berbahaya boleh terus menghubunginya, timbalannya atau datuk bandar.

Shahidan dan kakitangan DBKL sentiasa bersiap sedia 24 jam untuk bertindak dengan janji masalah diselesaikan dalam tempoh 24 juga. Ini juga ingatan beliau kepada DBKL agar sentiasa memantau keadaan jalan di Kuala Lumpur dan setiap aduan ditangani.

Pada Adi, pendekatan yang diambil oleh Shahidan secara tidak langsung membolehkan orang ramai menjadi mata telinga kepada DBKL dengan memberi maklumat di kawasan mana terdapat jalan bermasalah.

Sebagai penduduk sesuatu kawasan atau melalui jalan-jalantertentu setiap hari, mereka pasti dapat melihat sendiri jalan yang perlu diperbaiki.

Pihak DBKL mungkin menghadapi kekangan untuk meninjau atau memantau sepanjang masa kerana kekangan tenaga atau lewat mendapat maklumat mengenai jalan rosak. Tetapi dengan bantuan serta feedback orang ramai akan memudahkan tugas mereka.

Menurut Shahidan, banyak isu lain diadukan oleh rakyat selain masalah jalan. Bagi Adi, memang wajar alang-alang sudah mendedahkan nombor telefon, elok diperluaskan skop aduan. Pelbagai masalah lain yang berkait langsung dengan orang ramai juga perlu perhatian.

Isu rakyat antaranya masalah sampah tidak dikutip, masalah pengangkutan awam, taman-taman yang tidak dijaga dengan baik, pasar tidak bersih dan sebagainya sentiasa menghantui warga kota.

Apa pun, orang ramai wajar menghargai kesediaan Shahidan berkongsi nombor telefon. Gunakan saluran hubungan ini sebaik-baiknya. Jangan gunakan talian untuk tujuan yang tiada mengena dengan matlamat, apatah lagi untuk sengaja menimbulkan gangguan.

Untuk faedah orang ramai, Adi kongsikan nombor talian Shahidan ialah 019-4545111, Jalaluddin 019-6524444 dan Mahadi Che Ngah 016-2068883. InsyaAllah talian ini akan sentiasa terbuka. Adi – Pernah langgar jalan berlubang.

LABUAN TERUS MAJU JAYA

JAUH di mata dekat di hati. Itulah ingatan terhadap Wilayah Persekutuan (WP) Labuan, wilayah pertama dalam WP mencapai sasaran imuniti kelompok atau herd communitydan yang pertama memasuki Fasa 4 dalam Pelan Pemulihan Nasional (PPN).

Kerana itu dalam apa juga aspek pembangunan dan kesejahteraan penduduk, Labuan tidak dipinggir. Kini usaha sedang dilakukan untuk memulihkan ekonomi pulau bebas cukai itu yang terjejas akibat tempias pandemik COVID-19.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan Labuan ‘terkurung’. Sektor pelancongan yang menjadi antara sumber utama hasil pulau itu bagai lumpuh. Kerana itu Labuan sedang berusaha mengukuhkan semula ekonominya yang merudum.

Sebagai pembuka tirai, satu forum ekonomi bakal diadakan di pulau itu, membincangkan isu pembangunan di pulau itu.

Malah perbincangan juga dijangka diadakan dengan perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pembangunan ekonomi Labuan agar ia terus maju jaya.

Memetik Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, pihak kementerian juga merancang pembangunan jangka pendek dan jangka panjang dalam memastikan kerancakan semula ekonomi dan kesejahteraan penduduk.

Usaha juga akan dilakukan bagi memastikan status bebas cukai Labuan benar-benar memberi manfaat. Adi difahamkan, status berkenaan seolah-olah tidak berfungsi sepenuhnya kerana tidak semua barang yang dijual adalah bebas cukai.

Bagi Adi, semua usaha ini jelas menunjukkan sekali pun WP Labuah jauh daripada dua saudaranya, Kuala Lumpur dan Putrajaya, pulau itu tetap dekat di hati. Segala usaha membangun dan memajukannya sentiasa dijalankan seperti juga Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Satu lagi projek besar yang dirancang di Labuan ialah pembinaan jambatan menghubungkan pulau itu dengan tanah besar Sabah. Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) telah pun membuka tawaran cadangan pembinaaan Projek Jambatan Labuan-Sabah secara kerjasama awam dan swasta.

Ini merupakan anjakan besar untuk kemajuan dan kemakmuran Labuan. Dengan adanya jambatan akan berlaku pergerakan lebih kerap dan lebih rancak antara penduduk pulau itu dan Sabah, malah daripada Sarawak dan Brunei serta sebaliknya.

Situasi ini bakal mendorong kepada pertumbuhan rancak ekonomi dan pelancongan yang akan memberi manfaat kepada Labuan. Akses kepada pengangkutan darat memudahkan urusan keluar masuk. Keadaan ini disukai oleh pelabur atau pelancong.

Natijahnya nanti, bukan sahaja usaha memakmurkan Labuan menjadi kenyataan tetapi juga memastikan agenda utama menjaga kesejahteraan rakyat menjadi kenyataan.

Adi – Belum pernah sampai Labuan – WILAYAHKU – ADI TUAH

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )